Support My Blog

Thursday, October 8, 2015

IKAN PUYU - ADAKAH BERPOTENSI?

IKAN PUYU (Anabas testudineus) merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak dari keluarga Anabantidae yang mudah didapati dinegara kita. Adakah ikan puyu ini ujud dan berpotensi untuk dijadikan satu bidang usaha yang boleh menguntungkan dan memberikan pulangan yang baik?. Ini merupakan satu peluang kepada bakal usahawan jika mereka ingin menjadikan penternakan dan penjualan ikan puyu sebagai punca pendapatan. Pada penulis, ikan puyu dikenali sebagai ‘Climbing Perch’ kerana sifat semula jadinya yang tahan lasak dan mampu bertahan dan berpindah kekawasan lain perlu dikenali dahulu oleh bakal usahawan. Saya dahulu memang minat menangkap ikan puyu di sawah atau tali air serta sungai kecil di kampong saya di Sawah Ring, Muar, Johor semasa remaja dulu pada tahun 1970’an kerana membantu orang tua menanam padi. Ikan puyu lazimnya akan menjadikan habitat utama dikawasan air tawar dikolam atau anak sungai disekitar kampong dan sawah padi sebagai kawasan sesuai. Ikan puyu yang bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah yang berair. Pada saya ikan ini sedap dimakan setelah dibersihkan kemudian digoreng dengan bubuh sedikit kunyit dan garam. Ia sesuai dimakan dengan nasi putih dan juga sayuran. Walau pun ikan puyu mempunyai tulang yang keras berbanding dengan ikan sepat atau ikan seluang, rasa daging ikan puyu adalah lebih lemak.  anda boleh baca artikel tulisan saya mengenai ikan sepat (Sila klik disini). Saya masih ingat pada ketika tertentu pada musim hujan kebanyakan ikan puyu berhijrah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. Ia paling layak digelar spesies yang suka berhijrah. Ikan puyu adalah jenis ikan yang lasak dan mampu hidup dalam keadaan kualiti air yang kurang baik. Spesies ini juga mampu bertahan tanpa air hingga beberapa jam. Artikel subuh sempena cuti Raya Qurban pada 11 Zulhijjah 1436H ini saya menceritakan dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan puyu berdasarkan pengalaman penulis semasa muda dahulu dan pembacaan dari beberapa buku.

Spesies ikan puyu biasanya hidup secara berkumpulan didalam lubuk atau kolam yang mempunyai air bersih secara semula jadi. Ikan ini mudah terancam oleh aktiviti-aktiviti penangkapan ikan seperti aktiviti menjaring, pukat, jala, tuba dan aktiviti memancing yang keterlaluan (tanpa mengamalkan kaedah 'tangkap dan lepas' bagi yang bersaiz kecil). Pada masa kini telah ada teknologi untuk menternak ikan puyu secara komersial dijalankan iaitu dengan cara menggunakan kolam simen atau kanvas dan paling sesuai adalah menternak dalam dalam kolam tanah. Teknologi penternakan ikan puyu boleh dipelajari melalui kursus penternakan ikan air tawar dianjurkan oleh Jabatan Perikanan atau melalui lawatan persendirian ke projek-projek ternakan ikan puyu di dalam negara atau luar negara yang berjaya secara komersil. Negara Thailand juga dilaporkan telah menjalankan penternakan ikan puyu dengan agresif dikawasan sawah padi semenjak dahulu lagi sebagai sumber pendapatan tambahan terutama kepada petani dan pesawah. Ini kerana di Thailand terdapat banyak air disekeliling sawah mereka dan ianya dijadikan asas untuk aktiviti penternakan ikan puyu secara komersil. Penulis ada beberapa kali melawat projek ternak ikan puyu disekitar Bangkok dahulu. Negara Indonesia juga aktif didalam aktiviti penternakan ikan puyu yang dijalankan secara kecil-kecilan dan taraf komersil. Penternakan ikan puyu secara moden menggunakan bahan makanan daripada pelet makanan ikan komersil yang boleh dibeli seperti memelihara ayam. Makanan ikan ini mampu memberikan peratus tumbesaran yang sesuai untuk mempercepatkan penuaian hasil. 

