Support My Blog

Thursday, August 11, 2016

PEMBAJAAN TANAMAN - KENAL BAJA

PEMBAJAAN (Manuring) merupakan perkara asas didalam amalan teknologi pengurusan tanaman. Petani sepenoh masa, pekerja ladang dan mereka yang mempunyai hobi menanam seperti tanaman disekeliling rumah semestinya perlu tahu akan baja dan cara pembajaan. Ini kerana pada penulis selalu belajar dan diberitahu akan kepentingan baja dalam sistem kesuburan tanaman dan seterusnya tanaman akan memberikan hasil berkualiti dan jumlah hasil yang banyak. Kesuburan tanaman bergantung pada jenis baja, cara dan masa pembajaan yang tepat dan betul. Pokok yang dibaja akan menjadi sia-sia jika baja yang digunakan tidak sesuai dengan keperluannya. Pembajaan bertujuan untuk memulihkan kandungan nutrien dalam tanah yang telah diserap oleh tanaman melalui proses fisiologinya. Kini lebih ramai usahawan tani yang telah menanam sayuran dan beberapa jenis tanaman makanan lain dengan kaedah sistem fertigasi yang memberikan baja terus kepada setiap pokok melalui air larutan baja. Air larutan Baja A dan Baja B dibekalkan kepada setiap pokok melalui sistem agihan baja mengikut keperluan tanaman. Sistem fertigasi kini berbagai jenis daripada Fertigasi dibawah Sistem Pelindung Hujan (SPH), Fertigasi Terbuka, Sistem NFT, Fertigasi Rakyat dan berbagai lagi. Selalunya setiap sistem fertigasi ini ada beza dan mempunyai sistem pengurusan pembajaan yang akan disesuaikan dengan sistem. Pada penulis jika berlaku akan kekurangan nutrien boleh menyebabkan tumbesaran tanaman akan terbantut, tanaman mudah patah dan daun menjadi kuning. Oleh itu baja boleh di takrifkan sebagai punca atau sumber pemakanan tumbuhan yang boleh dicampurkan kepada tanah atau air (Fertigasi) untuk membekalkan bahan-bahan yang diperlukan oleh pokok. Kini terdapat banyak jenis baja dan jenama dipasaran yang dijual secara komersil memudahkan pengguna memilih apa yang terbaik untuk mereka gunapakai bagi tanamannya.Artikel subuh Jumaat ini saya menulis artikel ke 4,032 dalam "Anim Agro Technology" mengenai pembajaan tanaman dan kepentingannya dalam amalan agronomi tanaman.


Secara asasnya tumbuhan memerlukan 17 unsur-unsur pemakanan untuk membesar dan melengkapkan edaran hidupnya. Unsur-unsur ini boleh di kategorikan kepada kepada dua kategori iaitu BAJA ORGANIK dan BAJA KIMIA. Penggunaan Baja Organik dan Baja Kimia dengan kadar yang betul dan tepat membolehkan tanaman subur kerana keusnya mempunyai cara tindakbakas terhadap tanaman yang tersendiri. Beberapa kaedah aplikasi pembajaan juga boleh dibahagikan kepada 3 tujuan iaitu Pembajaan Sebelum Menanam, Pembajaan untuk Tumbesaran dan Pembajaan untuk Penghasilan (Berbuah). Pemilihan jenis baja yang betul diperlukan oleh petani bagi mempastikan ianya betul. Lazimnya tumbuhan akan memperolehi unsur-unsur di atas daripada tiga sumber iaitu dari udara, air dan tanah. Karbon, hidrogen dan oksigen diperolehi oleh pokok daripada air dan udara, manakala unsur-unsur lain semuanya diperolehi dari tanah iaitu dari baja dan bahan organan dalam tanah. Baja Organik merupakan baja asli yang terdiri daripada sisa tumbuhan atau najis haiwan atau kompos. Biasanya baja organik akan digunakan sebagai baja permulaan sebelum menanam dan baja semasa pokok diperingkat tumbesaran serta berbuah. Baja organik diguna dengan bertujuan untuk meninggikan tahap kesuburan tanah dan membaiki tekstur tanah. Pastikan najis haiwan yang digunakan telah cukup proses pereputan. Contohnya seperti najis-najis haiwan, buangan daripada pemprosesan kelapa sawit seperti dari tandannya, humas atau kompos, darah dan tulang yang diproses dan sebagainya. 


Jenis baja yang paling biasa digunakan dan dikomersilkan adalah Baja KimiaBaja Kimia adalah jenis baja yang telah diproses kepada bentuk-bentuk Butiran (Granules), Hablur (Powder) dan Cecair (Liquid). Baja kimia jenis butiran boleh digunakan secara terus ditabur diatas tanah kepada tanaman manakala ada jenis baja hablur dan baja cecair yang perlu dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disembur kepada tanaman. Terdapat pelbagai jenis dan jenama baja kimia dipasaran daripada yang dihasilkan dalam negara atau pun baja yang diimport. Diantara jenis baja kimia yang selalu didengar dan digunakan seperti Baja Urea, Baja CIRP, Baja Nitrophoska, Byfolan, Welgrow dan sebagainya. Secara umumnya baja kimia jenis butiran pula terdapat dalam 2 jenis iaitu (1) Baja butiran kompaun (compound fertilizer) dan juga (2) Baja tunggal (single dressing fertilizer). Baja kompaun adalah jenis baja yang telah diproses lengkap dengan pelbagai unsur penting seperti NPK 15:15:15 atau NPK 12:12:17+2 TE atau formulasi lain. Baja Tunggal merupakan jenis baja yang punyai satu jenis unsur sahaja. Antara jenis baja butiran seperti Urea (N), TSP- Triple super fosfat (P2O5), MOP- Muriate of potash (K2O). Terdapat pengusaha ladang, petani komersil yang memilih untuk menggunakan jenis baja sama ada jenis baja kompoun atau baja tunggal mengikut kesesuaian jenis tanaman, jenis tanah, umur pokok dan peling penting adalah keberkesanan pembajaan dan kos yang terlibat. 


