Support My Blog

Saturday, November 5, 2016

TANAM KANTAN - TESTIMONI DI RAUB

POKOK KANTAN (Phaeomeria speciosa Koord) adalah sejenis tumbuhan yang kini telah mula dikomersilkan untuk pasaran segar dan juga diproses. Bunga Kantan kini merupakan satu komoditi yang diperlukan dengan kuantiti banyak terutama dimusim perayaan dan hari-hari tertentu dalam masyarakat kita. Kalau dahulu pokok kantan hanya tumbuh meliar dikawasan lembah sahaja atau ditanam secara kecil-kecilan dikawasan keliling rumah dikampong tetapi kini ianya sudah berbeza. Penulis yang pernah melawat beberapa projek tanaman kantan komersil di Batu Pahat, Johor dan beberapa negeri lain mendapati tanaman ini boleh dijadikan satu usaha yang menjamin pendapatan jika dapat diuruskan dengan baik termasuk aspekk pasaran. Anda boleh baca artikel tulisan saya mengenai tanaman kantan (Sila klik disini), (Sila Klik Disini), (Sila Klik Disini) dan (Sila Klik Disini). Apa pun penulis yang berpeluang membuat tinjauan di Raub tidak lama dulu sempat melawat petani yang menjadikan tanaman kantan sebagai satu komoditi yang sesuai dimajukan. Kata orang dulu jika berbudi pada tanah, pasti dapat hasilnya dan jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pepatah itu dibuktikan seorang petani, Ahmad Mustafa Yunus, 57 yang terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord secara komersial. Projek ini yang telah diusahakannya di kawasan seluas dua hektar di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang. Pada masa ini terdapat 1,000 rumpun pokok berkenaan yang tumbuh subur hingga mencapai ketinggian dua meter membabitkan tiga jenis iaitu bunga berwarna merah, putih dan merah jambu. Ketiga-tiga jenis bunga kantan ini bagaimana pun tidak banyak berbeza cara pengurusan dan amalan agronominya. Artikel malam Isnin ini saya menulis satu kisah dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu testimoni seorang petani yang berjaya menanam kantan secara komersil. 


Penulis semasa membuat temuduga kepada En Ahmad Mustafa mendapati penanaman kantan di kebunnya bermula dengan idea beliau sendiri yang ingin membeli bunga kantan semasa sambutan hari raya yang sangat sukar didapati. Berbekalkan kepada keinginannya untuk menanam pokok kantan beliau membuat pertanyaan kepada pegawai di Jabatan Pertanian dan membuat capaian dilamanweb. Usaha terhasil bila mendapat sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian yang menyediakan sedikit bantuan untuk permulaan seperti benih, penyediaan kawasan dan bantuan baja dan bantuan khidmat nasehat. Kawasan projek dibersihkan dan benih kantan ditanam dengan jarak 3 meter x 2 meter. Kini semua pokok kantan telah berumur lebuh 10 tahun dan matang. Dalam pada itu menurutnya, aktiviti memungut bunga kantan pra -matang dilakukan setiap tiga hari dan purata hasil antara 400 sehingga 700 kuntum seminggu. Bunga kantan yang matang keluar daripada perdu pokok dan akan dipotong dengan pisau tajam dan dikumpulkan dalam bakul. Ia dikumpulkan dan kemudian digredkan mengikut saiz dan warna. Kaedah mengred dan aktiviti lepas tuai dengan memotong tangkai bunga kantan dengan panjang seragam dan akan diikat setiap sepuluh kuntum satu ikatan. Kalau bekalan banyak maka ianya akan disimpan didalam peti sejuk untuk beberapa hari.


Merujuk kepada aktiviti berkaitan pokok kantan, En Ahmad Mustafa masa dahulu sebenarnya juga pernah menjadi pemborong dan menjual hasil pertanian itu kepada beberapa pembeli. In termasuk mencari bunga kantan untuk dijual kepada pasar dan penjaja pasar malam. Bagaimana pun sejak beberapa tahun lalu dia hanya menumpukan sepenuhnya kepada aktiviti pengeluaran bunga kantan saja. Dalam melihat akan aktiviti hariannya, beliau setiap minggu bersama isteri dan anak ke kebun untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti membersih kawasan, melakukan penjarangan pokok, menanam semula, meracun, memungut hasil dan menjual kepada beberapa pemborong. Mengusahakan tanaman pokok bunga kantan sangat mudah kepada orang kampong sepertinya. Mereka hanya perlu membeli racun rumpai terpilih yang digunakan setiap dua hingga tiga bulan sekali untuk mengawal rumpai dikawasn tanaman dan melakukan pembajaan mengikut jadual. Pokok Kantan sebenarnya boleh hidup subur di kawasan berair dan lembap sementara musuh seperti serangga dilaporkan memang tidak berminat menyerang kerana aroma yang terdapat padanya. Bagaimana pun kawasan yang selalu tenggelam banjir boleh merosakkan tanaman ini. Kawasan tanah gambut dan tanah bercerun selalu diusahakan dengan tanaman kantan diatas batas. 


