KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, November 15, 2016

BEBOLA IKAN - ISU DAN RESEPI

BEBOLA IKAN (Fish Ball) adalah sejenis makanan yang berasaskan isi ikan. Daripada penelitian didapati bebola ikan yang dihasilkan tidak kurang daripada 50% isi ikan dimana ia akan di adun dengan tepung serta lain-lain bahan. Kemudian bebola ikan dibentuk menjadi bentuk 'bola' bersaiz kecil seperti guli kaca atau besar seperti buah pingpong yang berwarna putih. Bebola ini kemudian di rebus atau di kukus (lihat foto bebola ikan berwarna putih diatas) atau di goreng yang akan menjadi bebola ikan berwarna perang. Penulis ada juga membeli bebola ikan di supermarket tetapi ia juga selalunya akan melihat tanda 'HALAL' yang dipaparkan pada pembungkusnya. Bebola ikan juga ada yang dicampur dengan lain-lain bahan seperti sayur-sayuran hijau atau sayur campur seperti potongan karot, jagong, kacang pis dan lain-lain. bebola ikan jenis ini dipanggil bebola ikan sayuran atau dikenali sebagi 'mixed-vege'. Bebola ikan ini merupakan produk seafood yang semakin popular dikalangan rakyat Malaysia sebagai makanan berkhasiat dan enak. Sebut sahaja makanan berasaskan bebola ikan pasti anda akan menjumpai sup bebola ikan, bebola ikan dicucuk sate, sambal bebola ikan, ramuan mee goreng, kue tiow goreng, yong tou fu, cendawan dan bebola ikan dan sebagainya. Rasa lemak, manis, masin dan sebagainya pada bebola ikan yang lembut dan kenyak memberikan citarasa tersendiri bebola ikan yang dimakan. Kalau dahulu cara membuat bebola ikan ini secara manual dan konvensional tetapi kini telah ada beberapa mesin membuat bebola ikan yang canggih dan menepati piawaian GMP (Good Manufacturing Practices) bagi menepati persijilan MeSTI. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa isu, pembuatan dan resepi membuat bebola ikan sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

Mesin bebola ikan boleh dibeli dari fabrikator tempatan atau alat buatan import dari luar negara seperti mesin dari China. Pada masa kini makanan bebola bolehlah dijadikan sebagai makanan snek untuk dimakan pada masa lapang. Sesetengah orang juga menggunakan bebola sebagai hidangan untuk dimakan bersama nasi. Pelbagai resipi yang boleh dicuba menggunakan bebola seperti sup bebola dan sebagainya. Maka penulis tidak hairan jika bebola kini menjadi kegemaran ramai dan sering mendapat tempat dipasaran. Bebola secara asasnya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti Bebola Ikan, Bebola Daging, Bebola Sotong, Bebola Ketam dan lain-lain. Harganya amat berpatutan dan ia amat mudah di masak. Kebanyakan peniaga mengambil peluang ini dengan menjual bebola yang telah digoreng. Sebenarnya secara tidak langsung, perkara ini telah membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk mengembangkan lagi usaha perniagaan bebola ini. Bagi menghasilkan bebola kita perlu menguli dan bentukkan doh menjadi kecil serta bulat-bulat seperti bola pingpong. Bagi peniaga biasanya mereka perlu menguli dan bulatkan doh dalam kuantiti yang banyak dalam satu masa. Sebenarnya kerja tersebut menyukarkan mereka kerana membentukkan doh menjadi bulat adalah sesuatu kerja yang agak leceh dan lambat. Kini ada mesin berkenaan siptaan ZDA yang disediakan oleh usahawan bumiputra En Zul (Sila lihat foto disebelah). Mesin ciptaan ini bertujuan untuk membantu para pengusaha menghasilkan bebola dalam kapasiti yang banyak dalam satu masa. Proses yang lambat dapat diubah menjadi lebih pantas berbanding proses secara manual. Selain itu penggunaan tenaga pekerja juga dapat dijimatkan. Oleh itu pengguna perlu menempah mesin yang diperlukan mengikut modal atau kemampuan pengguna dan mengikut spesifikasi yang di kehendaki. Harga asas bagi setiap barang keluaran ZDA adalah tidak tetap dan ia juga bergantung kepada pelanggan yang menempah mesin dari segi keperluan dan kehendak pengguna terhadap mesin tersebut. Mesin ini mampu menghasilkan bebola dengan kapasiti lebih banyak berbanding cara manual.

