Support My Blog

Thursday, May 5, 2022

NANAS - TANAM DIRUMAH

TANAMAN NANAS
(Ananas comosus) ialah sejenis daripada tumbuhan tropika yang luas ditanam di Malaysia. Tanaman nanas adalah tumbuhan asli berasal dari Brazil, Bolivia dan Paraguay yang dibawa masuk ke negara kita oleh penjajah kolonial dahulu. Tumbuhan ini berada dalam keluarga Bromeliaceae dimana ia merupakan sejenis tumbuhan yang rendah saka seperti jenis herba (herbaceous perennial) dengan mempunyai 30 helai atau atau lebih daun yang panjang, tajam mengelilingi batang yang tebal sama ada berduri atau tidak berduri. Buah nanas tergolong dalam buah bukan klimakterik iaitu hanya masak di pokok. Buahnya dikenali sebagai 'pineapple' dalam bahasa Inggeris kerana bentuknya yang seperti pokok kon pain (pine tree). Makna 'anana' adalah bermaksud "buah yang sangat baik". Di Malaysia, nanas banyak ditanam di negeri Johor, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dengan keluaran sekitar 16,500 hektar. Tanaman nanas ditanam daripada benih iaitu diambil daripada bahagian sulur dan jambul. Diantara varieti nanas yang disyorkan untuk ditanam di Malaysia ialah Nanas MD2, Josapine, Sarawak, Gandol, Mauritius (Moris) dan N36. Hanya varieti MD2, Josapine dan N36 berjaya menembusi pasaran eksport kerana mempunyai daya tahan yang tinggi. Selain daripada mempunyai permintaan yang baik di pasaran domestik dan eksport kini tanaman nanas juga tergolong dalam kumpulan tanaman yang boleh tahan kepada keadaan kemarau. Iklim untuk pertumbuhan optimum bagi tanaman Nanas ialah pada suhu sekitar 30°C dengan taburan hujan sebanyak 1250 mm setahun. Kadar pertumbuhan nanas amat bergantung kepada kelembapan tanah, pembajaan dan aruhan pembungaan dan pokoknya selalunya tumbuh setinggi 50-150 cm. Tanah yang terlalu kering boleh merencatkan pertumbuhan nanas sementara tanah yang terlalu basah boleh menyebabkan jangkitan kulat dan akar dan pangkal pokok yang busuk. Sebaiknya kawalan dan pengurusan air dan rumpai penting untuk menjamin pertumbuhan yang baik. Didunia dilaporkan pengeluaran buah nanas komersil boleh didapati di Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan, Brazil, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Mexico, Puerto Rico dan Taiwan. Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengadungi Asid citrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Dalam aspek perubatan didakwa dimana buah nanas lazimnya dimakan atau dibuat jus minuman untuk mencuci tubuh, melawaskan buang air kecil, merangsang penghadaman, sakit kerongkong, masalah hati dan demam kuning. Air nanas muda sesuai digunakan untuk rawatan pelbagai penyakit paru-paru dan membunuh cacing dalam perut. Nanas bagaimanapun tidak sesuai untuk ibu yang mengandung. Nanas dipercayai mampu boleh merawat barah (cancer). Dua jenis molekul daripada nanas didakwa ada menunjukkan hasil yang baik bagi melawan pertumbuhan barah. Terdapat beberapa kajian saintis yang giat dilakukan berkenaan dengan kandungan bromelain dalam nanas yang didapati dapat mengelak barah. Salah satu molekul yang dikenali sebagai CCS menghalang protin yang dikenali sebagai Ras dan satu lagi yang dikenali sebagai CCZ mengukuhkan sistem imuniti badan pesakit bagi melawan sel barah. Buah ini mempunyai kandungan vitamin A, B, dan C yang tinggi. Buah dan pokok nanas boleh dijadikan sumber komersial asid organik seperti asid askorbik, asid malik dan asid sitrik. Batang dan buahnya pula boleh digunakan untuk melembutkan daging. Serabut nanas pula yang diperoleh dari daun nanas boleh dibuat kain yang berkualiti selalunya boleh didapati di Filipina dan Taiwan. Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat atasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Amalan minum jus nanas, juga berkesan untuk atasi masalah kencing tidak lawas. Enzim yang terdapat pada buah nanas dikatakan boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta hapuskan fibrin yang boleh bawa sakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid serta berkesan dalam mengatasi masalah pencernaan, pundi kencing, cacing dan kelesuan tubuh badan. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsi maklumat mengenai menanam nanas dikawasan rumah untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.