Ikan puyu popular dikalangan penduduk di Utara Semenanjung Malaysia untuk dibuat Ikan Pekasam selain daripada ia ada dijadikan lauk makanan dengan digoreng rangup dan dimakan dengan nasi putih. Ikan Pekasam adalah satu teknik pengawetan ikan dimana ikan darat yang dikatakan berbau hanyir diproses dengan merendam dalam air garam dengan sekam dan serbuk beras (Sila lihat foto disebelah). Anda boleh baca artikel saya mengenai ikan pekasam (Sila anda klik disini). Kalau pada masa dulu hanya orang-orang Melayu dan Siam yang meminati ikan puyu tetapi sekarang dilaporkan harga ikan puyu pun telah mahal disebabkan permintaan tinggi oleh Orang Bangladesh yang bekerja di Malaysia. Pendek kata kalau ada jualan ikan puyu segar di pasar malam atau pasar basah, warga Bangladesh sanggup berbaris untuk mereka membelinya bagi dijadikan lauk makan. Kajian persendirian simpel saya dibeberapa lokasi mendapati harga ladang ikan puyu sekitar RM 7.00 – RM 9.00 sekilogram sementara harga runcit dalam lingkungan RM 10.00 – RM 15.00 sekilogram. Harga ini jauh lebih mahal atau tinggi berbanding dengan harga semasa zaman saya kecil dulu iaitu cuma RM 1.00 sekilogram, itu pun kalau ada orang yang hendak membeli dikampong masa dulu!. Permintaan untuk ikan puyu kini semakin meningkat kerana ramai pekerja luarnegara daripada Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang suka akan ikan ini. Mereka lazimnya akan membeli secara pukal dan makan dengan nasi putih. Ikan air tawar ini mungkin kurang dikenali atau dimakan oleh generasi muda sekarang kerana mereka lebih kenal akan daging ayam KFC, Burger Mc Donald, Sushi King, Ayam Nandos dan banyak lagi. 

Kajian peribadi saya juga menunjukkan ikan puyu yang sesuai untuk dijual bila saiz ikan berada sekitar 180 - 250 gram seekor. Jika saiz ikan terlalu kecil atau terlalu besar maka ia memang agak sukar diterima pasaran. Bagaimana pun didapati apa yang penting adalah kesegaran dan juga saiz keseragaman ukuran. Semasa saya melawat projek ternakan ikan puyu di Kedah, saya dimaklumkan bahawa ikan ini akan matang dalam masa 120-150 hari bergantung kepada saiz benih, pemberian makanan dan cara pengurusan air. Juga dimaklumkan bahawa didapati ikan puyu jantan purata beratnya cuma 150 gram seekor berbanding ikan puyu betina yang bersaiz lebih berat iaitu sekitar 180-250 gram seekor. Kemungkinan ramai dikalangan kita sendiri tidak kenal perbezaan diantara ikan puyu jantan dengan ikan puyu betina. Dalam beberapa laporan kajian menunjukkan dalam satu populasi sebanyak 60% adalah ikan puyu betina dan bakinya 40% adalah terdiri dari ikan puyu jantan. Ikan puyu betina dewasa akan bertelur dan menetaskan telurnya setelah proses persenyawaan. Kini teknik pembiakan ikan puyu membolehkan aktiviti penternakan ikan ini boleh dikomersilkan dengan lebih baik.

Dalam membuat rujukan dan teknologi cara menternak ikan puyu di Thailand semasa saya berkursus di Kyusei Nature Farming Institut di Saraburi, Bangkok pada tahun 2006 saya telah mendapati pemberian sejenis hormon khas membantu meningkatkan peratus ikan puyu betina. Hormon ini diberikan semasa anak ikan puyu mula dilepaskan didalam kolam tanah yang dibina bagi tujuan penternakan ikan puyu secara komersil. Kepadatan yang disyorkan di Pusat Latihan Kyusei Farming tersebut adalah sebanyak 3 - 4 ekor setiap sekaki persegi. Kolam Tanah yang dibuat berukuran 40 kaki x 100 kaki dengan kedalaman air 3 - 4 kaki mampu menampong sebanyak 10,000 - 12,000 ekor ikan puyu. Sebaiknya kolam ini mempunyai sistem saliran air masuk dan air keluar yang baik agar pertumbuhan ikan dapat berlaku dengan cepat dengan menggunakan makanan pelelt yang diberikan. Kualiti air juga perlu sentiasa diperiksa agar ia tidak mengandungi bahan racun kimia yang digunakan untuk sawah padi. Ikan puyu akan mati jika kualiti air tercemar memasukki kolam. Ikan puyu yang dipelihara di pusat tersebut adalah ikan puyu siam yang saiznya agak lebih besar sedikit daripada ikan puyu tempatan yang ada di Malaysia.