Antara isu yang sering diperkatakan oleh pengguna Islam di Malaysia adalah status produk bebola ikan sama ada Halal atau ianya meragukan. Ini selaras dengan laporan akhbar tempatan bertajuk "Hati-hati beli bebola ikan - Jakim". Berita yang dipetik di Kuala Lumpur pada Feb 2016 ini memberi ingatan kepada umat agar berhati-hati apabila membeli bebola ikan kerana kebanyakan yang dijual di pasaran mengandungi plasma darah haiwan. Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Amri berkata, plasma darah haiwan yang digunakan adalah terdiri daripada ayam, lembu dan babi bertujuan untuk ianya mencantikkan serta menambah kualiti bebola ikan supaya lebih kenyal. Justeru itu orang Islam perlu berhati-hati ketika membeli bebola ikan di pasaran dengan memastikan ianya mendapat sijil halal Jakim pada produk tersebut. Laporan ini berdasarkan kepada beberapa pemeriksaan dijalankan di premis membuat bebola ikan disekitar Lembah Kelang dan Pulau Pinang yang mana kesalahan seperti ini dilakukan. Selain itu ada pengusaha yang mencampurkan bahan asas untuk menyimpan bebola ikan didalam bilik sejuk bersama-sama daging babi dan produk lain yang tidak halal. Terdapat juga beberapa pengusaha yang tidak mempunyai sijil halal tetapi menggunakan tanda halal pada produk syarikat mereka tanpa ragu-ragu. Penguatkuasa perlu sentiasa membuat aktiviti serbuan dan pemeriksaan kilang yang membuat bebola ikan untuk pasaran domestik.

Penulis ada juga beberapa kali melawat premis membuat bebola ikan bumiputra disekitar Kuantan, Melaka, Kemaman dan Johor Bahru. Mereka mempunyai sijil yang diperlukan dan menghasilkan produk halal. Apa pun kita sendiri sebenarnya boleh membuat bebola ikan dirumah. Diantara bahan-bahan untuk membuat bebola ikan buatan sendiri dirumah adalah seperti 1/2 kg ikan (gunakan jenis kembung atau ikan tenggiri segar - ada yang gunakan suremi), sedikit lada sulah, 1 sudu kecil garam, tepung ubi atau gunakan tepung jagung dan juga air yang akan digunakan untuk merebus) dalam periok. Kerja membuat bebola ikan boleh dimulakan dengan menyiang ikan dan dibasuh sehingga bersih. Kemudian ikan yang telah dibersihkan diasingkan isi daripada tulang dan dikisar halus tanpa air. Kemudian ianya dicampurkan isi ikan bersama lada sulah dan garam dan digaul sehingga sebati. Seterusnya dimasukkan tepung dan diuli sehingga adunan tidak melekat ditangan semasa kerja menguli. Seterusnya adalah membuat persediaan untuk merebus bebola ikan dengan merebusnya didalam air panas yang mendidih. Pada masa sama perlu dibentukkan bebola ikan bulat-bulat dengan saiz mengikut kegemaran sama ada kecil, sederhana atau agak besar. Kemudian bebola ini perlu dimasukkan kedalam air yang sedang mendidih dan direbus sehingga bebola masak dan kenyal. Tunggu sehingga bebola ikan timbul dan bolehlah diangkat menggunakan senduk berjaring. Kumpulkan dalam bekas dan dibiarkan sehingga sejuk.. Bebola ikan ini boleh dimakan terus, dimasak, dijual atau disimpan dalam peti sejuk. Bagi resepi membuat sup bebola ikan perlu dilakukan dengan menumis kuah, tambah rempah ratus atau gunakan perisa sup segera digunakan sebagai air rebusan.  Sup bebola ikan enak dimakan sewaktu perut amat lapar...