Ramai yang bertanya penulis blog b
agaimana untuk kita menanam nanas di rumah?. Soalan ini memang ditanya melalui pertanyaan verbal, facebook, blog dan juga melalui whatsapp. Nanas merupakan jenis tumbuhan yang sesuai ditanam diladang luas, kebun kecil dan juga dalam kawasan disekeliling rumah. Sebenarnya seperti kebanyakan ahli keluarga tumbuhan dibawah keluarga Bromeliad, nanas adalah sejenis tumbuhan yang popular yang boleh ditanam di rumah sama ada didalam pot, polibeg, pasu atau diatas tanah. Paling tidak didepan rumah penulis blog di depan rumah dikampong kelahiran di Johor sudah terbukti berbuah (Sila lihat foto paling bawah). Pokok ini mudah dijaga jika memebuhi ciri-ciri amalan agronomi penanaman nanas bermula daripada penyedianan media tanaman, mendapatkan benih, cara meletakan tanaman nanas dilokasi sesuai dan jadual pembajaan, pengairan serta menghorman dan menjaga perosak dan penyakit. Penulis blog pernah melihat bagaimana beberapa keluarga menanam nanas didalam polibeg yang disusun dikawasan belakang rumah sekan menanam nanas secar akomersil (Sila lihat foto diatas). Sebanyak lebih dari 6,000 polibeg ditanam nanas dan disusun dibelakang rumah usahawan muda ini dan berjaya menghasilkan nanas premium varieti MD2 dalam masa lebih singkat dan kualiti buah yang baik. Ada juga yang ditanam didalam pasu bersaiz sederhana yang kemudiannya disusun diatas lantai simen disekeliling rumahnya *Sila lihat foto disebelah). Apa pun yang penting kesemua pokok nanas ini mendaptkan semaksima mungkin cahaya matahari daripada pagi sehingga petang untuk pertumbuhan pokok yang optimum. Usahawan muda ini bukan sahja dapat menuai dan makan nanas yang ditanam sendiri malahan berjaya menjualnya sebagai pendapatan tambahan kepada usaha beliau.

Terdapat beberapa cara untuk menanam nanas disekeliling rumah boleh dilakukan asalkan ada kemahuan, modal dan paling penting ilmu pengetahuan. Daripada tanam pokok bunga yang tidak berhasil lebih baik pasu tersebut dibongkar dan diisikan media tanaman dan kemudian dimasukan benih nanas (Sila lihat foto disebelah). Pilih benih nanas jeni premium seperti nanas MD2 atau Josapine yang sihat dengan mempunyai latarbelakang pokok induk yang telah dilihat buahnya sama ada dari benih sulur tanah atau pun benih daripada jambul nanas. Setiap pasu diisikan dengan media tanaman sepeti tanah campuran dengan cocopeat dan baja organik pada kadar 3:1:1. Benih ditanam ditengah pasu dimana hanya sepokok bagi setiap pasu. 
Nanas mempunyai sistem akar yang cetek dimana sebaiknya pastikan pasu memberikan ruang mencukupi ia berkembang. Pastikan bahagian bawah pasu ada lubang saliran air keluar dari pasu kerana jika ada air tergenang dalam pasu boleh menyebabkan pokok nanas akan mati lemas. Susun pasu dengan pokok nanas di lokasi yang mendapat cukup cahaya matahari dari pagi sehingga petang. Elakkan terkena naungan kerana ia menjejas pertmbuhan dan kualiti buah. Pastikan untuk selalu menyiram terutama pada musim panas terik kerana sebaiknya air harus sentiasa berada dalam roset daun. Penyiraman boleh air paip atau air hujan dengan kekerapan minima seminggu sekali. Pembajaan pokok nanas dalam pot atau pasu memang perlu disesuaikan dengan kuantitinya dan kekerapannya.

Beberapa amalan agronomi tanaman nanas dikawasan rumah boleh dilakukan sendiri pada waktu santai pada bila-bila masa. Jika ada rumpai atau 
daun tua yang telah kering maka ia perlu dipotong dengan teliti. Setahun kemudian dengan penjagaan baik maka nanas membentuk sistem akar kuat dimana jika boleh ia perlu ditransplantasikan ke dalam bekas yang lebih luas jika pasu sedia ada agak kecil. Itulah pentingnya memilih saiz pasu atau pot atau polibeg yang sesuai dengan saiz pokok nanas yang hendak ditanam. Bagi jenis nanas jenis lama seperti Nanas Sarawak, Nanas Yankee, Nanas Madu Kaca, Nanas Moris Gajah kurang disyorkan untuk ditanam dalam pasu kerana pokoknya besar, berduri dan kurang sensitif dengan aplikasi aruhan pembungaan. Apa pun apabila pokok sudah cukup umur (bergantung kepada varieti) maka ia boleh diberikan hormon untuk aruhan pembungaan. Penulis blog dapati banyak pokok nanas dalam pasu atau polibeg berbunga dan berbuah tanpa dihormon (Sila lihat foto disebelah). Buah nanas yang matang boleh dipetik dengan mengira dari tarikh membubuuh hormon atau melihat ciri-ciri fizikal pada buah nanas tersebut. Petik buah dengan memotong tangkai nanas dan sedia untuk dimakan setelah membuang kulitnya. Kemudian daun pokok nanas dicantas dengan pisau tajam dan dibaja semula agar ia mampu untuk mengeluarkan sulur benih. Apabila 2 - 5 sulur sudah keluar maka medium tanah boleh dibongkar untuk penanaman semula pokok baru. Seemuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
SELAMAT HARI RAYA TAHUN 2022!..
TANAM NANAS... DI RUMAH SAHAJA...
DALAM POLIBEG... PASU BOLEH JUGA...
MEDIUM TANAH... BENIH MASUKANNYA...
DIJAGA DIBAJA... MENUAI HASIL KITA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(10 Syawal 1442H).
Posted from:
Kg Parit Bengkok,
Gersik, Ledang, Johor.. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...