KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, November 22, 2016

BAYAM MERAH 788

BAYAM (Amaranthus spp) merupakan sejenis sayuran jenis berdaun yang di tanam untuk kegunaan segar sebagai sayuran dari keluarga Amaranthaceae. Umumnya, bayam yang ditanam untuk dalam pasaran Malaysia dan mendapat permintaan tinggi terdiri daripada Bayam Hijau Berdaun Bulat, Bayam Hijau Berdaun Lonjong dan Bayam Merah. Bayam adalah jenis sayur daun dari yang kaya dengan zat seperti Vitamin A, Vitamin B , Vitamin C dan zat-zat galian lain seperti zat besi (Fe), Posforan (P), Potassium (K), Mangganese (Mn) dan Zink (Zn). Khasiat bayam memang tidak dapat dinafikan lagi kepada permakanan manusia sebagai sumber sayuran hijau yang enak. Saya memang suka makan sayur bayam terutama jika dimasak 'Bening Air' dan dimakan dengan ikan kering serta nasi panas terutama pada masa makan tengahari. Kebanyakkan tanaman bayam di Malaysia sselalunya di tanam untuk tujuan pasaran domestik dan sebahagiannya untuk diekspot ke Singapura dan Brunei. Bayam adalan jenis sayuran daun singkat masa yang lazimnya ditanam diatas batas pada tanah subur yang cukup baja, cahaya matahari dengan penjagaan sempurna. Terdapat seluas 4,180 hektar bayam di tanam di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 45,140 metrik tan pada tahun 2012 dan ia meningkat sedikit pada 2016 iaitu berdasarkan kepada laporan statistik Jabatan Pertanian. Penulis blog juga mendapati kawasan utama bagi penanaman bayam komersil di Malaysia adalah di Negeri Johor (sebanyak 65% keluasan tanaman bayam di Malaysia) dan diikuti dengan Selangor serta Pulau Pinang. Artikel kali ini penulis meneruskan hobi untuk membuat rencana dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu varieti iaitu BAYAM BULAT DAUN HIJAU atau nama lainnya sebagai BAYAM BULAT DAUN PUTIH daripada 8 varieti bayam yang popular ditanam di Malaysia berdasarkan kepada kajian teknikal yang dijalankan.



Terdapat lapan (8) varieti Bayam yang penulis bersama pasukan ditubuhkan untuk buat kajian iaitu bayam jenis komersil yang ditanam dinegara kita untuk kita mengenal akan varieti tersebut berasaskan kepada pencirian teknikal. Varieti yang saya akan bincang dalam siri ini mengambil masa kutipan data selama 1 tahun untuk proses mengumpul maklumat dengan menanamnya diseluruh negara dengan kerjasama Bahagian Hortikultur, Jabatan Pertanian Malaysia. Penanaman varieti bayam ini daripada banyak lokasi berada di seluruh Semenanjung Malaysia. Varieti yang dikaji adalah (1) Bayam Merah Bangladesh - Green Eagle 806 (2) Bayam Bulat Separuh Merah - Green Eagle 802 (3) Bayam Hijau Daun Panjang - Soon Huat Seeds S131 (4) Bayam Merah - Soon Huat Seeds S133 (5) Bayam Hijau Berdaun Bulat - Leckat Seeds 3388 (6) Bayam Hijau Berdaun Bulat/Lonjong - Leckat Seeds 088 (7) Bayam Merah - Leckat Seeds 788 (8) Bayam Merah Penuh - Leckat Seeds N888. Benih daripada tiga syarikat ini dibeli daripada kedai penjual benih serta syarikat pengedar benih untuk mempastikan ianya juga benih yang sama digunakan oleh kebanyakan petani yang menanam sayur bayam secara komersil. Kaedah penanaman mengikut Piawaian Teknik Kajian RCBD dengan ulangan penanaman beberapa kali (minima 3 kali ulangan) untuk setiap varieti yang dipilih. Pegawai pelaksana diberikan penerangan kaedah untuk menentukan pencirian dan pengukuran tanaman bayam. Pakej Amalan Teknologi penanaman bayam daripada Jabatan Pertanian digunapakai dalam menjalankan ujikaji.