Dalam testimoni lain, penulis merujuk kepada laporan kahbar utusan bertajuk 'Balok jadi pusat bebola ikan'. Ini berita tempatan dimana sekumpulan isteri nelayan mencuba membuat bebola ikan di Pasar Nelayan Balok, Kuantan (Sila lihat foto disebelah). Berita ini menyatakan Malaysia kini merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh laut dan sekali gus menjadikan kawasan perairan negara kaya dengan pelbagai sumber marin. Maka penulis pun tidak hairan jika industri perikanan merupakan antara kerjaya penting kepada sebahagian masyarakat di negara ini terutama penduduk Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. Di Negeri Pahang sebenarnya sektor perikanan masih menjadi antara kerjaya penting kepada sebahagian penduduknya, terutama mereka yang tinggal di kawasan pantai seperti di Balok. Menyedari kepentingan industri tersebut kepada penduduk dan negara, kerajaan sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan untuk memajukan lagi bidang berkenaan supaya berkembang sebagai industri yang berinovatif. Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat nelayan di negara ini termasuk di Pahang dengan mewujudkan industri hiliran berasaskan ikan. Selain itu ujud usaha bagi membantu negara mengurangkan kadar import barangan makanan termasuk berasaskan ikan dari luar yang bernilai berbilion ringgit.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan para nelayan, pelbagai usaha telah dapat dilakukan oleh kerajaan termasuk bagi menyediakan bantuan peralatan. Ini adalah bagi membolehkan hasil laut yang telah ditangkap dapat diproses menjadi produk hiliran bermutu tinggi seterusnya boleh dikomersialkan. Selain dari kemudahan peralatan bagi nelayan yang berminat menjadi usahawan, kerajaan turut menyediakan kursus-kursus asas bagi membantu mereka meningkatkan lagi kemahiran ketika berada di laut. Misalnya di perkampungan nelayan Balok, Jabatan Perikanan melalui Pusat Pengembangan Perikanan telah mengadakan kursus Sistem Kedudukan Global (GPS) dan enjin sangkut kepada lebih 60 nelayan tempatan. Turut diadakan ialah kursus membuat bebola ikan kepada isteri-isteri nelayan bagi mempelbagaikan produk berasaskan ikan. Pegawai Pengembangan Perikanan iaitu Encik Abdul Rahim menyatakan kursus tersebut diadakan sebagai pendedahan kepada nelayan dan memudahkan kerja-kerja penangkapan ikan di laut menggunakan GPS. GPS dapat mengesan kawasan yang mempunyai ikan yang banyak dan membantu nelayan menandakan tempat tersebut supaya memudahkan mereka kembali ke situ semula. 'Kursus itu diharap dapat membantu para nelayan menggunakan peralatan tersebut bagi meningkatkan hasil tangkapan mereka. Tambah Abdul Rahim, selain nelayan, isteri-isteri mereka juga turut diberi tunjuk ajar untuk mempelbagaikan produk berasaskan hasil laut tersebut. 'Sebelum ini mereka hanya menghasilkan ikan kering dan keropok jika ikan yang diperoleh tidak dapat dijual. Melalui kursus membuat bebola ikan ini diharap dapat memberi banyak lagi pendedahan kepada mereka untuk mempelbagaikan produk sedia ada. 'Selain diberi taklimat mengenai cara membuat bebola ikan, mereka turut diajar membuat nuget, kek ikan dan ikan salai. Mereka boleh meningkatkan produk sedia ada menjadi industri hiliran dengan menambah nilai produk bagi meningkatkan pendapatan keluarga. Kawasan Balok terkenal dengan mi calong yang menjadikan bebola ikan sebagai bahan utama. Oleh itu isteri nelayan boleh mewujudkan satu industri baru di Balok iaitu menghasilkan bebola ikan dan memasarkan kepada pengusaha mi calong di sekitar kawasan ini. Kursus seperti ini dapat meningkatkan kreativiti peserta dan dalam masa sama dapat mewujudkan industri baru di kampung ini selain penghasilan keropok dan ikan masin. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!..

BEBOLA IKAN...ISI IKAN ASASNYA...
CARA MEMBUAT...MUDAH SAHAJA...
PASTIKAN HALAL... BERSIH PULA...
PELBAGAI RESEPI...ENAK SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist, 
Room 103, Hotel Sri Malaysia,
Tanjung Gemok, Rompin,
Pahang, Malaysia.
(20 Muharam 1438H)
Posting pada 15 November 2016 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...