KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, August 21, 2016

MESTA - ALAT PETIK BUAH

BUAH MESTA (Garcinia mangostana) adalah sejenis buah tropika yang menyamai buah manggis malahan merupakan satu varieti tempatan didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dengan Kod GA2. Kepada meraka yang belum kebak spesis mesta akan mengatakan sebagai buah manggis sahaja. Anda boleh membaca beberapa artikel mengenai buah mesta ini (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Buah Mesta ini dipercayai merupakan sejenis buah yang berasal dari sekitar Temerloh dan Pahang Tengah mengikut maklumat pendaftarannya. Ia mempunyai kualiti buah yang lebih baik daripada buah manggis walau pun amalan agronomi tanaman ini sama sahaja. Bagaimana pun antara sebab buah mesta kini semakin diminati petani dan pengguna adalah kerana ia kurang berbiji, lebih manis, berbentuk bulat lonjong, isi yang seragam saiznya dan kualiti yang baik ini menyebabkan harga ladang mesta adalah lebih tinggi. Kajian penulis dibeberapa kebun mesta mendapati pada tahun 2016 ini harga ladang mesta sekitar RM6.00 - RM7.00 sekilogram berbanding dengan harga ladang buah manggis sekitar RM3.00 - RM4.00 sekilogram. Harga pada tahun ini agak tinggi kerana kurang bekalan dan kadar permintaan yang tinggi. Apa pun buah mesta dan manggis perlu dipetik dengan kaedah yang agak rumit dan kos upah yang agak tinggi berbanding dengan buah lain. Buah mesta perlu dipetik secara manual satu biji demi satu biji untuk mempastikan ia berkualiti dan tahan disimpan beberapa hari. Jika buah mesta atau manggis gugur atau jatuh diatas tanah akan menyebabkan kulitnya terhentak diatas tanah dan menjadi kesan lebam dan kemudian rosak serta tidak boleh dijual. Artikel seubuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai alat memetik buah mesta hasil daripada penelitian yang dijalankan disekitar kebun mesta dan manggis di Pahang, Johor dan Melaka untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan. 


Alat Memetik Buah Mesta merupakan sejenis alatan mudah, murah dan amat praktikan untuk memetik buah manggis. Alat yang paling sesuai digunakan lazimnya menggunakan Buluh (Bamboo spp) dari jenis terpilih. Jenis buluh yang tegak, ringan dan kuat dipilih untuk dijadikan alat petik buah mesta. Apa yang paling penting adalah dibahagian hujung buluh tersebut akan dibelah kepada  6 - 8 bahagian dan diikat dengan kawat atau dawai untuk mengukuhkan jejarinya (Sila lihat foto disebelah). Kemasan cara mengikat jejari ini amat penting dan mesti kuat kerana bahagian ini yang akan dijolok kepada buah mesta sehingga tangkainya akan terputus dan buah akan masuk kedalam jejari dan tidak rosak kulitnya. Ada jenis galah pmetik yang diikat dengan satu lilitan sahaja dan ada yang diikat dengan beberapa lilitan kawat. Ukurlilit muka alat memetik mesta ini sekitar 45-55 cm sesuai dengan saiz buah dan buluh yang digunakan. Panjang jejarinya pula sekitar 60 - 70 cm yang bolehh mengisi 2-4 biji buah mesta didalamnya. Kalau buah yang dipetik bersaiz besar (Super A) maka ia boleh diisi 1-2 biji sahaja tetapi buah mesta yang bersaiz kecil boleh diisikan 3-4 biji sekali gus. Kekuatan jejari ini penting agar ia tidak mudah patah semasa memulas buah mesta yang kuat melekat pada hujung ranting.


Jenis kedua Alat Memetik Mesta yang penulis teliti agak berbeza dengan jenis pertama tadi. Alat ini diperbuat daripada kain karung, besi dan juga kayu panjang yang lurus atau buluh. Kain yang kuat dijahit bagi membentuk karung seperti membuat 'Sauk' pada besi atau dawai besar (Sila lihat foto disebelah). Ukurlilit muka lubang karung ini sekitar 45 - 55 cm untuk membolehkan buah mesta masuk kedalamnya. Kain karung sepanjang 30 - 35 cm ini diikat kuat pada kayu atau galah yang panjang agar tidak mudah terlepas ketika kerja memetik buah mesta dijalankan. Berbeza dengan kaedah 'Jolok' untuk jenis diatas, alat jenis yang kedua ini pula akan menggunakan kaedah 'Tarik'. Buah mesta yang matang akan dimasukkan kedalam karung kain dan kemudian ia ditarik sehingga tangkai mesta putus dan buah jatuh kedalam karung tersebut. Jumlah buah yang boleh dipetik dengan alat jenis ini antara 1-3 biji bergantung kepada saiz buah dan ketinggian pokok. Kelemahan alat ini adalah kemungkinan buah akan jatuh jika terlepas dari karung kain atau dawai yang tidak kuat serta mudah bengkok.


