Support My Blog

Tuesday, August 30, 2016

TKPM LANCHANG

TKPM LANCHANG adalah singkatan kepada Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang yang terletak di Daerah Temerloh, Pahang. TKPM ini merupakan satu projek TKPM paling luas di Malaysia dengan keluasan fizikal 3,600 hektar (10,000 ekar) yang mula dibangunkan semenjak tahun 2008. Daripada keluasan tersebut seluas 3,026 hektar telah pun dibangunkan dan kawasan seluas 2,292 hektar telah ditanam dimana sebahagian daripadanya telah mengeluarkan hasil. Kawasan yang dahulu hutan telah mula dibangunkan dengan membersihkan kawasan dan membuat infrastruktur ladang seperti jalan masuk utama, sistem pengairan, pembentung, kolam, jalan ladang, parit sempadan dan sebagainya. Projek ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan dibawah kelolaan Jabatan Pertanian dengan bertujuan untuk menyediakan kawasan tanaman makanan khususnya buah-buahan dan sayuran kepada negara untuk pasaran domestik, pasaran eksport dan untuk aktiviti hiliran atau tujuan pemprosesan. Beberapa tanaman yang sesuai dikenalpasti dikawasan ini seperti tanaman Buah Nangka (Artcarpus heterophyllus), Betik (Carica papaya), Kelapa Pandan (Cocos nucifera), Nenas (Ananas commosus), Belimbing Besi (Averrhoa carambola), Herba, Sayuran dan beberapa jenis tanaman selingan lain. Kini tanaman utama di TKPM Lanchang telah pun ditentukan sebagai Tanaman Nangka. Hampir 80% nangka yang ditanam adalah varieti Tekam Yellow (J33). Nagka jenis lain yang ada ditanam di TKPM Lanchang ini adalah seperti Varieti Mastura (J37) dan Nangka Subang Chap Boy (J38). TKPM Lanchang merupakan salah satu daripada 18 lokasi TKPM diseluruh Negeri Pahang dan 76 buah TKPM diseluruh Malaysia yang telah dibangunkan semenjak RMK ke 9 dan RMK Ke 10. Kini TKPM merupakan satu kawasan pengeluaran makanan yang utama di negara ini dengan pelbagai jenis produk makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan. Projek TKPM ini melibatkan ramai petani dengan sistem pertanian yang lebih terancang dan berjaya. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu TKPM yang terluas di Malaysia iaitu TKPM Lanchang sekadar untuk berkongsi maklumat dengan pembaca semua.

TKPM Lanchang yang dibangunkan ini mempunyai dua sistem pengurusan iaitu Pengurusan Ladang oleh Swasta dan Pengurusan Ladang oleh Usahawan. Keluasan pemilikan tanah TKPM bagi swasta diantara 40 hektar (100 ekar) sehingga sekuas 200 hektar (500 ekar). Sementara itu keluasan bagi seorang usahawan pula diantara 8 - 12 hektar (20 - 40 ekar). Semua peserta perlu membayar sewaan tanah TKPM dengan kadar RM100 seekar (RM250 sehektar) setahun. Terdapat seramai 43 syarikat yang menandatangani perjanjian di TKPM Lanchang untuk memajukan tanah dengan keluasan fizikal 3,200 hektar dimana kini bertanam seluas 1,955 hektar (Sumber: Laporan Projek TKPM, Jabatan Pertanian Malaysia). Kesemua syarikat yang telah menanam dilaporkan telah berjaya menghasilkan sebanyak 1.681 juta kg hasil bernilai RM3,247 juta pada tahun 2015 dimana ia cuma 30%-40% baru berhasil dari jumlah kawasan bertanam. Hasil pengeluaran ini akan meningkat lagi pada tahun mendatang apabila lebih banyak pokok nangka yang ditanam mula mengeluarkan hasil. Buah nangka yang dihasilkan disini adalah jenis Tekam Yellow yang sesuai untuk dijual dipasaran domestik dengan purata harga ladang RM2.00 - RM2.50 sekilogram bergantung kepada kualiti dan gred. Daripada penelitian penulis beberapa tahun ini, kutipan hasil pengeluaran buah nangka dari TKPM Lanchang kini pada kada 160 -180 mterik tan sebulan. Bagaimana pun trend pengeluaran hasil banyak pada bulan JUN - JULAI sebelum ianya menurun pada bukan OGOS. Trend juga menunjukkan ia naik lagi pada bulan OKTOBER sebelum memuncak hasilnya pada DISEMBER. Pada bulan JANUARI hasil buahnya menurun semula.


