Support My Blog

Wednesday, November 2, 2016

RACUN MAKHLUK PEROSAK - APA DIA?

APAKAH DIA RACUN MAKHLUK PEROSAK?. Ini ianya merupakan satu soalan yang amat penting bagi semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian terutamanya petani, pegawai pengemvangan, pengeluar bahan racun dan pejabat kesihatan. Dari segi definasi Racun Makhluk Perosak atau ringkasnya RMP ialah sebarang bahan atau sebatian dimana penggunaannya adalah bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Racun perosak mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), antimikrob, bahan penyahjangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Makhluk perosak termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod, danmikrob yang merosakkan benda, menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak, ia tetap ada keburukannya seperti potensi keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Mengikut Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan, 9 daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal (berterusan) ialah racun perosak. Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat peganti kimia iaitu racun rumpai, racun kulat, racun serangga dan racun bakteria. Bagaimana pun dalam kursus yang penulis hadir mengenai Racun Kimia ia dibahagikan lebih spesifik kepada sasaran perosak (target). Kini jenis racun perosak dikelaskan kepada Racun Alga (Algaecide), Racun Burung (Avicide), Racun Bakteria (Bacteriacide), Racun Kulat (Fungicide), Racun Serangga (Insecticide), Racun Kutu (Miticide/Acaricide), Racun Moluska Molluscicide atau Siput), Racun Cacing Nematod (Nematicide), Racun Tikus atau Roden (Rodenticide) dan akhir sekali adalah RacunVirus. Anda mungkin hanya kenal dengan beberapa jenis racun sahaja iaitu Racun Kulat, Racun, Serangga dan Racun Tikus serta Racun Rumpai yang sering dibeli dan digunakan dikebun. Industri kimia dalam menghasilkan racun adalah besar yang dibuat dalam negara dan juga produk racun yang diimport. Apa pun semua aktiviti pengeluaran, pengiklanan, pengedaran, penjualan, penggunaan dan sebagainya mengenai racun adalah dikawal dengan akta. Artikel ke 4,099 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah dia info mengenai RMP sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Di Malaysia semua perkara yang berkaitan dengan Racun Kimia adalah dikawal melalui Akta Racun Makhluk Perosak 1974, racun perosak ditakrifkan sebagai sebarang bahan yang digunakan untuk mengawal penyebaran atau untuk tujuan membunuh perosak-perosak seperti kulat patogen, serangga, haiwan dan rumpai (Sila  lihat foto disebelah). Berdasarkan definasi yang tercatat dalam akta ini, ternyata racun perosak dikelaskan dalam racun yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan kesihatan. Terdapat beberapa kelas racun perosak dalam istilah Inggeris yang berakhir dengan "cide", yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud "untuk membunuh". Misalnya racun serangga (Insecticide) yang digunakan untuk membunuh serangga, racun rumpai (Herbicide) untuk mengawal rumpai, racun kulat (Fungicide) untuk membunuh kulat patogendan racun bakteria (Bactericide) untuk membunuh bakteria. Kini selain daripada bahan-bahan tersebut terdapat juga unsur atau sebatian-sebatian kimia yang tidak mempunyai akhiran cide tetapi masih tergolong di dalam racun perosak. Contoh sebatian-sebatian itu ialah seperti bahan pengontang, peluruh daun, pengatur tumbesaran (growth regulators), bahan pengusir (Repellent) dan bahan penyahjangkitan. Kebanyakan bahan tersebut tidak membunuh perosak. Nama racun yang digunakan bagi setiap racun perosak mempunyai tiga jenis nama iaitu Nama Biasa, Nama Dagangan dan Nama Kimia. Nama dagangan ialah nama sesuatu keluaran racun perosak yang diberikan sendiri oleh pihak pengeluar atau pengilang. Terdapat beberapa racun perosak yang mempunyai perawis aktif yang sama tetapi mempunyai nama dagangan yang berbeza-beza bergantung kepada pengeluar. Contohnya, paraquat iaitu nama biasa mempunyai pelbagai nama dagangan seperti Gramoxone® (keluaran I.C.I) dan Harquat (Crop Protection) dan berbagai-bagai lagi nama lain. Terdapat juga beberapa syarikat pengeluar yang sama menggunakan nama dagangan yang berbeza disebabkan perbezaan kandungan dalam perumusan tersebut. Apa pun kesemuanya mesti melalui proses pendaftaran dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) sebelum boleh dipasarkan.

