Support My Blog

Monday, August 22, 2016

POKOK KAPALTERBANG - HEBATNYA

POKOK KAPALTERBANG (Eupatorium odoratum Linn) merupakan sejenis tumbuhan kategori rumpai dari keluarga Asteraceae yang sangat mudah tumbuh dikawasan kebun di Malaysia (Sila lihat foto diatas). Tumbuhan rumpai ini banyak tumbuh dikawasan semak dinegara-negara tropika terutama di Asia Tenggara dan merupakan musuh kepada petani kerana ianya mudah tumbuh dan mengganggu penghasilan tanaman jika tidak dikawal. Nama lain bagi rumpai ini adalah seperti Pokok Jepun, Pokok Jerman, Christmas Bush, Siam Weed, Baby Tea dan Bitter Bush. Penulis kenal tumbuhan kapalterbang kerana ianya tumbuh di kawasan rumah, tepi parit dan kawasan kebun getah. Tumbuhan ini mudah tumbuh dikawasan lapang dan padang ragut yang mendapat cahaya matahari yang banyak. Rumput Kapalterbang mudah tumbuh dipelbagai jenis tanah sama ada tanah mineral, tanah gambut, tanah bris atau pun tanah-tanah yang bermasaalah. Kawasan tanah berbatu seperti ditepi jalan raya juga mudah ditumbuhi pokok ini asalkan ada cahaya matahari dan hujan. Pokoknya membunyai batang lembut berbentuk selinder serta berwarna hijau dan akan bertukar kepada hijau coklat apabila cukup dewasa. Batangnya mengandungi struktur seakan span berwarna putih yang lembut. Pokok ini tumbuh menegak dengan banyak ranting dan mampu mencapai ketinggian sehingga 2.5 - 5.0 meter. Pokok ini mampu tumbuh dikawasan yang kering mahu pun kawasan yang sering ditenggelami air. Tumbuhan ini juga mempunyai sistem akar yang agak dalam. Bagaimana pun ianya jarang tumbuh dikawasan yang mempunyai naungan yang tebal. Artikel 23 Shawal 1437H kali ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan sejenis pokok iaitu kapalterbang atau rumput kapalterbang untuk tatapan pembaca semua.


Daun pokok kapalterbang berbentuk tirus seakan tigasegi dengan warna hijau sederhana gelap (Sila lihat foto paling atas). Daun dibahagian pucuk berwarna hijau bercampur sedikit warna ungu. Susunan daun adalah bersilang dan ada sesetengah spesis daun yang agak berbulu. Telah dikenalpasti ujud sebanyak 22 spesis pokok kapalterbang diseluroh dunia. Lazimnya bunga pokok kapalterbang berwarna putih dan ada yang berwarna putih ungu terbit pada pucuk dahan yang matang. Bunganya berangkai dalam beberapa tangkai dan apabila cukup matang akan menghasilkan kapas yang akan diterbangkan oleh angin bersama-sama biji benih didalamnya (Sila rujuk foto disebelah). Bunga yang dibawa oleh angin tadi akan jatuh dikawasan baru dan apabila sesuai akan tumbuh. Dalam pemerhatian penulis juga mendapati daun pokok kapalterbang menghasilkan bau yang kuat apabila di kisar atau di tebang. Tumbuhan ini memang sejenis rumpai yang kuat makan baja serta air dikawasan tanaman dan jika tidak dimusnahkan menjejaskan hasil tanaman. Jika ia dibiarkan tumbuh tanpa dimusnahkan akan membiak dengan cepat. Kaedah menghapuskan pokok kapalterbang adalah dengan menebas dan menggali pangkal perdu pokok dan kemudian dibakar. Pastikan memusnahkan pokok kapalterbang sebelum ianya menghasilkan bunga matang yang akan diterbangkan angin. Penggunaan racun rumpai jenis kontek tidak membunuh pokok ini. Disyorkan menggunakan racun jenis sistemik (Jika ada modal lebih) dan semburkan keseluruhan pokok. Tumbuhan ini mudah dicabut dengan tangan ketika kecil atau tumbuh dikawasan tanah gambut. Kumpulkan dan bakar bersama-sama daun, dahan , akar dan bunganya hingga musnah.

Pokok Kapalterbang merupakan tumbuhan beracun yang memudaratkan. Kajian saintifik menunjukkan tumbuhan ini mengandungi racun jenis Pyrolizidin iaitu bahan yang memberikan kesan keracunan pada hati manusia terutama kanak-kanak. Saya memang tidak suka akan bau daun pokok kapalterbang yang mana jika dilenyek memang busuk (Orang Muar kata - LANGU). Ada laporan menyatakan racun tumbuhan ini sangat kuat sehinggakan ianya boleh dibawa dari ibu kepada bayi yang dikandungnya melalui uri jika ibunya terkena racun tumbuhan ini. Kesan keracunan boleh dikenalpasti selepas beberapa minggu dimana pesakit akan sakit perut, muntah-muntah dan apabila diperiksa akan ada kesan bengkak hati. Dalam ertikata lain cuba elakkan menggunakan mana-mana bahagian tumbuhan ini untuk dijadikan ulam, atau sayur-sayuran dan dimakan. Bagaimana pun orang-orang tua kita memang handak menggunakan tumbuhan ini untuk tujuan perubatan juga. Pokok kapalterbang didapati hanya sekadar untuk kegunaan luaran sahaja. Daun kapalterbang boleh dijadikan sebagai salah satu daripada ubat luka jika kita terluka di kawasan kebun iaitu luka kecil sebagaimana daun senduduk (Melastoma malabatricum). Caranya ialah dengan kaedah menghancurkan daunnya dah ditampal pada bahagian yang luka itu. Selain daripada itu daun kapalterbang didakwa merupakan ubat yang mujarab untuk meredakan kembung perut dan cirit birit pada bayi. Caranya daun kapar terbang dan kapur diuparkan (dikisar menggunakan tapak tangan) hingga hancur dan mengeluarkan busa (buih). buih ini kemudiannya disapu pada perut bayi dan dibarut.Kadang-kadang daun sekentut juga diupar bersama dengan daun kapal terbang dan kapur untuk untuk ubat kebung dan cirit birit bayi. Ia juga digunakan untuk menghilangkan gatal-gatal pada kulit dengan cara mengisar atau upar daunnya dengan kedua-dua tapak tangan dan disapukan pada bahagian yang berkenaan. Selain daripada kegunaan perubatan daun kapal terbang juga boleh digunakan untuk mempercepatkan proses memeram buah-buahan seperti pisang dan cempedak. Pokok kapalterbang merupakan masaalah kepada petani dan perlu dikawal untuk tidak bersaing dengan tanaman di kebun. Jika ada para saintis dan ahli bioteknologi yang handal pada masa akan datang diharap dibuat kajian saintifik mengenai kegunaan tumbuhan ini untuk kegunaan manusia. Siapa tahu pokok kapalterbang yang kini perlu dimusnahkan akan menjadi satu tanaman penting masa akan datang untuk diproses dijadikan produk kosmetik, kesihatan dan produk biotek yang baru.  Wallahualam!.
POKOK KAPALTERBANG....APA DIA...
IA MERIMBUN....SUKAR KAWALANNYA...
DIDAKWA BERACUN ...BUSUK DAUNNYA....
BACA ARTIKEL INI ...HEBAT RUPANYA...

By,
M Anem,

Senior Agronomist,
Taman Kg Padang Permai, Jln Sg Lembing,
Kuantan, Pahang,
Malaysia
(24 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...