Melihat kepada pokok kantan dikebun ini didapati setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh (3-7) kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok. Hanya bunga yang belum berkembang saja diambil bagi memastikan ia tidak mudah rosak dan busuk apabila terdedah cuaca panas. Pokok kantan yang jarang diambil bunganya kurang berhasil bermakna sebaiknya pengambilan bunga kantan dilakukan mengikut jadul sewajarnya. Mengenai aspek jualan, harga ladang bagi bunga kantan bergantung kepada saiz dan jenisnya iaitu antara RM0.40 - RM0.70 sekuntum. Kaijian penulis mendapati bagaimana pun harga in meningkat 2-3 kali ganda pada musim perayaan. Kalau sebelum ini dia menjual terus kepada beberapa pembeli pasar Selayang, Selangor dan Pasar Besar di Bandar Kuantan setiap minggu bagaimana pun kini golongan pemborong yang akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan bekalan bunga kantan. Ini kerana beliau telah lama membekalkan bunga kantan berkualiti dan konsistet kepada pemborong. Dakwanya kini sudah 15 tahun berulang-alik ke pasar Selayang dan pasar besar Kuantan untuk menjual bunga kantan termasuk pelbagai sayur kampung seperti pucuk paku hijau, ulaman, rebung dan ubi. Sebenarnya masa kini kadar permintaan terhadap produk sayur kampung begitu menggalakkan kerana ia selamat dimakan dan berkhasiat. Selain daripada sayuran hasil dari durian, rambutan, dokong, duku dan manggis banyak dikawasan kampong ini. Hasil buah-buahan bermusim ini sebenarnya dapat membantu menambah pendapatan penduduk setempat selain mengelak berlakunya lambakan.


Dalam pada itu En Ahmad sebenarnya pernah menerima Anugerah Peladang Jaya peringkat negeri pada 2002 dan Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan (2004). Hasil daripada tanaman bunga kantan Jenis Merah dianggap terbaik dan mendapat permintaan lebih tinggi dalam kalangan suri rumah dan tukang masak profesional jika dibandingkan dengan Jenis Putih dan jenis Merah Jambu. Apa pun bagi menjaga kualiti dan mutu bunga kantan ia perlu segera dipasarkan sebaik saja proses membersih dan menggred dilakukan. Aspek pembungkusan perlu diberikan perhatian bagi memastikan bunga kantan sentiasa dalam keadaan kering dan tidak mudah patah. Pokok bunga kantan yang tergolong dalam keluarga halia digunakan sebagai penambah perasa dan aroma makanan selain menjadi penawar pelbagai jenis penyakit termasuk turut digunakan untuk awet muda dalam kalangan wanita Melayu. Pokok bunga kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun walau pun pada waktu tertentu pengeluaran bunga berkurangan dalam tempoh beberapa bulan. Ketika bunga kantan berkurangan pokok akan dibaja dan dijaga seperti biasa.


Bagi meningkatkan pokok kantan yang sudah tua, aktiviti pemulihan sentiasa dilakukan. Ada pokok bunga kantan yang telah berumur lebih 15 tahun dan pokok-pokok ini akan dipulihkan dengan membuat cantasan dan program untuk pembajaan dengan lebih baik. Kini telah ramai penduduk kampong ini yang telah menanam okok kantan dibawah dusun buah-buahan secara suka-suka dan ada sampai tahap komersil. Program seperti ini adalah dilakukan bertujuan untuk menambah pendapatan penduduk kampung. Kini beliau berkongsi pengalaman mengusahakan kebun untuk penanaman bunga kantan dan mereka yang berminat boleh mencuba projek berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya mudah. Projek tanaman pokok bunga kantan mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara besar-besaran. Harga produk berkenaan di pasaran katanya mencecah RM4 sekuntum terutama pada musim perayaan. Selain daripada bunga kantan, En Ahmad juga mampu untuk membekalkan anakbenih kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan. Pokok bunga kantan yang ditanam ada yang berbeza terutama dari segi saiznya berbanding yang banyak terdapat di kampung. Penulis kini sebenarnya telah banyak membuat tinjauan kekawasan penanaman pokok bunga kantan sebagai satu usaha yang berjaya di Melaka, Selangor, Pahang, Perak dan yang paling tersohor adalah di Batu Pahat, Johor. Sebagai rumusan penulis dapati menanam [okok bunga kantan sesuai untuk dilakukan secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar dan sebaliknya mampu memberi keuntungan besar. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!!..
BUNGA KANTAN... EN AHMAD CUBA...
DI DAERAH RAUB... KEMPONG DIA...
IA DIPETIK... 10 BATANG IKATANNYA...
USAHA MURNI...MENYARA KELUARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Pamah Rawas, Raub,
Pahang, Malaysia.
(11 Muharram 1438H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...