Dalam sumber lain, penulis memetik laporan mengenai seorang pengusaha iaitu Tn Hj Zin yang mana beliau mula menanam kurma pada 24 Julai 2010 di Kelantan. Sebanyak lebih 50 pokok ditanam buat permulaan dan didapati telah menghasilkan buah (Sila lihat foto disebelah). Penulis membuat hipotesis yang pokok kurma berbuah yang berlaku pada 2014 banyak dikaitkan dengan perubahan suhu dan cuaca dimana pada tahun tersebut berlaku cuaca panas berpanjangan dan suhu sejuk diwaktu malaam. Kesan El-Nino ini membolehkan pokok kurma yang ditanam di utara Semenanjung Malaysia (Khususnya di Kelantan) mampu menghasilkan bunga dan berbuah. Bagaimana pun tanaman kurma dilaporkan amat berjaya ditanam di Thailand dan ia mungkin adalah hasil dari kerja penyelidikan biakbaka tanaman (plant breeding) dan penyesuaian amalan agronomi berterusan di negara tersebut dengan varieti baru pokok kurma yang sesuai dengan iklim panas dan lembab seperti di Asia Tenggara ini. Berbalik kepada laporan akhbar, En Mamat mendakwa dimana pada peringkat awal dulu beliau memang tidak menyangka bahawa pokok kurma yang ditanamnya kira-kira lapan tahun lalu itu berbuah lebat menjelang Ramadan kali ini. Katanya, beliau begitu teruja melihat pohon tamar tersebut berbuah lebat memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Fakta ini seperti saya katakan mungkin berlaku kerana pengaruh perubahan cuaca pada 2013-2014 yang berlaku akibat kesan El Nino yang serius. Adakah ianya akan berbuah pada masa-masa akan datang?. Jawabnya mungkin "YA" atau "TIDAK". Bagaimana pun dengan penyesesuaian amalan agronomi diladang kemungkinan untk pokok kurma tersebut berbunga dan berbuah ada. Sama-sama kita lihat untuk tahun mendatang akan prestasi pokok kurma Malaysia ini. Kes-kes seperti ini juga telah dibuktikan berjaya untuk tanaman baru seperti Tanaman Buah Fig dan Anggur yang menjadi glamour masa kini. Usahawan benih merupakan paling seronok menjual benih kurma dan Fig kerana ramai yang ingin membeli dan seterusnya menanam pokok yang hebat ini. Apa jua pun kemahiran penanaman penting bagi menjamin benih yang dibeli akan memberikan kepuasan.
En Mamat menyatakan anak pokok kurma tersebut dibeli oleh anaknya diGua Musang dengan harga RM25. Masa mula-mula tanam beliau memang tidak yakin pokok itu boleh berbuah di Malaysia. Bagaimana pun daripada penelitian beliau mendapati dalam tiga tahun kebelakangan ini, pokok tersebut sudah berbuah tetapi kurang lebat. Buahnya pula kecil selain mempunyai rasa kelat. Kali ini boleh dikatakan hampir semua tandan pokok kurmanya berbuah lebat dan boleh dimakan. Selain kediaman warga emas itu ada juga beberapa batang pokok kurma yang ditanam di kawasan Bulatan Tuan Padang atau Bulatan Jam Besar di Kota Bharu turut mengeluarkan buah yang lebat sehingga mencuri tumpuan orang ramai (Sila lihat foto disebelah). Pokok kurma yang Mamat tanam di rumahnya di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan mengeluarkan buah yang lebat dan ia telah menempa sejaraah mengenai tanaman kurma di Malaysia. Kalau sebelum ini penulis hanya tahu ada beberapa pokok di Bulatan Maharani, Muar, Johor yang berbuah semenjak lama dahulu tetapi kini pokok tersebut telah ditebang akibat kerja-kerja pelebarab jalan dan pembinaan kedai perniagaan di bulatan tersebut. Sejarah mengatakan pokok kurma berbuah di Malaysia sudah tidak menjadi 'pelik' lagi bagi penduduk Bandar Muar kerana ia memang sudag berbelas atau pun berpuloh tahun dinikmati oleh mereka. Penulsi juga melihat beberapa pokok kurma di Pusat Pertanian Jorak, Pagoh, Johor yang sentiasa berbuah sepanjang tahun semenjak lama dulu sehingga sekarang tetapi ia dari jenis kecil dan liar yang boleh dikaji.
Pokok kurma pernah dijadikan Mercu tanda dibeberapa lokasi seperti di Bandar Muar. Bagaimana pun menurut Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) En Rosnazli berkata pokok kurma yang ditanam sekitar Disember 2008 itu bertujuan menaik taraf landskap pusat bandar tersebut. Pihaknya menanam sebanyak 37 batang pokok kurma dan 10 daripadanya berbuah tahun ini dimana pokok ini sebenarnya mengeluarkan buah sejak tahun lepas. Bagaimana pun masa itu buahnya tidaklah sebanyak seperti tahun ini. Gara-gara fenomena baharu yang melanda negeri Serambi Mekah itu maka ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengan pokok kurma tersebut (Sila lihat foto disebelah). Manakan tidak, tanaman itu lazimnya dikaitkan dengan negara beriklim panas dan kering di Asia Barat seperti Arab Saudi, Mesir, Turki, Iran dan Iraq. Menyedari potensi kurma sebagai tanaman komersial, kerajaan negeri Kelantan berhasrat memperkenalkan pokok tersebut sebagai sumber ekonomi baharu bagi petani di negeri berkenaan. Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menjadikan tanaman baharu kurma ini dimajukan dan bakal menyumbang kepada pendapatan petani. Projek perintis tanaman berkenaan telah diusahakan di tanah seluas 8,000 meter persegi di Limbongan, Pasir Puteh sejak tiga tahun lalu dan kini mula mengeluarkan hasil. Benih anak pokok kini memang diambil dari Thailand dan mereka amat yakin apabila pokok kurma itu mula berbuah mungkin ia akan semakin mudah mengeluarkan hasil selepas ini. Bagi pengusaha tapak semaian pokok kurma di RPT Pengkalan Pegoh Seberang, Ipoh, Perak, Mohd. Syful Rizan Abd. Manap menyatakan memang pokok kurma mampu tumbuh subur dalam apa jua keadaan tanah melainkan tanah liat.
