Support My Blog

Friday, October 2, 2015

PERIA KATAK - CARA TANAM

PERIA KATAK (Momordica charantia) adalah sejenis peria dari keluarga Cucurbitaceae yang kini semakin popular dikalangan pengguna di Malaysia. Ia adalah sejenis sayuran menjalar yang mempunyai permintaan yang baik terutama digunakan sebagai ulaman sebagai bahan ubatan oleh masyarakat tempatan. Peria katak berbeza dengan peria biasa dengan ciri-ciri pada kulit berwarna hijau gelap yang mengerutu dan berukuran kecil atau sederhana bergantung kepada varieti. Pengalaman penulis dalam bidang agronomi tanaman terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan selama 35 tahun mendapati maklumat mengenai amalan agronomi tanaman ini memang kurang ditulis. Terdapat dua jenis peria katak yang boleh didapati masa kini iaitu JENIS LIAR (Wild) dan JENIS KOMERSIL. Peria katak Liar (Dikatakan yang asli) lazimnya akan tumbuh liar dikawasan nelukar terutama ditanah kebun yang baru diteroka atau dikawasan tanah yang mendapat sinaran matahari. Peria Liar ini selalunya mengeluarkan buah peria katak yang kecil, berwarna hijau gelap dengan bilangan buah hanya sedikit. Ia tidak boleh dikomersilkan pada masa ini kerana kesukaran untuk mendapatkan biji benih dan belum ada amalan teknologi sesuai untuk menguruskan tanaman peria katak liar ini. Jenis Peria Katak Komersial pula sering ditanam untuk mendapatkan hasil yang banyak seperti menanam peria biasa. Penulis yang membuat kajian mengenai tanaman ini mendapati antara varieti peria katak komersil yang ditanam oleh petani di Malaysia adalah menggunakan benih hibrid Taiwan No 321 yang lebih komersial. Peria Katak No 321 merupakan satu varieti yang sesuai untuk di komersialkan dan harga satu tin benih hibrid dijual diantara RM 400.00 - RM450.00 satu tin (Itu harga sebelum GST pada tahun 2009). Terkini bulan Oktober 2015 penulis dapati harganya telah mencecah sekitar RM 550 - RM650 satu tin. Benih peria katak yang didakwa hibrid ini hanya boleh ditanam sekali sahaja (F1). Kajian kes penulis mendapati terdapat seluas kira-kira 26 hektar CHE keluasan tanaman peria katak di usahakan di Daerah Muar dan Ledang (Kajian kes pada Oktober 2015). Terdapat seluas 1,010 hektar tanaman peria di Malaysia pada tahun 2010 (Sumber: Laporan statistik keluasan tanaman Jabatan Pertanian Malaysia). Kebanyakan varieti yang ditanam adalah peria biasa (Hampir 90%). Salah satu lokasi kajian dikebun En Murad iaitu satu kawasan tumpuan penanaman peria katak di Kg Bekkok, Tangkak. Kawasan lain penanaman seperti Kg Solok, Kg Sagil dan dikawasan Sengkang, Bukit Gambir. Peria Katak disukai penanam sayur kerana kurang kadar serangan oleh lalat buah jika ditanam dikawasan yang baru dibuka. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman peria katak untuk bacaan dan rujukkan pembaca semua.

Dalam membuat kajian pasaran sebelum itu saya dapati permintaan peria katak adalah terhad (niche market) tidak seperti peria biasa dipasaran sedia ada. Ini dikaitkan dengan mana peria katak yang didakwa kaya dengan bahan asli disebut sebagai Charantia yang baik untuk mengawal penyakit KANSER (Barah). Kajian menini mendapati dimana jika bekalan berlebihan dipasaran maka harga peria katak akan turun sehingga RM 0.60 sahaja satu kilogram segar iaitu kurang dari kos pengeluaran sehektar. Bagaimana pun lazimnya harga purata peria katak  'ex-farm' saya dapati tidak kurang RM 2.00.kg atau lingkungan pasaran antara RM 2.20 hingga RM 2.80 sekilogram. Peria Katak sebaiknya ditanam dikawasan terbuka dengan sinaran matahari 100% dan mempunyai sistem saliran baik. Ia perlu di tanam diatas batas yang di bubuh lapisan plastik silvershine untuk kawalan rumpai dan kelembapan tanah. Peringkat awal penyediaan batas yang disediakan perlu digaul dengan baja organik (lazimnya tahi ayam) dengan kadar 2 tan satu hektar. Bubuh 2 biji benih setiap lubang dan jarak penanaman sebaris sejauh 1.5 meter dalam barisan (Sila lihat foto tin benih 321 Leckat Seed disebelah). Kalau terlalu rapat maka penghasilan adalah tinggi tetapi pokok cepat mati berbanding jika ditanam dengan jarak lebih jauh. Baja vegetatif NPK 15:15:15 dan baja organik tahi ayam dibubuh peringkat awal penanaman. Baja buah jenis diberikan dengan baja NPK 12:12:17:2 mengikut kadar disyorkan. Penyiraman dijalankan 2 kali sehari dan kerja-kerja kawalan rumpai dijalankan. Kawalan rumpai dengan cara manual (menajak , mencabut) atau gunakan racun kimia secara terkawal. Perbezaan antara peria katak dengan peria biasa ialah peria katak dikawasan terpencil tidak perlu dibalut. Kajian penulis jika kawasan tersebut "isolated" daripada kawasan tanaman jenis cucurbitaceae yang lain lebih baik. Bagaimanapun pastikan serangan oleh Lalat Buah (Daucus spp) sentiasa dipantau kehadirannya kerana ia merupakan musuh utama tanaman peria katak dan semua jenis sayuran dari cucurbitaceae.

