Support My Blog

Thursday, October 29, 2015

KESAN JEREBU 2015 - PERTANIAN

JEREBU TAHUN 2015 merupakan satu fenomena luar biasa berbanding dengan kes-kes jerebu yang berlaku pada saban tahun sebelum ini. 'Jerebu' atau haze ini boleh dimaksudkan dengan tingginya partikel terampai dalam udara dan telah mempunyai berbagai maksud. Jerebu kali ini pastinya adalah disebabkan oleh kesan kebakaran (terutama tanah gambut) di Sumatra dan Borneo yang amat panjang berlaku dalam sejarah iaitu hampir 3 bulan bermula daripada Bulan Ogos - Hujung Oktober 2015. Banyak kesan negatif akibat jerebu yang berlaku daripada aspek ekonomi, kesihatan dan kesan kepada alam persekitaran. Tiga negara yang terjejas teruk adalah Indonesia sendiri, Singapura dan Malaysia walau pun di Selatan Thailand ada dilaporkan terjejas juga sedikit. Ramai orang awam yang dilaporkan terkesan sehingga meninggal dunia di Indonesia (sehingga 18 orang ketika artikel ini ditulis) akibat sesak nafas atau penyakit berkaitan pernafasan. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Indonesia dilaporkan melebihi dari 1,000 mata dibeberapa lokasi pembakaran berbanding dengan bacan IPU sihat adalah bila bacaan IPU dibawah 100 mata. Paling teruk dilaporkan di Malaysia sekitar 300 mata keatas sedikit dan ianya dalam kategori 'Tidak Sihat'. Bayangkan berapa ribu tan asap yang berjaya dikeluarkan di Indonesia akibat kebakaran hutan dan tanah gambut dan di eksport kenegara lain untuk satu jangkamasa yang lama. Ketika saya menaiki pesawat ke Kuching, ke Langkawi dan beberapa destinasi lain tidak dapat melihat apa-apa disepanjang perjalanan kecuali warna putih asap. Sektor penerbangan antara yang paling teruk terjejas dimana banyak penerbangan dibatalkan di lapangan terbang yang terlibat. Penerbangan ke lokasi domestik adalah yang paling teruk terjejas dengan kerugian jutaan ringgit. Ramai juga yang takut menaiki kapalterbang ketika jerebu dan terpaksa menggunakan laluan darat seperti bas, keretapi dan teksi. Sektor pelancungan juga terjejas teruk akibat jerebu yang terus berpanjangan. Ramai para pelancong yang datang ke 3 negara ini merasa rugi kerana kesan jerebu dan sebahagian besar mereka membatalkan perjalanan untuk datang ke negara ada jerebu. Bagi sektor kesihatan juga menyaksikan ribuan dan mungkin jutaan pesakit berkaitan dengan sistem pernafasan, gatal mata, sesak nafas dan sebagainya. Sekolah-sekolah juga terpaksa ditutup untuk beberapa lama dimana semasa ini peperiksaan akhir tahun serta peperiksaan besar PMR, SPM dan STPM sudah dekat. Mungkin silibus pelajaran tahunan tidak dapat dihabiskan oleh guru pada tahun ini. Bagaimana pun penulis menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kesan jerebu berpanjangan ini dalam sektor pertanian dan perkara yang berkaitan dengannya.


Apakah jerebu memberi kesan keburukan dan kebaikan dalam sektor pertanian?. Penulis fikir lebih banyak kesan keburukan daripada kebaikan. Pertama sekali saya ingin membawa kepada kesan jerebu pada tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) yang luasnya melebihi 4.2 juta hektar di Malaysia. Jerebu teruk akan menyebabkan sinaran cahaya matahari tidak dapat diterima oleh bahagian daun kelapa sawit untuk menjalankan proses fotosintesis. Ini kerana cahaya amat diperlukan dalam proses fotosintesis selain daripada air, oksijan dan juga nutrien. Pokok kelapa sawit akan kurang menghasilkan buah sekitar 8 bulan selepas jerebu. Akibatnya adalah dimana buah berkurangan atau saiz tandan kelapa sawit juga menjadi kecil. Ada juga kemungkinan buahnya menjadi ringan atau tiada berbuah langsung (Sila lihat foto disebelah). Asap tebal yang terus menghalang cahaya ini berpanjangan menyebabkan proses menyediakan makanan pokok tersebut untuk tumbesaran dan pengeluaran tandan buah terjejas. Dijangka dalam bulan Jun - Ogos tahun 2016 pengeluaran tandan segar sawit (FFB - fresh fruit bunch) akan menurun. Kadar pengurangan hasil ini juga akibat sepanjang musim jerebu ini memang kurang hujan turun dan berlaku kekurangan air untuk diambil oleh tanaman kelapa sawit amat signifikan kesan nagatifnya. Berkemungkinan kadar penurunan hasil sawit diantara 10 -15% atau lebih daripada itu lagi mengikut lokasi dan bacaan IPU. Kalau pada waktu itu harga kelapa sawit masih rendah macam sekarang, maknanya pekebun kecil sawit akan terus kurang pendapatan dari kebunnya. Satu kajian lebih saintifik perlu dilakukan oleh pakar-pakar dalam bidang ini untuk dijadikan panduan untuk semua dimasa akan datang.


