Support My Blog

Sunday, August 9, 2015

HERBA - MISAI KUCING (Part 2)

MISAI KUCING (Orthosiphon stamineus Benth atau sinonim Orthosiphon aristatus Blume) merupakan sejenis herba yang kini semakin popular ditanam di Malaysia kerapa ia adalah salah satu herba yang digalakkan penanamannya dibawah EPP1, Herba ini merupakan sejenis herba popular yang juga dikenali dengan nama lain seperti Remujung, Kumis kucing (Indonesia), Java tea (Inggeris) iaitu tumbuhan daripada keluarga Lamiaceae. Saya ada menulis artikel mengenai misai kucing sebelum ini untuk dijadikan bahan rujukkan (Sila klik disini)(Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Pembacaan dan rujukkan penulis mendapati  misai kucing dipercayai berasal dari negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Filipina termasuk kepulauan Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Bagaimana pun jika nama 'Misai Kucing' atau 'Kumis Kucing' adalah sama sahaja kerana bentuk bunga herba ini memang menyerupai misai kucing sebenar. Tanaman ini banyak terdapat di kawasan lapang seperti di tepi jalan dan kawasan tanah terbiar sama ada kawasan tanah rendah atau tinggi. Selain tumbuh secara liar, misai kucing juga ditanam di kebun secara komersil dan juga dikawasan rumah sebagai tanaman hiasan kerana faktor bunganya yang menarik.  Tanaman ini telah dikenal pasti sebagai salah satu jenis tanaman herba yang amat berpotensi untuk ditanam secara komersial memandangkan ia mudah diusahakan. Tanaman ini juga telah terbukti berkesan dari segi kesihatan dalam merawat pelbagai jenis penyakit khususnya penyakit berkaitan dengan ginjal. Artikel malam raya kedua 2015 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis herba yang kini popular untuk ditanam secara komersil iaitu Misai Kucing sebagai satu bahan rujukan saintifik untuk anda semua.


Kawasan untuk tanaman biasanya misai kucing perlu dibajak sekurang-kurangnya satu bulan sebelum menanam. Ini bagi memastikan rumpai dan tumbuhan renek yang terdapat di kawasan tanaman dapat dihapuskan secara total kerana ia akan bersaing dengan herba yang hendak ditanam. Pengapuran dengan kapur magnesium halus (GML) dijalankan selepas pembajakan pertama. Aktiviti ini bertujuan bagi memastikan kapur bergaul sebati dengan tanah semasa aktiviti penyedian kawasan penanaman. Kadar kapur yang diberi bergantung kepada nilai pH tanah berkenaan. Nilai pH optimum adalah dalam lingkungan 5.5 hingga 6.0. Tanah lazimnya dinaikan batas untuk penanaman dan akan dipasang plastik silvershine untuk mengelakkan pertumbuhan rumpai, mengawal kelembapan dan menghasilkan misai kucing yang berkualiti. Pemasangan penutup bumi dengan plastik silvershine memang agak mahal berbanding jika tidak dipasang dengannya tetapi mempastikan akan ada hasil yang akan dituai kalau dijaga dengan baik. Bagi menyediakan bahan tanaman boleh dibiakkan dengan menggunakan keratan batang. Kajian yang dijalankan menunjukkan penggunaan bahan penggalak akar (seperti Seradex) tidak memberi kesan yang jelas. Semua bahagian keratan boleh digunakan sebagai bahan tanaman. Keratan batang mula berakar selepas dua minggu disemai. Anak benih boleh dlubah ke ladang apabila mencapai umur 4 hingga 5 minggu selepas disemili. Bagi penanaman komersial menggunakan jentera menanam, keratan benih hendaklah disemai di dalam dulang plastik atau polistirena.


Bagi tujuan penanaman diladang sebaiknya anakbenihmisai kucing dalam polibeg disediakan terlebih dahulu (Sila lihat foto anakbenih disebelah). Lazimnya jarak tanaman yang disyorkan ialah 1.5 m di antara baris dan 0.45 m di antara pokok dalam baris. Pada jarak tanaman ini akan menghasilkan populasi tanaman (kepadatan tanaman) sebanyak 14,800 pokok sehektar. Kerja menyiram air perlu dijalankan pada peringkat awal penanaman untuk menjamin pertumbuhan yang sekata. Pokok Misai Kucing yang ditanam secara komersil perlukan program pembajaan dimana bagi Tanah Bris ia diberikan kadar baja organik (seperti najis ayam) dengan kadar yang disyorkan ialah 10 t/ha diberi tiga hari sebelum menanam dan pemberian baja ini diulang setiap enam bulan. Baja najis ayam diberi secara tabur dan digaul ke dalam batas. Baja NPK berasaskan organik Kokei (NPK 10: 10: 10) pada kadar 1,000 kg/ha diberi setiap 6 bulan. Bagi Tanah Aluvium kadar dan cara pembajaan agak berbeza dimana kadar baja organik (najis ayam) yang disyorkan ialah 5 t/ha diberi tiga hari sebelum menanam dan 5 t/ha diberi setiap enam bulan selepas menanam. Baja NPK berasaskan organik Kokei (NPK 10:10:10) pada kadar 500 kg/ha diberi setiap 6 bulan. Sebaiknya dipasang sistem pengairan dengan beberapa sistem pengairan boleh digunakan bergantung kepada jenis tanah dan sumber air. Bagi misai kucing yang ditanam secara komersial, sistem pengairan renjis berputar atau tembakan hujan sesuai digunakan. Sistem pengairan titis sangat sesuai apabila sungkupan plastik digunakan. Pengurusan tanaman herba ini amat perlu dijalankan teknik kawalan rumpai iaitu hanya diperlukan pada peringkat awal pertumbuhan pokok. Pada peringkat pertumbuhan pokok yang maksimum dan apabila kanopinya yang padat  ia secara otomatik boleh menghalang pertumbuhan rumpai. Walau bagaimanapun kaedah penggunaan sungkupan plastik boleh juga digunakan untuk mengawal rumpai selain menjaga kebersihan hasil daripada tercemar oleh bahan asing seperti tanah dan najis ayam. Penanaman misai kucing secara komersil juga perlukan penjagaan rapi seperti menanam sayur yang perlu sentiasa dijaga. Elakkan anggapan menanam herba Misai Kucing dengan amalan 3T (Tanam, Tinggal, Tuai) maka anda akan kurang mendapat pulangannya. Bersambung pada Part 1 dan Part 3. Wasallam!.
MISAI KUCING .. SEJENIS HERBA...
NAMA UNIK...MARFOLOGI SAMA ..
DUA VARIETI... PUTIH UNGU ADA...
BERKHASIAT... PRODUK TERSEDIA...

By,
M Anem,
Room 520, Hotel Pine Tree,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(2 Syawal 1436H)                           

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...