Buah Peria Katak yang matang dituai menggunakan pisau tajam dan di kumpulkan mengikut gred. Antara perosak tanaman peria katak ialah Ulat Pengorek Buah, Lalat Buah dan boleh di kawal jika kadar serangan tidak serious dengan perangkap methyl eugenol. Penyakit Layu Bakteria (Fusarium spp) merupakan masaalah utama peria katak. Petani mungkin tidak dapat hasil jika serangan layu fusarium berlaku pada peringkat awal. Kawalan rumpai hanya pada peringkat awal penanaman dan tidak menjadi masaalah jika pokok telah menutupi keselurohan kanopi. Pengalaman penulis dengan En Murad yang telah menanam peria katak lebih 5 tahun menyatakan , beliau menjalankan penanaman peria katak bergilir-gilir dengan tanam petola, timun dan kacang panjang dan akan berubah kawasan penanaman. Kata Murad masalah untuk dapatkan benih yang baik, tanah yang subur dan ketulinan benih adalah isu utama dan bukannya masaalah amalan agronomi. Bekalan benih dari kedai penjual benih kadang-kadang sukar di perolehi. Oleh itu beliau ada memilih dan menyimpan benih sendiri untuk kegunaannya bagi penanaman akan datang. Kajian oleh penulis yang pernah berbincang dengan CEO Guthrie di Kuala Lumpur pada tahun 2007 menyatakan syarikatnya perlukan banyak peria katak untuk di proses bagi dijadikan pes ramuan bagi dijadikan ubat. Bagaimanapun harga ditawarkan cuma RM 0.30 - RM 0.40 sekilogram menjadikannya penanaman di Muar tidak viable. Kini syarikat tersebut banyak mengimpot bahan Charantia dari China.

Kandungan rasa pahit peria katak dipercayai secara klinikal dapat membantu mengawal penyakit kencing manis dan dipercayai dapat hindarkan HIV. Selain itu didakwa bahawa peria katak dikenali sebagai "INSULIN TUMBUHAN" yang kawal kandungan gula dan kencing manis. Kajian penulis mendapati anggaran pendapatan bersih sehektar peria katak sekitar RM 3,980.00 - RM 4,200.00 sehektar dan kos pengeluaran setiap kilogram peria katak sebanyak RM 0.90 dan pulangan setiapuran sebanyak ringgit pelaburan sebanyak RM 1,86 iaitu menguntungkan. Peria Katak kini telah dikomersilkan dengan penghasilan produk 'ready to eat' seperti dalam bentuk kapsul, pil, serbuk dan juga dalam bentuk larutan cecair. Produk tersebut dikategorikan sebagai makanan suplement kesihatan yang mudah didapati di farmasi-farmasi dan juga syarikat jualan terus. Saya percaya satu hari nanti produk dari tanaman peria dan peria katak akan terus popular bagi penggunaan segar mahu pun dalam bentuk produk proses. Tulisan artikel ini diharap memberi info penting kepada semua pembaca blog "Anim Agro Technology" yang kini mencecah 6.3 juta pada Oktober 2015. Wasallam!...
PERIA KATAK ... VARIETI PERIA....
DITANAM KOMERSIL...ADA CARA....
BERKHASIAT...ADA CHARANTIA...
MENCEGAH KANSER... DIDAKWA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Kapitan Juaseh,
Kuala Pilah, Negeri Sembilan,
Malaysia.
(10 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...