Nama Biasa bagi racun yang ada dijual dipasaran selalunya ialah nama Perawis Aktif (active ingredient) bagi sesuatu perumusan. Misalnya racun jenama ROUND-UP, BASTA, PARAQUAT, MALATHION, DECIS dan CAPSTAN ialah nama biasa bagi perawis aktif sesuatu perumusan. Bahan sebenarnya yang memberi kesan ke atas rumpai, serangga atau kulat yang hendak dikawal. Nama biasa sesuatu bahan diberikan secara rasmi oleh badan atau pertubuhan yang disahkan olehPertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) atau Institut Pemiawaian British (BSI). Biasanya nama biasa racun rumpai diberikan oleh Persatuan Sains Rumpai Amerika (PSRA), racun serangga oleh Persatuan Entomologi Amerika (ESA) dan racun kulat oleh Persatuan Fitopatologi Amerika (PFA). Penggunaan nama biasa bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan akibat perbezaan nama dagangan dan untuk mengelakkan daripada penonjolan hasil sesuatu pengilang atau pengeluar. Sementara itu Nama Kimia sesuatu molekul racun adalah berasaskan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Perkhidmatan Abstrak Bahan Kimia yang dianggap sebagai piawai di seluruh dunia. Nama kimia ini biasanya ditulis di bawah formula struktur sesuatu sebatian. Sekiranya ia tidak diketahui, maka formula molekul yang hanya jelas mengandungi bilangan atom sahaja ditulis. Apa pun peraturan perlabelan yang ketat membolehkan pengguna boleh merujuk mengenai spesifikasi racun kimia. Racun perosak tidak digunakan dalam bentuk bahan kimia tetapi sebaliknya sebatian kimia tersebut perlu diproseskan terlebih dahulu oleh pengilang sebelum boleh digunakan. Pengeluar kelazimannya akan memproses sesuatu sebatian tersebut dengan cara mencampurkan dengan bahan-bahan lain seperti pengemulsi, pelarut atau agen pembasah tertentu. Proses tersebut dikenali sebagai perumusan. 


Racun perosak boleh digunakan dengan hanya mengikut cara-cara yang ditulis pada label dan diberikan oleh pengeluar. Biasanya pengguna hanya perlu mencairkan racun tersebut dan dicampur dengan air sesuai atau boleh juga digunakan terus (disembur) yang juga bergantung kepada jenis perumusan. Faedah-faedah lain yang boleh didapati daripada perumusan itu ialah dimana ia boeh meningkatkan kesan fitotoksik racun rumpai dan membolehkannya lama disimpan dan tidak cepat rosak akibat perubahan cuaca dan masa. Keadaan ini akam memudahkan ia diurus oleh pengguna. Lazimnya sesuatu racun perosak boleh didapati dalam beberapa bentuk perumusan yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk Emulsi Pekat (concentrate emulsion), Serbuk (Powder) atau Granul (Granules). Walaupun begitu, keadaan ini jarang terdapat dalam pasaran kerana kebanyakan racun perosak akan ada dalam satu bentuk sahaja iaitu kebanyakannya dalam bentul cecair. Sekiranya terdapat beberapa bentuk perumusan bagi satu jenis racun perosak, maka pengguna mempunyai peluang untuk memilih perumusan yang lebih berkesan bagi sesuatu perosak. Pemilihan boleh dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Selain daripada itu faktor-faktor lain seperti masalah hanyutan dan kesan kecederaan ke atas bahagian-bahagian yang dikawal juga mempengaruihi dalam pemilihan sesuatu bentuk perumusan racun.


Dalam membincangkan kes-kes racun memang perlu di beritahu akan kesan sampingan racun makhluk perosak. Kadar penggunaan yang sangat tinggi untuk racun perosak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai kerana terdapat bukti bahawa ia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan buruk ke atas alam sekitar dan manusia sendiri. Terdapat pelbagai kesan dalam penggunaan racun perosak. Cara mengguna racun dengan betul mampu mengelakkan kesan racun kepada pengguna. Sebarang kecederaan atau kesan toksik racun semmestinya dibuat rawatan segera. Beberapa anggotan bandan yang mudah terkena racun seperti bahagian mata, muka, hidung, tangan, kaki dan semua bahagian yang terdedah akibat amalan keselamatan meracun yang tidak dipatuhi. Ada sesetengah penggguna racun akan menderia dibahagian tangan kerana terkena racun dan perlukan rawatan segera (Sila lihat foto disebelah). Pengguna perlu tahu apakah tanda amaran mengenai bahayanya racun perosak. Salah satu daripada kesan yang ditimbulkan oleh racun perosak ialah kewujudan kerintangan perosak terhadap bahan yang digunakan. Ini bermakna perosak lali terhadap racun yang digunakan. Keadaan ini selalunya wujud akibat penggunaan satu jenis racun sahaja secara berterusan. Akibat daripada wujudnya daya rintangan itu maka perbelanjaan untuk mengawal perosak makin meningkat. Jenis racun terpaksa ditukar bagi mengelakkan wujudnya kerintangan di kalangan perosak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan kerugian kepada petani kerana perbelanjaan yang lebih besar diperlukan untuk mengawal perosak. Kerintangan perosak bukanlah suatu perkara baru, ia telah dikesan berlaku beberapa dekad yang lalu. Keupayaan perosak mewujudkan daya rintangan telah mula dikesan sejak 1908. Sebagai contoh Quadraspidiotus perniciosus didapati mewujudkan daya rintangan terhadap sulfur. Kemudiannya kerintangan "codling moth" terhadap plumbum arsenat mula dikesan dalam tahun 1928. Racun juga menyebabkan kecederaan kepada tanaman sekiranya racun tersebut tidak digunakan dengan cermat. Racun rumpai sering mampu menyebabkan kecederaan pada tanaman berbanding dengan racun perosak yang lain. Ini mungkin kerana fungsinya untuk membunuh tumbuh-tumbuhan sedangkan racun-racun lain pula digunakan untuk membunuh perosak yang mempunyai sifat-sifat fisiologi yang berbeza dengan tumbuhan.


