Buah mangga colek Lemak Manis ini mempunyai senarai harga yang sama disemua gerai. Harga runcit dipamerkan adalah RM5.00 untuk dua (2) biji atau sekitar RM2.50 sebiji (Sila lihat foto saya ambil disebelah). Harga runcit ini dikira 'mahal' juga jika dibandingkan dengan kos harga buah mengga lemak manis yang mungkin dijual sebagai putik muda dilokasi asal. Bagaimana pun ia sesuai untuk dijual kepada pengguna kerana telah siap sedia untuk terus dimakan. Saya membeli 4 biji mangga ini dengan harga RM10.00 dan makan satu biji dihotel dan seterusnya 3 biji dibawa balik ke Putrajaya. Ia tanah lama dan tidak busuk walau pun dua hari diletakkan dalam beg baju dimasukkan dalam plastik. Ini kerana mangga muda ini masih keras dan dikategorikan mangga muda yang tahan dalam penyimpanan. Menurut penjual ia bertahan lebih seminggu jika diletakkan dalam suhu bilik dan lebih lama lagi jika disimpan dalam suhu dingin dalam peti sejuk. Mangga colek ini tidak ada dijual di Kuala Lumpur atau Putrajaya kerana mungkin jauh dari sumber. Saya ada tinjau juga di Pasar Tani Mega Putrajaya tetapi belum ada produk ini dijual. Mangga ini diambil daripada pokok mangga jenis lemak manis (penulis kurang pasti varietinya - adakah ia varieti Sala atau Varieti Lemak Manis lain) kerana ia adalah produk akhir. Minta rakan-rakan agronomist yang tahu akan maklumat ini untuk mejelaskan kepada penulis.
Ketika membuka bungkusan dirumah saya mendapati buah mangga ini telah dibuang kulit ini mungkin mengunakan pisau pengopek kulit. Selepas dibuang kulit maka ia akan dipotong dua (tidak putus) dikiri dan kanan buah tersebut dan kemudian di kelar kepada 3 potongan kecil. Akhirnya terdapat 6 jejari yang mana dibahagian bawahnya masih melekat pada buah mangga tersebut. Untuk memakannya maka keluarkan buah mangga colek dari bungkusan plastik dan patahkan satu persatu. Jejari ini kemudian dicecahkan kedalam serbuk perasa yang bebekalkan bersama. Serbuk ini adalah campuran antara serbuk asam boi, serbuk cili dan garam yang memberikan lebih keenakkan kepada mangga colek ini. Setelah memakannya beberapa jejari mangga ini, amboi rasanya amat enak kerana ada rasa lemak, sedikit masam, pedas, manis dan juga masin dalam mangga colek ini. Jejari mangga yang rangup ini mudah dikunyah dan memberikan kepuasan tidak terhingga untuk dimakan. Produk 'minimum process' ini merupakan satu produk dari mangga yang bleh diketengahkan lagi di sekitar Lembah Kelang. Petani dan usahawan tempatan perlu menanam mangga jenis ini dan dipetik muda untuk dijadikan mangga colek yang enak dan sesuai dihidangkan setiap masa. Semuga akan ada produk seperti ini yang dijual berhampiran dengan penulis untuk menikmatinya. Wasallam!.
MANGGA COLEK... HIJAU WARNANYA...
DIBUANG KULIT... DIBALUT ISINYA...
DICECAH ASAM BOI... ADUH ENAKNYA...
KOTA BAHRU.. BANYAK DIJUALNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 113, Ridel Boutique Hotel,
wakaf Che Yeh, Kota Bahru,
Kelantan, Malaysia.
(29 Zulhijjah 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.