Varieti Bayam Merah 788 ini diedarkan oleh Leckat Seeds dengan bungkusan plastik kedap udara berwarna putih biru dengan ada gambar varieti dipaparkan pada label paket (Sila lihat foto sebelah). Nama lain varieti ini ditulis sebagai 'Autumn Green Amaranth 788'. Kajian dari pasaran menunjukkan benih varieti ini dipasarkan dengan harga jualan runcit sekitar RM 50.00 hingga RM 60.00 sekilogram bergantung kepada saiz pembungkusan. Keterangan pada paket benih dinyatakan mengenai nama varieti, tarikh lupus dan berat benih didalam paket tetapi tiada maklumat mengenai kadar penyemaian yang sesuai digunakan untuk varieti ini. Penanaman dalam petak kajian dibuat dengan sistem tabur terus diatas batas setelah media tanaman adalah tanah yang dicampur dengan pasir halus pada kadar 1:40 (Benih : pasir halus). Satu gram benih mengandungi sekitar 900 - 1,100 biji bayam yang halus ini. Cara penanaman bayam mengikut pakej teknologi tanaman bayam yang disediakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Amalan agronomi penanaman dilakukan seperti dalam panduan menanam bayam komersil.


Bayam varieti ini mempunyai bentuk daun 'Broad Ovate' atau dalam bahasa kita agaknya Lebar Ovat dengan warna daunnya adalah hijau dibahagian tepi dan merah ungu dibahagian tengahnya terutama amat jelas dilihat dibahagian bawah laidaun (Sila lihat foto sebelah). Penulis blog yang meniliti mendapati dibahagian tepi lai daun tidak ada sedikit lekukan (lobing) pada varieti ini. Dibahagian hujung laidaun bentuknya bulat (Rounded) dan bentuk permukaan pada daun pada pokok (curving of leaf margin) adalah mendatar (flat). Bentuk tangkai daun pada batang (petiole altitude) didapati menegak (erect) dengan nyata. Varieti ini mempunyai batang dan daun diperingkat awal penanaman adalah merah ungu solid dengan akarnya berwarna putih krim. Dari segi pertumbuhan, varieti ini mempunyai kadar pertumbuhan sederhana cepat dikalangan semua varieti. Varieti ini selalunya hanya ditanam oleh petani khususnya untuk pasaran segar dan antara yang diminati oleh ramai pengguna kerana mempunyai warna hijau yang menarik dan segar. Varieti ini akan menghasilkan bunga dengan jambak berwarna hijau (lihat foto dibawah).


Bayam varieti ini merupakan varieti yang popular dikalangan pengguna tempatan diseluruh Malaysia. Bayam ini dimasak masak air, sup atau ditumis dan dimakan bersama nasi lazimnya pada hidangan makan tengahari. Kajian daripada beberapa sumber mendapati bayam varieti daun merah ini memang mengandungi bahan vitamin, zat galian seperti Posforan, Kalium, Zat Besi dan juga Manganese yang baik untuk meningkatkan kesihatan kita. Dalam batang bayam merah kaya dengan bahan seperti Alkoloid, Flavanoid dan juga Poliferol. Antara khasiat bayam ini didakwa baik untuk sistem pencernaan kita, dapat mengurangkan kemungkinan Penyakit Nyanyuk (Alzeimer), Antikanser, Awet muda, mengurangkan risiko serangan diabetik, meningkatkan pengambilan serat dan sebagainya. Paling penting adalah semasa memasak jangan sampai 'overcook' sehingga banyak kandungan zat hilang. Kepada semua rakyat Malaysia saya syorkan tanam sendiri bayam BULAT HIJAU BERDAUN BULAT 3388 ini dikeliling rumah untuk kegunaan sendiri secara organik. Penulisan ini berdasarkan kepada kertas yang dibentangkan dalam Seminar Teknikal Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian yang dilaksanakan. Selamat mengenali Bayam Merah 788. Wasallam!.
BAYAM MERAH BERDAUN OVAT...
NOMBOR 788 PENGEDAR LECKAT...
VARIETI POPULAR DITUMIS PEKAT...
SESUAI DIMAKAN BANYAK KHASIAT...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Pulau Gadong Agriculture Center,
Melaka Tengah, Melaka,
Malaysia.

(4 Ogos 2013)
Posted bya November 2016 (3years after).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...