KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, August 28, 2015

HERBA - LIMAU PURUT (Part 2)

LIMAU PURUT (Citrus hystrix DC) merupakan sejenis tanaman daru kumpulan limau (Citrus) tetapi ia juga dikategorikan sebagai tanaman Herba. Limau purut juga dikenali dengan beberapa nama lain diseluruh dunia seperti Keiffer lime atau Kafir lime dalam bahasa Inggeris. Ia juga dipanggil sebagai Jeruk Purut (Indonesia) dan juga sebagai Bai Makrut (Thailand). Kajian saintis juga mendapati tumbuhan limau purut ialah tanaman saka yang berasal dari Asia. la telah ditanam di Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak lama dahulu sehingga sukar di kesan habitat asalnya. Kebanyakan tanaman ini ditanam di persekitaran rumah secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri. Kegunaan utama limau purut ialah daunnya yang sering digunakan dalam masakan. Daun limau purut menjadi kemestian dalam masakan seperti Asam Pedas, Masak Asam dan beberapa hidangan lain seperti Rendang dan sebagainya. Walau bagaimanapun, buahnya dengan kulit yang berkedut, tebal dan isinya yang tidak berapa berair juga turut digunakan. Penulis pun sentiasa menanam pokok limau purut dalam pasu disekeliling rumah untuk kegunaan sendiri. Limau purut tergolong dalam subgenus Papeda. Oleh itu ia agak berbeza daripada limau jenis lain yang tersohor kerana keenakan buahnya. Nama spesies limau purut ialah hystrix yang bermaksud landak dalam bahasa greek kerana pohonnya yang berduri. Keunikan aroma minyak pati yang disuling daripada daun limau purut adalah disebabkan oleh sebatian yang dikenal pasti sebagai Sitronelal. Kandungan sebatian ini di dalam minyak pati daun limau purut adalah lebih kurang 80%. Sebatian lain yang terdapat dalam minyak pati daun limau purut ialah sitronelol (10%), Nero-I dan Limonena. Komposisi minyak pati daripada kulit buah limau purut pula terdiri daripada Limonena dan B-pinena. Artikel mengenai herba dalam "Anim Agro Technology" kali ini adalah mengenai tanaman limau purut yang juga disambung dalam Part 1 dan Part 3 untuk rujukkan anda.


Aktiviti menyediakan kawasan untuk menanam limau purut sama seperti penanaman buah yang lain. Kawasan tanaman yang dikenal pasti perlu dibersihkan daripada tumbuhan asal bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan penyakit akar. Kawasan dibajak piring sedalam 25-30 cm. diikuti dengan bajak putar lebih kurang dua minggu kemudian. Bajak putar menggemburkan tanah melalui pengurangan saiz ketulan tanah dan memusnahkan rumpai. Parit perlu digali di kawasan rendah bagi saliran air yang berlebihan. Saiz lubang tanaman berukuran 0.6 m x 0.6 m x 0.6 m. Baja TSP (Triple Super Phosphate), kapur (kapur magnesium berkisar atau GML) dengan baja organik masing-masing pada kadar  yang sesuai adalah 100 g dalam lubang yang bertindak atau digunakan sebagai baja asas. Kalau menanam dikawasan tanah rendah sebaiknya dibuat batas atau busut agar ia tidak ditenggelami air yang mana limau ini agak sensitif.


Benih Limau Purut merupakan komoditi yang laris dan agak sukar membelinya. Harga limau purut dipasar malam atau pasar tani yang berkualiti juga agak mahal berbanding dengan jenis anak benih buah-buahan lain. Penyediaan bahan tanaman pokok limau purut penting bagi menentukan perolehan hasil daun yang tinggi dan bermutu. Bahan tanaman biasanya disediakan melalui tiga kaedah iaitu biji benih, cantuman dan tut (marcoted). Kebanyakan benih limau purut yang ada dijual dipasaran dari kaedah tut (Sila lihat foto disebelah).  Penyediaan benih tanaman melalui biji benih atau seeara generatif biasanya tidak diamalkan kerana anak benih berkenaan tidak rintang terhadap penyakit limau seperti reput akar Phytophthora, penyakit virus dan jangkitan nematod. Pembiakan dan penyediaan bahan tanaman melalui kaedah tut juga selalunya akan menghasilkan anak semaian yang mempunyai ketahanan yang sama seperti benih tanaman yang disediakan melalui biji benih. Biasanya bahan tanaman disediakan melalui cantuman pucuk atau cantuman mata tunas. Pokok penanti dipilih daripada varieti yang rintang penyakit reput akar, penyakit virus dan cacing nematod. Pokok penanti juga mesti mempunyai daya adaptasi persekitaran yang luas, tahan terhadap kemarau dan mempunyai sistem pengakaran yang kuat dan luas. Varieti pokok penanti yang biasa digunakan termasuk Rough lemon, Cleopatra, Troyer citrange dan Carizzo citrange.