Banyak kaedah atau teknik pembajaan boleh dilakukan juga mengikut jenis baja, jenis tamaman, umur tanaman, jenis peralatan, keluasan ladang, kosting dan juga pelbagai faktur lain. Umumnya terdapat 6 (enam) kaedah aplikasi dalam proses pembajaan daripada kaedah Tabur, Kaedah Jalur atau Jajar, Kaedah Baja pada permukaan, kaedah pembajaan sisi dan juga kaedah pembajaan berpoket serta pembajaan penyemburan daun. Kaedah Taburan adalah merupakan cara paling asas membubuh baja kepada tanaman. Dengan cara ini biasanya baja ditabur atau disebar sama rata ke atas tanah dengan tangan atau menggunakan jentera penyebar. Kemudian baja ini mesti digaul dengan tanah supaya ianya tidak terdedah dipermukaan tanah untuk jangkamasa waktu lama. Cara menabur baja disawah padi adalah dengan menabur (Sila lihat foto disebelah). Jika berlaku hujan lebat juga akan menyebabkan berlaku larian baja (run off). Cara ini selalunya digunakan apabila membaja asas tanaman kekal seperti pokok kelapa sawit, pokok getah, pokok pisang, pokok buah-buahan dan tidak ketinggalan tanaman sayur-sayuran. Bagi sayuran ia boleh  idtabur dan kemudian ia disiram dengan jumlah air yang mencukupi. Teknik ke 2 embajaan adalah dengan Pembajaan cara Jalur atau Jajar (Band or row placement). Apa yang dilakukan dengan cara ini adalah  baja dibubuh ke dalam tanah, biasanya di sebelah dan di bawah bijibenih. Apabila menggunakan cara ini, kita perlu berhati-hati supaya baja tersebut tidak terkena atau terlalu dekat dengan bijibenih. Misalnya apabila menanam jagung, baja asas perlu dibubuh 2”- 4” di sebelah dan di bawah benih semasa menanam. Cara ini digunakan pada tanaman berbaris seperti jagung, kacang soya, sekoi, kacang tanah dan lain-lain.


Teknik pembajaan seterusnya adalah Baja Permukaan (Top dressing). Cara membaja permukaan adalah apabila kita menabur baja semasa tanaman sedang membesar. Hanya baja nitrogen sahaja yang selalu digunakan untuk baja permukaan, kerana baja nitrogen senang larutresap dan oleh itu hanya setengah sahaja dibubuh semasa menanam dan yang selebihnya dibubuh semasa tanaman sedang membesar. Ke 4 adalah cara Pembajaan Sisi (side dressing) dimana dengan cara ini, baja dibubuh di sisi atau di sebelah tanaman yang sedang membesar. Cara ini dibuat bagi tanaman berbaris, tanaman berjunjung dan pokok-pokok. Bagi tanaman se musim, pembajaan sisi ini hanya dilakukan untuk baja nitrogen sahaja. Seterusnya ke 5 adalah Pembajaan Berpoket (pocket placement) iaitu baja dibubuh secara bertumpuk-tumpuk iaitu dibubuh dilubang-lubang dan kemudian lubang tersebut akan ditimbus. Cara ini selalu digunakan apabila membaja pokok-pokok dengan membubuh baja dilubang-lubang yang dikorek disekeliling pokok. Cara ini juga digunakan apabila membaja ubi keledek dan lain-lain. Lubang di korek di keliling silara dengan jarak 50 cm. Akhir sekali ke 6 adalah Pembajaan dengan cara Penyemburan Daun (foliar application). Cara selalu digunakan untuk memberi unsur pemakanan mikro kepada tanaman iaitu dengan cara menyembur larutan pemakanan tersebut kepada daun-daun. Unsur-unsur kuprum, zink, ferum, boron, dan molybdenum, selalunya diberikan kepada tanaman dengan cara semburan daun. Sembur pada daun dan batang sehingga basah sampai ke tanah. Pembajaan yang betul akan memberikan hasil yang lumayan kepada petani. DIharap artikel ini adalah informatif kepada pembaca semua. Wasallam!!...

MEMBAJA TANAMAN...SATU AMALAN...
BAJA TUNGGAL...ATAU BAJA SEBATIAN...
CARA GUNA...MESTILAH BERTEPATAN...
BACA ARTIKEL..DAPAT PENGETAHUAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Sayuran Fertigasi Gantung,
Kg Teroh, Karak, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(17 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...