Support My Blog

Friday, August 12, 2016

FERTIGASI GANTUNG KG TEROH, KARAK

PROJEK BELIA FERTIGASI GANTUNG di Daerah Bentong, Pahang merupakan satu perojek yang boleh dikategorikan sebagai berjaya dilaksanakan oleh golongan belia tempatan. Salah seorang pengusaha tersebut adalah En Mohamad Shahrizan yang menjalankan penanaman sayuran secara fertigasi di Lot 2303, Kg Letak, Karak, Daerah Bentong dengan jumlah keseluruhan kawasan dibeberapa lot sekitar kumpulan belia tersebut seluas 10.68 hektar. Beliau mempunyai 4 rakan lain yang juga sedang mengusahakan tanaman sayuran dibeberapa lot lain. Diantara tanaman yang dibuat adalah jenis sayuran buah seperti Timun, Cili, Bendi, Peria, Petola dan sebagainya. Bagaimana pun semasa penulis membuat tinjauan telah ada tanaman timun (Cucumis sativus) dan merupakan jenis sayuran yang banyak ditanam dengan kaedah fertigasi gantung (Sila lihat foto diatas). Terdapat sebanyak 10,000 polibeg yang baru ditanam berumur 2 minggu dengan jumlah pokok sebanyak 20,000 (setiap polibeg mempunyai 2 pokok timun) di lot yang dilawati penulis. Jarak penanaman antara polibeg dalam sistem fertigasi gantung yang beliau buat adalah 2 kaki dengan ketinggian 3 kaki dari tanah. Didapati pengalaman menanam timun secara berterusan semenjak 4 tahun lalu dengan sistem fertigasi gantung membolehkan tahun 2015 beliau telah berjaya menghasilkan sayuran yang mempunyai nilai pengeluaran melebihi RM300.000. Kini beliau setelah mahir menanam sayuran di kawasan tanah dikampong ini dan boleh dikatakan Usahawan Belia Berjaya sesuai dengan konsep 'My Kampong My Future' yang digalakkan oleh kerajaan. Dimaklumkan beliau juga telah berjaya ditawaran untuk menjadi peserta TKPM iaitu di TKPM Lebu, Mempaga, Bentong. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aplikasi teknologi fertigasi gantung sebagai satu daripada teknik menanam sayuran buah yang menguntungkan dan sangat effisien.


Tanaman fertigasi gantung merupakah salah satu teknologi yang baru sekitar 3-5 tahun dipopularkan di negara kita terutama di Negeri Pahang. Ia diasaskan dari sistem fertigasi yang menggantikan tanah dengan media tanaman seperti cocopeats dan air baja melalui titisan. Fertigasi gantung merupakan salah satu daripada teknologi fertigasi selain daripada Sistem Fertigasi Tertutup, Sistem Fertigasi Terbuka, Sistem Fertigasi Rakyat dan terkini adalah Sistem Fertigasi Gantung. Sistem ini menggantung polibeg besar pada talian dawai yang kukuh diatas para yang diisi dengan media cocopeats dan dipasang paiping dengan ada 'emmitter' pada setiap polibeg untuk membekalkan air baja. Larutan baja sama ada Set Baja A dan Set Baja B dibancuh dan didimpan dalam tangki besar dan dengan menggunakan pam air dihantar kesetiap pokok. Bancuhan baja disesuaikan dengan jenis tanaman, umur pokok, cuaca dan sebagainya. Beberapa alatan asas seperti EC Meter, pH Meter dan sebagainya digunakan untuk memeriksa penggunaan air baja kepada tanaman. Belia yang aktif di projek ini berjaya menggunakan sistem fertigasi gantung sama seperti amalan teknologi yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Beg yang digantung setinggi 1 meter ini diisikan dengan 2 pokok timun dengan benih yang digunakan adalah dari syarikat Chiap Hup, Leckat atau Known You Seeds. Daripada ke tiga-tiga jenis jenama benih timun yang digunakan mereka lebih suka gunakan benih Known You Seeds kerana kualiti buah timun yang lebih baik tetapi kos benih ini agak mahal sedikit. Biji benih daripada Chiap Hup dan Leckat digunakan seca bergiliran. 


Setiap polibeg akan diberikan dengan 2 (dua) biji benih yang dibiarkan tumbuh. Ini bermakna bagi 10,000 beg, sebenarnya terdapat sebanyak 20,000 pokok yang ditanam pada satu peringkat dilokasi sama.  Dari tinjauan mendapati pokok timun yang ditanam dengan sistem fertigasi gantung hanya bertahan untuk 2 bulan sahaja. Ini agak singkat berbanding dengan kaedah penanaman timun dengan sistem para secara konvensional diatas batas tanah yang jangkahayat hidup adalah sekitar 3 bulan lebih. Setiap polibeg mampu menghasilkan buah timun diantara 6 -10 kg dalam satu musim. Secara keseluruhannya operasi menanam timun secara fertigasi gantung adalah menguntungkan jika tidak diserang dengan musuh dan penyakit. Memang agak jarang tanaman mereka diserang musuh dan penyakit kecuali serangan Penyakit Kulapok Berdebu (Downy Mildew). Penggunaan baja foliar yang disembur pada tanaman timun memberikan buah yang lebih berkualiti. Kos pembangunan awal sistem fertigasi gantung adalah tinggi tetapi teknologi ini adalah lebih menguntungkan jika pengusaha seperti En Shahrizan yang sudah 4 tahun menjalankan tanaman timun ini mengikuti SOP sedia ada. Penggunaan semula cocopeats selepas pokok timun mati boleh digunakan untuk tanaman bagi pusingan kedua boleh mengurangkan kos input membeli cocopeats baru. Kejayaan beliatani seperti En Shahrizan ini boleh dijadikan contoh kepada belia lain di negara kita selaras dengan konsep 'My Kampong, My Future' yang diwar-warkan oleh kerajaan. Bagi belia yang tinggal di kampong dan menjalankan aktiviti pertanian lebih baik daripada bekerja dibandar besar dengan makan gaji yang kecil. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...

MENANAM SAYUR... DIGANTUNG DIA..
TANAM TIMUN... BERMUSIM LAMANYA...
DUA BULAN... SATU MUSIM TUAINYA...
BELIA MUDA... SEMUGA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Lekuk, Karak,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(28 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...