Kesan kecederaan racun ke atas tanaman juga dapat dilihat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk, warna daun dan juga kadar pertumbuhan pokok. Bagaimanapun perubahan fizikal yang berlaku akibat racun tersebut agak sukar untuk dibezakan dengan kesan yang disebabkan oleh kekurangan nutrien. Racun yang terkena atau diserap oleh tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan daun menjadi kerinting dan kadang-kadang terdapat tompok-tompok kuning di atas permukaan daun. Terdapat juga tanaman yang akan terencat pertumbuhannya akibat sisa racun di dalam tanah. Kesan-kesan fitotoksik ini jelas kelihatan terutama pada benih tanaman. Racun jenis Glisophate sebagai contoh dari pemerhatian penulis dan Racun yang mengandungi bahan Amitrol memberi kesan mengurangkan ketinggian pokok, panjang daun dan berat basah pucuk. Kesan lain daripada fitotoksik racun pada peringkat awal pertumbuhan akan mempengaruhi penghasilan tanaman. Ini kerana tanaman yang terkana racun akan terencat pertumbuhannya dan hasil akan berkurangan. Pada peringkat sel pula daripada kajian didapati dimana racun perosak boleh mempengaruhi lain dalam pelbagai proses. Misalnya bahan glifosate dalam tisu jagung dan kapas boleh merencatkan pengangkutan Auksin, iaitu hormon yang penting dalam proses pembahagian dan pembesaran sel. Bahan glisophate yang diberikan pada kadar kepekatan 5 mm boleh mengurangkan sintesis protein, RNA dan lipid pada sel daun kacang soya. Keselamatan semasa pengendalian racun perosak juga penting dalam mengendalikan racun oleh pengguna. Terdapat banyak kes yang dilaporkan mengenai orang terminum racun perosak atas sebab-sebab kecuaian. Ramai di antara mangsa maut akibat lambat mendapat rawatan. Kemalangan yang berlaku mungkin dapat dielakkan sekiranya para pengguna untuk mengambil langkah-langkah keselamatan. Setiap pengguna wajib mengetahui cara-cara mengendalikan racun perosak, bermula dari pembelian sehinggalah kepada cara-cara membuang bekas-bekas isian racun perosak. Pengetahuan ini penting agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku berkenaan racun perosak. Pihak majikan perlu memberi penerangan kepada para pekerja mereka tentang bahaya racun perosak. Bagi memastikan segala peraturan diikuti oleh para pekerja, maka majikan perlu menyediakan pakaian dan alat yang sesuai kepada setiap pekerja serta meminta mereka menggunakan pakaian dan alat tersebut ketika mengendalikan racun perosak. Kebanyakan pekerja tidak mengetahui teknik mencampur atau menyembur racun perosak mengikut kaedah-kaedah yang disyorkan. Oleh yang demikian majikan perlulah memberi tunjuk dan panduan kepada para pekerja mereka agar kemalangan dapat dielakkan. Sebelum membeli sesuatu racun perosak, maka pengguna mestilah memastikan apakah jenis perosak yang hendak dikawal. Racun perlulah dipilih sesuai dengan perosak yang ingin dituju dengan membaca label yang terlekat pada botol racun atau bungkusan racun perosak. Artikel mengenai racun makhluk perosak ini diharap dapat memberikan sedikit penjelasan kepada pembaca blog Anim Agro Technology. Sebarang kenyataan adalah dirujuk daripada sumber yang boleh dipercayai. Wasallam!!...

RACUN MAKHLUK PEROSAK... ITU APA...
ADA DIJUAL... DIMANA KEDAI RACUN JUA...
PERLU DIGUNA... BACA ATURANNYA...
POKOK SIHAT... HASIL BERGANDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 7, Hotel Sri Rompin,
PT 2261, Kuala Rompin,
Pahang, Malaysia.
(22 Zulhijjah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...