Kawasan semaian perlu digemburkan sedalam 30-40 cm sebelum batas dibina. Jarak di antara batas lebih kurang 0.5-1 m. Baja organik pada kadar 1 kg/m2 digaulkan ke dalam batas semaian. Biji benih daripada pokok penanti disemai di batas semaian yang berukuran 1.5-2 m lebar. Biji ditanam di dalam alur dengan jarak tanaman 1.5 cm x 2.0 cm. Batas semaian perlu disiram mengikut keperluan. Peneduh perlu dibina bagi memberi naungan daripada terik matahari. Anak benih biasanya sedia untuk dipindahkan ke polibeg 3-5 bulan selepas disemai. Pada ketika ini anak semaian telah mencapai ketinggian sekitar 20 cm. Campuran medium untuk polibeg ialah baja organik, sekam atau gambut dan pasir pada kadar 1:1 :1. Benih sedia untuk cantuman apabila garis pusat batang berukuran lebih kurang 1 cm. Anak benih sedia untuk ditanam setelah meneapai ketinggian lebih kurang 60 cm. Pengusaha sering kali tidak menyediakan bahan tanaman sendiri. Sebaliknya bahan tanaman diperoleh dari pusat semaian atau nurseri yang lazimnya mendapat bekalan dari ladang persendirian atau mengimport benih tanaman dari negara jiran. Sekiranya anak benih dibeli dari nurseri, pemilihan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan anak benih yang dibeli berkualiti, tidak dijangkiti penyakit dan eacing nematod serta mempunyai akar serabut yang banyak. 


Menanam limau puurut dikebun secara komersil perlukan persediaan rapi. Kawasan ladang dibersihkan daripada tanaman asal dan sisa baki tanaman asal dimusnahkan. Pelbagai sistem tanaman dan jarak tanaman dapat diamalkan. Antaranya adalah menanam dengan sistem baris berkembar 120 cm di antara pokok dan jarak di antara baris berkembar ialah 6 m. Dengan menggunakan kaedah ini kepadatan tanaman sehektar ialah sebanyak 2,300 pokok. Satu lagi jarak tanaman yang biasa diamalkan ialah 2.4 m di antara pokok dan 3 m di antara baris. Kepadatan tanaman menggunakan jarak tanaman ini ialah 1,380 pokok sehektar. Jarak tanaman kedua ini telah digunakan di salah sebuah ladang limau purut di Jeniang, Kedah (Gambar 2) dan menunjukkan pertumbuhan yang baik kerana pokok mempunyai ruang yang cukup untuk pertumbuhan sisinya. Lubang tanaman yang berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm digali 2 minggu sebelum menanam. Tanah yang digali digaulkan dengan tanah permukaan dan 100 g baja organik. Kapur (GML) dan TSP pada kadar yang sama digaulkan di dalam lubang tanaman sebagai baja asas.  Sebelum menanam, daun dan dahan yang berlebihan perlu dicantas. Pengurangan akar juga dilakukan. Ketika menanam pastikan akar tidak berlipat. Setelah anak pokok ditanam, pengairan secukupnya diberikan. Pengairan adalah kritikal pada peringkat awal pertumbuhan sehingga tanaman berumur lebih 2 tahun. Sistem pengairan menggunakan 'rain-gun' sesuai digunakan sekiranya terdapat sumber air yang mencukupi. Sungkupan berupa jerami atau daun kelapa diberikan selepas menanam. Semasa meletakkan sungkupan, tentukan sungkupan tidak menyentuh anak pokok bagi mengelakkan kerosakan pada perdu pokok. Kawalan rumpai dilakukan mengikut keperluan atau sebelum pemberian baja berikutnya. Penyulaman dilakukan terhadap anak tanaman yang mati atau tidak menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan. Artikel ini bersambunga dengan Part 1, Part 3 dan Part 4. Wasallam!.


LIMAU PURUT...MENGERUTU KULITNYA...
DAUNNYA UNIK... NO '8' BENTUKNYA...
DITANAM SENDIRI...SELALU DIGUNA...
WALAU LIMAU...IA KATEGORI HERBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(19 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...