Bergantung kepada ketinggian pokok mesta dan kepakaran pemetik, apa yang paling penting adalah kerja untuk 'mencari' dan mengenalpasti buah mesta dicelah-celah daun dan ranting yang telah matang dan boleh dipetik. Pemilik kebun atau pekerja khas yang handal memetik buah mesta perlu tahu bahawa pada setiap pokok kadar kematangan buah mesta adalah tidak seragam. Dalam satu dahan atau cabang ada beberapa peringkat umur buah iaitu buah muda, buah hampir matang dan buah matang. Ianya tersembunyi dicelah-celah daun mesta yang banyak dan pemetik perlu mempunyai mata terang dan tidak rabun. Selain dari melihat dengan mata kasar, pemetik perlu menolak daun-daun mesta untuk 'mencari' buah mesta yang sukar untuk dilihat. Penulis menjolok buah mesta matang dari bawah setelah melihat buah tersebut matang dengan buah bertukar dari warna hijau kepada hijau kemerahan (ada corak warna kemerahan) atau telah berwarna gelap (Sila lihat foto disebelah). Walau pun ia agak tinggi tetapi masih boleh berdiri dari atas permukaan tanah untuk memetiknya. Buah mesta yang dipetik ini akan dikeluarkan dari jejari buluh dan dimasukkan kedalam bekas memungut buah mesta. Bakul atau bekas ini akan dibawa kepusat pengumpulan untuk dibersihkan, digredkan dan seterusnya dimasukkan kedalam bakul plastik pemasaran. Buah yang telah siap disusun dalam bekas dengan dialas kertas suratkhabar lama perlu dihantar seberapa segera kepusat penjualan.


Pokok mesta dan manggis memang unik cara memetiknya. Bagi pokok mesta yang sudah tinggi dan tidak dibuat cantasan ia mampu mencapai ketinggian sehingga lebih 50 kaki. Pokok setinggi ini perlu dipanjat dengan menggunakan tangga atau cara panjat pokok yang biasa. Pemetik perlu membawa bersama alat memetik buah mesta, baldi yang diikat dengan tali dan talipinggang keselamatan. Pemetik hasil perlu berani dan pandai untuk mengimbangkan diri ketika memijalk dahan pokok mesta (Sila lihat foto disebelah). Kedua-dua jenis alat memetik mesta sama ada jenis buluh berjejari atau kain karung sesuai untuk memetik buah mesta pada keadaan memanjat tinggi diatas pokok. Mula-mula intai buah mesta masak dicelah-celah daun dan ranting dan hulurkan alat pemetik hasil dan ambil buah yang masak serta kumpulkan dalam baldi yang diikat pada dahan pokok. Apabila baldi tersebut penuh maka ia diturunkan menggunakan tali dan sebaiknya rakan dibawah akan mengeluarkan buah mesta. Perbuatan ini dilakukan berkali-kali sehingga semua buah matang pada pokok tersebut habis dipetik untuk hari tersebut. Kajian dikebun yang penulis lawati mendapati seorang pemetik mesta yangmahir mampu memetik diantara 450 - 900 biji sehari terutama ketika buah kemuncak. Ia bagaiman pun terus berkurangan pada musim buah hujung kerana jumlah buahnya tinggal sedikit. Diharap artikel mengenai alat memetik mesta dan kaedah memetik buah mesta dalam blog Anim Agro Technology' yang ke 4,078 ini memberi info berguna untuk pembaca semua. Wasallam!!!...

MEMERTIK MESTA... ADA ALATNYA....
BULUH PANJANG...JEJARI DIBUATNYA...
JENIS KAIN KARUNG... SESUAI JUGA...
MESTA DIPETIK...BERKUALITI DIANYA...

By,
M Anem,

Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Karak,
Karak, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(20 Zulkaedah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...