KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, August 2, 2011

MISAI KUCING

Misai Kucing (Orthosiphon Stamineus) adalah sejenis herba dari keluarga Lamiaceae iaitu tumbuhan renek yang banyak terdapat di negara-negara Asia Tenggara dan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Tumbuhan ini juga dikenali sebagai Orthosiphon anistatus. Ia telah terkenal sejak turun temurun kerana khasiatnya dapat membuang dan mencuci darah dari bahan toksid (atau toxin) yang berlebihan, terutama bagi merawat kencing manis dan menurunkan tekanan darah tinggi. Adakah anda kenal tanaman herba ini yang memang mempunyai misai seperti ‘MISAI KUCING”?. Kali pertama saya mengenali misai kucing adalah apabila melihat struktur marfologi bunganya memang serupa dengan misai kucing sebenar. Pada masa kini tumbuhan yang dahulunya tumbuh sebagai tanaman liar dibelukar kini telah pun dikomersilkan oleh ramai usahawan. Terdapat beberapa varieti misai kucing yang dijumpai tumbuh semulajadi di Malaysia. jabatan Pertanian dan FRIM mempunyai maklumat terbaru mengenai varieti Misai Kucing seperti varieti MOS1, MOS2 dan MOS3.  Artikel pagi ini saya akan kongsi sedikit maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan ini yang kini menjadi salah satu daripada 6 jenis herba yang mendapat perhatian kerajaan untuk di majukan didalam pembangunan NKEA atau di kenali dengan EPP1 (Buka lamanweb PEMANDU dalam sektor pertanian – chapter 16). Kini telah ada program khas pembangunan tanaman herba untuk penanaman tanaman herba di bawah pembanguan herba bagi menjamin kelestariannya. 


Pokok herba Misai Kucing ini boleh ditanam diatas tanah mineral atau tanah gambut yang marginal tetapi lebih baik diusahakan diatas tanah subur yang mempunyai saliran yang baik. Pokoknya tumbuh secara semulajadi dikawasan kebun yang memerlukan sinaran matahari yang banyak. Pemerhatian saya di kampong di Muar dulu memang mudah untuk mengenali pokok misai kucing yang mempunyai bunga berwarna putih dan bunga berwarna ungu. Tumbuhan ini mudah tumbuh dengan pembiakan melalui biji benih dan jika di usahakan secara komersial yang memerlukan sistem pengairan sprinkler serta amalan agronomi pengurusan seperti program pembajaan, kawalan perosak dan juga kaedah penuaian dan pemprosesan. Elakkan menggunakan racun kimia kerana tanaman ini akan digunakan untuk produk kesihatan.


Penuaian Misai Kucing dijalankan dengan memetik bahagian daun dan bunga sekaligus. Daun yang dituai perlu dikeringkan dan dijadikan teh yang telah lama digunakan sebagai minuman sejak dulu lagi.Terdapat pelbagai jenis jenama daun teh misai kucing di pasaran masakini. Harga jualan produk teh misai kucing juga agak murah berbanding dengan produk lain setaraf dengannya. Teh Misai Kucing adalah bersifat diuretic dimana didakwa dapat membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan dan melawaskan pembuangan air kecil tetapi tidak mendatangkan masalah pada buah pinggang seperti kebanyakan ubat-ubatan moden.


Selain dari itu ia juga didakwa dapat merawat penyakit lain seperti gout, athritis, reumatik dan mencegah pembentukan batu karang. Ia juga digunakan untuk mengurangkan kelesterol dan tekanan darah. Kandungan saponin dan tanin pada daun itu juga boleh mengubati keputihan. Penyelidikkan juga telah mendapati ianya besifat antiseptik. Misai Kucing adalah herba renek yang tumbuh cepat dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5m. Daunnya tersusun dalam pasangan yang bertentangan, licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan di tepinya berjeriji. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan. Batangnya bersegi empat, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.


Nama 'Misai Kucing' diberi sempena ciri bunganya yang unik dimana dalam pemerhatian saya ianya mempunyai filamen yang panjang menyerupai misai kucing. Ketika saya memberi ceramah mengenai tumbuhan ini dan menunjukkan dua gambar Seekor Kucing yang bermisai dengan bunga tumbuhan misai kucing, 95% daripada mereka setuju dengan persamaan kedua-dua bentuk misai gambar tersebut. Di Malaysia laporan FRIM menyatakan terdapat dua varieti telah dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu Bunga Putih dan Bunga Ungu. Varieti bunga putih dikenali sebagai MOS1 dan varieti bunga ungu dikenali sebagai MOS2. Terdapat perbezaan dari segi pertumbuhan antara dua varieti ini. Jika hendak kenal lihat sahaja warna bunga ketika telah dihasilkan. Sebelum bunga misai kucing terhasil memang sukar hendak kenal peringkat benih, anak atau lihat daun sahaja.


Herba Misai Kucing telah digunakan dikawasan Asia Tenggara semenjak beratus-ratus tahun dahulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang. Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya), merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat dan oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu ataupun ginjal sehingga dapat mencegah terjadinya endapan batu karang. Kandungan saponin dan tanin pada daun juga boleh mengubati penyakit keputihan yang dialami oleh sesetengah wanita. Daun Misai Kucing digunakan bersama daun hempedu bumi untuk melawaskan buang air kecil (bersifat diuretik), rawatan batu ginjal, reumatisme, sakit pinggang, radang ginjal, masuk angin, kencing manis dan demam. Tanaman ini juga boleh digunakan sebagai bahan antialergi.


Misai Kucing banyak terdapat di kawasan lapang seperti di tepi jalan dan kawasan tanah terbiar samada kawasan tanah rendah atau tinggi. Selain tumbuh secara liar, Misai Kucing juga ditanam di kawasan rumah sebagai tanaman hiasan kerana bunganya yang menarik. Kini industry tanaman Misai Kucing telah dijadikan sebagai tanaman komersil untuk diproses menjadi produk the dan ekstrak. Semasa di Johor Bahru dulu satu projek penanaman misai kucing di kawasan Kg Sinaran, Senai merupakan satu projek awal yang dijalankan secara organik seluas 5 ekar. Pengusaha tersebut juga mengusahakan kilang jamu tradisional yang menghasilkan pelbagai ubatan tradisional.


Penanaman herba misai kucing mempunyai potensi baik dimasa hadapan. Beberapa kajian klinikal terhadap khasiat dan nilai permakanan untuk tujuan kesihatan perlu lebih di perbanyakkan untuk memberikan pengiktirafan mengenai tumbuhan ini. Hanya maklumat saintifik dan klinikal sahaja yang membolehkan produk herba misai kucing mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti Produk Ginseng dari Korea yang sangat popular diseluroh dunia. Industri herba tanaman misai kucing diharap akan bertambah maju dengan persijilan Silij Organik Malaysia (SOM) bagi meningkatkan kualiti produk. 
SELAMAT BERUSAHA.


MISAI KUCING...HERBA SEMULAJADI...
MUDAH DITANAM...MEMANG TAK RUGI...
LEPAS MINUM...BATU KARANG PERGI....
KESIAN SI KUCING...MISAI NAMA DIBERI...


Related Articles:
1.  Dokong Anak (Klik disini)
2.  Bakawali (Klik disini)
3.  Pegaga (Klik disini)
4.  Cekur (Klik disini)




By,
M Anem
Senior Agronomist,
Persint 11D,
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(Subuh jam 4.50 pagi ; 2 Ramadan 
-Telah di Kemaskini pada 30 Nov 2013) )

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...