Dalam pada itu bagi sistem pengurusan Usahawan, terdapat seramai 47 orang usahawan yang menjadi peserta di TKPM Lanchang dengan keluasan fizikal 400 hektar (1,000 ekar). Daripada keluasan fizikal tersebut seluas 342 hektar telah bertanam dan bakinya adalah kawasan rizeb jalan, kolam dan juga kawasan belum di tanam. Rekod menunjukkan kawasan ini pada 2015 telah menghasilkan sebanyak 124.4 metrik tan hasil bernilai RM0.247 juta. Hasil ini akan berganda pada tahun akan datang seterusnya apabila sebahagian tanaman nangka akan mula mengeluarkan hasil. Syarikat yang dipilih menjadi peserta di TKPM ini perlu menjalani proses temuduga dan menandatangani perjanjian untuk mengusahakan tanaman yang ditentukan. Mereka perlu menyediakan bajet untuk mengusahakan tanaman kerana TKPM hanya menyediakan prasarana asas sahaja untuk TKPM. Peserta TKPM perlu menyediakan benih tanaman, bahan input (baja, racun, kimia), kos operasi dan sebagainya sehingga penanaman berhasil. Kesemua peserta digalakkan untuk memohon persijilan MyGAP dimana sebahagian besar telah berjaya memperolehinya. Peserta juga dipantau oleh pasukan pengurusan TKPM Lanchang dengan rapi dimana ia akan dilaporkan kepada Jawatankuasa Perlaksanaan Jabatan Pertanian dan juga kepada kerajaan negeri. Jika peserta gagal melaksanakan penanaman dan pengeluaran mereka akan diberikan peringatan dan boleh disingkirkan jika gagal seterusnya membangunkan kawasan TKPM. TKPM Lanchang telah diaudit dalam 'Star Rating' projek-projek TKPM dengan mendapat 3 bintang pada 2014.


Tekam Yellow adalah nama varieti nangka yang paling utama di tanam di TKPM Lanchang ini. Pada peringkat awal penghasilan ada dikenalpasti masaalah KARAT NANGKA (Anda boleh baca artikel tulisan saya mengenai masaalah Karat nangka dengan membaca artikel - Sila klik disini, Sila klik disini dan Sila klik disini). Kini kes karat nangka semakin kurang apabila beberapa teknik kawalan dijalankan dan pokok nangka tersebut semakin dewasa. Buah nangka akan matang diantara 100 - 105 hari selepas sahaja Anthesis (proses pendebungaan lengkap). Buah ini perlu dibungkus dengan pembalut buah sama ada menggunakan guni, pembalut plastik, kain dan sebagainya untuk mengelakkan daripada serangan lalat buah (Bacterocera carambolae atau Dacus spp.). Setelah buah dibalut maka ia ditandakan agar boleh dipetik mengikut jadual pungutan hasil yang diaturkan. Buah akan dipetik dan digredkan mengikut saiz, kualiti dan lokasi pemasaran beberapa hari. Ia akan dihantar ke Pusat-pusat penjualan atau tempat pemprosesan minima oleh usahawan. Berat sebiji nangka Tekam Yellow dari TKPM Lanchang daripada sekitar 15- 20 kg sebiji sehingga 50-60 kg sebiji. Kaedah penjagaan dan pengurusan tanaman menentukan kualiti nangka dan kuantiti hasil dari ladang. TKPM Lanchang merupakan satu TKPM paling luas dan terbesar di Malaysia dengan potensi tinggi untuk menghasilkan makanan untuk negara. Diharap artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!...


TKPM LANCHANG... LUAS KAWASANNYA...
SECARA KOMERSIL...TANAMAN NANGKA...
USAHAWAN KOMERSIL...JUGA SWASTA...
MENULIS ARTIKEL... RUJUKKAN SAHAJA...

By,
M Anem,
TKPM Lanchang, Lanchang,
Temerloh, Pahang,
Pahang, Malaysia.
(29 Zulkaedah 1437H).  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...