Beliau yang menjalankan tanaman kurma sejak tujuh tahun lalu itu berpendapat, cuaca panas dengan taburan hujan sederhana menjadikan iklim negara ini sesuai untuk tumbuhan oasis itu. Cerita Mohd. Syful (Sila lihat foto disebelah) beliau telah menjalankan usaha penanaman pokok kurma menerusi pelbagai teknik percambahan biji kurma bagi mendapatkan benih yang sesuai. "Melalui pelbagai eksperimen yang dilakukan, saya akhirnya berjaya mencambahkan biji kurma dengan campuran kandungan tanah merah, tanah gambut dan pasir selain menggunakan baja organik," katanya. Bertutur lanjut, Mohd. Syful memberitahu, pokok kurma tidak berbuah jika ditanam secara bersendirian dan perlu ditanam secara berkelompok memandangkan tanaman itu terdiri daripada pokok jantan dan betina. "Bunga daripada pokok berlainan jantina ini akan mengeluarkan debunga yang berbeza apabila mencapai umur antara dua hingga tiga tahun. Menariknya, kata jejaka berumur 32 tahun itu, untuk menghasilkan buah kurma yang berkualiti, ia mesti 'disenyawakan' oleh tangan manusia dan bukannya menerusi agen pendebungaan lain seperti angin dan haiwan. Katanya, seorang petugas perlu memanjat pokok kurma betina dan 'mengahwinkan' debunga pokok itu dengan debunga jantan menerusi teknik sapuan tangan. Tandan bunga betina akan ditepuk-tepuk dan disapu dengan beberapa ranting bunga jantan. Menerusi cara ini, debunga betina akan disenyawakan secara semula jadi. Selalunya tidak banyak debunga jantan yang diperlukan untuk proses persenyawaan. Bunganya boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang kali selagi debunganya masih ada. Debunga pada satu dahan pohon kurma jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan kepada lebih 50 batang pokok kurma betina. Bunga jantan mengeluarkan debunga yang lebih halus berbanding betina. Pohon tamar jantan lebih tinggi dan berdaun keras berbanding pohon betina yang lebih rendah dan mempunyai daun yang merendang ke tanah.
Dari segi bunga pula dilaporkan bahawa pokok jantan menghasilkan bunga yang lebih mekar seperti rupa bunga kelapa dengan bau seakan-akan air mani manakala bunga betina hanya mengeluarkan putik-putik kecil. Pokok kurma jika dijaga dengan baik boleh mempunyai jangka hayat sehingga 90 tahun. Dakwanya pokok kurma boleh berbuah selepas lima hingga tujuh tahun dialih tanam daripada beg poli ke tanah lapang. Beliau lazimnya akan menggunakan kaedah berkomunikasi dengan pokok selain kerap berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW bagi memastikan pokok bertambah subur. Bagi tujuan untuk mendapatkan hasil yang lebih berkualiti, tanaman kurma ini juga diberi suplemen daripada gabungan madu dari negara Yemen, serbuk habbatus sauda, pati buah delima, garam bukit dan air zamzam menerusi kaedah semburan. Mungkin orang ramai juga tidak digalakkan menggunakan baja kimia dan boleh menggantikannya dengan baja organik tetapi pastikan ia bukan berasaskan najis binatang. Memang diketahui bahawa selain buah kurma selalu dimakan begitu sahaja tetapi sebenanya buah kurma yang manis sesuai dijadikan bahan dalam masakan. Menurut Ketua Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Md Shahrim beberapa jenis makanan seperti menu kek atau biskut serta puding kurma adalah antara juadah yang semakin popular di negara ini. Buah Kurma kering boleh dipelbagaikan dengan membuang bijinya dan digantikan dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambah keenakan. Selain itu buah kurma memang sesuai dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim. Kini ada juga yang menggunakan buah kurma dalam masakan seperti ayam masak merah dan daging masak hitam bagi memberi kelainan kepada rasa masakan. Penggunaan buah kurma memang tidak asing dengan rakyat Malaysia. Semuga artikel tulisan kali ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Terima kasih kepada beberapa akhbar tempatan yang sentiasa melaporkan testimoni untuk dikongsi bersama. Wasallam!.
POKOK KURMA... TANAM DIMALAYSIA...
SUDAH BERBUAH...SELEPAS BUNGA...
TANAMAN HIASAN...KOMERSIL JUGA...
ADA POTENSI... BAGAIMANA CARA?...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 106, Lee Garden Hotel,
Seri Manjung, Perak,
Malaysia.
(26 Zulkaedah 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.