Perkara kedua juga masih berkaitan dengan industri kelapa sawit. Pokok kelapa sawit mempunyai sistem pendebungaan kacukan silang (cross pollination) untuk menghasilkan tandan buah. Teknologi menggunakan kumbang pendebunga sawit iaitu Elaeidobius kamerunicus telah diperkenalkan di Malaysia pada tahun hujung 1970'an lagi dan menyebar keseluruh negara pada awal 1980'an. Kumbang ini akan mencari makan pada jambak bunga kelapa sawit dan membawa debunga daripada bunga jantan kepada bunga kelapa sawit betina. Maka akan berlaku proses pendebungaan yang cekap secara bantuan oleh kumbang ini. Kumbang ini berkepak dan terbang daripada pokok kepokok lain untuk menjalankan pendebungaan. Kumbang ini akan bertelur pada jambak bunga jantan yang mereput dan kitaran hidupnya berterusan. Sama seperti serangga lain, serangga kumbang ini akan bermasaalah untuk terbang jika banyak asap dan berjerebu. Sistem komunikasi serangga akan bercelaru atau terputus dalam keadaan berasap dimana ini menyebabkan ia kurang bergerak untuk proses pollination kelapa sawit. Perkara ini akan menyebabkan proses pendebungaan akan menjadi rendah kejayaannya. Apabila pendebungaan kurang atau gagal maka seterusnya tandan sawit menjadi tidak menjadi atau saiznya kecil sahaja atau tidak didebunga dalam kes serius. Dalam jerebu untuk jangkamasa lama kumbang ini akan cepat mati kerana kadar pembiakan juga mengurang akibat proses mengawan yang juga kurang berlaku. Kajian saintifik mengenai hipotesis ini perlu dijalankan lebih lanjut.


Penanaman padi dari bulan Ogos - Oktober 2015 adalah dalam kategori tanaman MUSIM UTAMA. Lazimnya penanaman padi musim utama mencapai keluasan 660,000 hektar di Malaysia sehingga mampu membekalkan beras untuk negara. Pengeluaran padi dalam negara mampu untuk menampung kecukupan bekalan (Self Sufficient Level - SSL) dalam negara. Padi yang ditanam musim utama ketika jerebu kali ini adalah berlaku kebanyakannya pada peringkat bunting (Panicle initiation - PI) dikebanyakan skim utama jelapang padi negara. Dari segi saintifik, keperluan dan peranan cahaya matahari untuk proses fotosintesis adalah dikira sebagai signifikan bagi tanaman padi. Ini menyebabkan ada kemungkinan hasil padi yang akan dituai pada hujung Disember ini atau awal Januari 2016 akan rendah akibat jerebu (Sila lihat foto sebelah). Kekurangan hasil padi ini dianggarkan turun sekitar 5 - 15% bergantung kepada keseriusan Indeks IPU dan jangkamasa jerebu berlaku. Maklumat penentuan menilai hasil padi dilalukan dengan Teknik CCS setiap tahun secara sistematik. Sama-sama kita tunggu laporan rasmi penghasilan padi akibat kesan jerebu tahun hadapan. Bagaimana pun kemungkinan kerosakkan akibat serangan serangga perosak dan penyakit padi agak kurang ketika jerebu walau pun hipotesis ini perlu dikaji semula. Ini kerana populasi serangga perosak lazimnya menurun sedikit ketika jerebu.


Kemungkinan lain kesan jerebu dalam bidang pertanian adalah kurangnya aktiviti serangga perosak menyerang tanaman. Ini kerana serangga perosak akan 'stress' dalam udara berasap dan suhu kurang panas untuk membolehkan serangga ini bergerak aktif. Lazimnya keadaan jerebu memberikan stress kepada serangga perosak untuk mereka merosakan tanaman terutama tanaman makanan. Tanaman makanan ini tidak tinggi hasilnya kerana kurang proses fotosintesis atau tidak berkualiti tinggi juga, Kurangnya proses fotosintesis untuk penyimpanan makanan mengakibat hasil boleh berkurangan sekitar 10% daripada keadaan biasa. Penulis juga menyatakan kesan jerebu terhadap industri lebah madu dan kelulut. Daripada pemantauan dijalankan di Kg. Pulau, Kubang Kerian, Kelantan (Kurang terjejas jerebu) dan di Daerah Batu Pahat, Johor (yang terjejas teruk jerebu) memang amat signifikan dari segi penghasilannya. Hasil madu kelulut dari beberapa orang pengusaha di Johor amat sedikit malahan 'hampir tiada' dibeberapa lokasi berbanding dengan lebah kelulut di ternak di Taman Kelulut Lundang, Kota Bahru. Saiz koloni juga berbeza dimana di kawasan terjejas jerebu menjadi 'kecil dan kurang aktif' berbanding dengan kawasan tidak terjejas jerebu. Kesan jerebu menyebabkan kurang bunga mekar serta sumber nektar amat berkurangan. Ketika ini maka lebah atau kelulut akan makan madu simpanan mereka sendiri. Keadaan jerebu yang berpanjangan amat menjejaskan sektor pertanian secara teorinya. Walau pun data mengenai isu ini agak kurang, beberapa pihak perlu mengambil serius perkara ini. Perlu ada kajian saintifik mengenai perkara ini oleh mereka yang pakar membuat kajian. Semuga artikel ini sedikit memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
AKIBAT JEREBU.... KESANNYA APA...
SEKTORPENERBANGAN...TERUKNYA...
KELAPA SAWIT... KURANG HASILNYA...
KAJIAN JEREBU ..SIAPA KAJINYA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(14 Muharam 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...