Pemerhatian saya mendapati ikan puyu nampak mudah untuk diternak kerana faktur ketahanan nyawa, tahan lasak, sussh mati, 'air breather' dan juga ikan ini makan apa sahaja makanan sesuai yang diberikan. Teknologi penternakan ikan ini juga kini lebih mudah dan cepat membesar dengan formulasi makanan ikan komersil di pasaran seperti pelet makanan ikan keluaran Syarikat Cargill dan Gold Coin dalam iaitu bentuk pellet atau butiran (floated granules). Lazimnya semasa anak ikan baru masuk kedalam kolam pembesaran mesti diberi makan secukupnya iaitu 4 - 5 kali sehari untuk menjadikan kadar pembesaran sehingga 20% dari berat badan. Kaedah ini perlu dijalankan selama 2-3 minggu pertama selepas benih dilepaskan kedalam kolam. Keadaan pemberian makanan ikan pada umur 2-3 minggu pertama adalah kritikal dimana perlu untuk memberi makan sebanyak 4 - 5 kali sehari kerana ikan puyu adalah sejenis ikan karnibal yang mana ia akan makan anak puyu lain atau anak ikan lain-lain selain puyu didalam kelompok sama dikolam. Pemberian makanan seperti usus ayam, baja ikan dan lain-lain bentuk makanan selain daripada pellet dapat membantu mengurangkan masaalah atau isu karnibalism dimana cara ini mampu mengurangkan sehingga 50% dari jumlah populasi jika tidak di kawal. Bagaimana pun perlu ada saliran air masuk dan keluar dengan sempurna jika diberikan makanan tambahan seperti diatas. Pengalaman penternak ikan puyu komersil yang penulis teliti menunjukkan selepas sebulan perlu ada aktiviti dengan membuat aktiviti pengredan (Grading) atau pun proses pemilihan ikan puyu dimana kita perlu mengeluarkan ikan puyu jantan sahaja. Ini kerana apabila sampai peringkat matang lazimnya ikan puyu jantan susah membesar seperti ikan betina tetapi ia makan makanan yang diberikan. Ikan jantan juga dija tidak dikeluarkan akan menyebabkan hasil jualan kurang kerana saiznya yang kecil dan ia kurang digemari kerana kandungan daging ikan yang kurang. Bagi meningkatkan bilangan telur pada puyu betina perlu berikan makan berlemak dan berminyak dimana ini akan dapat meningkatkan penghasilan telur dan seterusnya anak ikan puyu yang diternak.

Terdapat kepercayaan dalam kalangan masyarakat Melayu yang mana ikan puyu mampu menghalang gangguan makhluk halus seperti gangguan toyol dan jin. Kerana itu penulis mendapati masyarakat Melayu lama memelihara spesies ini di dalam rumah dekat rumah mereka untuk tujuan itu sebagai satu amalan biasa jika ada kawasan sesuai. Sebenarnya ikan puyu memang sesuai dijadikan ikan akuarium walau pun warna dan bentuknya tidak cantik seperti ikan guppy, ikan laga dan ikan hiasan yang lain. Ikan ini tidak mudah mati walau pun sistem pengudaraan dalam akuarium tidak berfungsi untuk beberapa hari. Jika dicampur dengan ikan lain dalam akuarium dan tidak diberikan makanan, maka nahaslah ikan kecil lain tersebut kerana kemungkinn besar ia akan menjadi habuan ikan puyu!. Pada penulis penternakan ikan puyu adalah berpotensi untuk dimajukan kepada usahawan dalam Malaysia yang telah bersedia dengan mempunyai ilmu pengetahuan mengenai industri penternakan ikan puyu ini. Setidak-tidaknya blog tulisan saya ini boleh dijadikan bahan rujukkan asas untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat mengenai ikan puyu. Adalah disarankan agar mereka yang serius untuk menternak ikan puyu untuk pergi ke Jabatan Perikanan terdekat bagi mendapatkan khidmat nasihat teknikal serta bantuan kewangan jika ada. Wasallam!...

IKAN AIR TAWAR...IKAN PUYU....
DALAM PAYA...TEMPAT BERTUMPU...
HARGA MAHAL...SEMUA MAMPU...
KINI DITERNAK...TEKNOLOGI BARU..


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 1512, Hotel Sunway,
Seberang Jaya, Prai,
Pulau Pinang,
Malaysia.
(21 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...