Support My Blog

Wednesday, August 3, 2011

DOKONG ANAK

DOKONG ANAK (Phyllanthus niruri) adalah sejenis tumbuhan jenis herba yang termasuk dalam famili Eurphorbiaceae.Tumbuhan ini mempunyai lebih dari 600 spesis didapati mudah tumbuh dikawasan yang tanahnya agak keras di Malaysia seperti dicelah retakan simen. Juga boleh didapati di kawasan kebun-kebun sayur dan tanah terbiar.Daun pokok ini adalah dari jenis majmuk bipinat , daunnya kecil berwarna hijau yang agak gelap dan tersusun berselang seli dengan jarak lebih kurang 6-10mm. Ia adalah jenis herba tahunan(annual) dengan ketinggian lebih kurang 30-60 cm dan mempunyai bunga yang berwarna putih kekuningan dan satu tangkai bunga mempunya bunga-bunga kecil yang banyak . Pemerhatian yang saya buat mendapati terdapat dua jenis bunga pada dokong anak iaitu bunga jantan dan betina. Kapsul bijinya sangat kecil, berpermukaan licin dan dari jenis 3-gonous. Kitaran dari satu biji ke biji yang berikutnya adalah 2 hingga 4 minggu. Dukung anak tumbuh di kawasan yang beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia, Thailand. Juga terdapat di China, India dan dalam kawasan antara Filipina dan cuba. Dikebanyakan tempat ia mendatangkan masalah kepada petani kerana selalunya tumbuh di kawasan pertanian dan dianggap rumpai yang sukar dikawal. Pagi Ramadan ke 3 ini saya menulis mengenai herba dokong anak berdasarkan pembacaan dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 30 tahun.


Herba tempatan ini sedang menjadi perhatian dan minat di kalangan golongan saintiis apabila di kategorikan sebagai salah satu daripada 6 jenis herba yang diberikan tumpuan dibawah EPP1 program pembangunan NKEA di Malaysia. Dukung Anak (Phyllanthus Niruri atau Phyllanthus amarus) mudah ditemui di serata hutan di Negara kita dan dikawasan hujan basah Asia dan Amerika Selatan. Tumbuhan Dukung Anak didakwa merupakan salah satu daripada penawar herba paling berguna dan serba mujarab untuk melegakan sakit, membantu tubuh melawan demam sejuk dan selsema, menghapuskan batu karang (batu buah pinggang dan batu hempedu) serta mempercepat penyembuhan daripada hepatitis dan jaundis (sakit kuning). Maka, herba ini kini digunakan untuk menangani beberapa masalah yang sukar dirawati dengan kaedah perubatan moden. Dukung Anak boleh tumbuh hingga mencapai 40 sm tinggi dan mudah dikenali daripada lenggainya yang kecil dan melanjut sepanjang sisi bawah daunnya. Rakyat Malaysia akan mengenalinya sebagai rumpai yang sering mereka dapati muncul dicelah-celah pokok berpasu sebagai tamu tak diundang di sekitar halaman rumah mereka.


Kajian dari pembacaan beberapa buku dan lamanweb mendapati bahawa herba in lazimnya digunakan untuk merawat jaundis (sakit kuning) dan hepatitis. Di Negara China dan India banyak kajian untuk menilai kesan pelindungnya terhadap hati dibuat dengan mengenakan haiwan makmal kepada toksin hati (bahan yang meracuni hati) seperti alkohol dan parasetamol. Dalam setiap kes, kesan pelindung telah terbukti. Keputusan ini menyerupai kesan pelindung hati yang terhasil oleh sejenis herba tempatan lain, iaitu Hempedu Bumi (Andrographis paniculata). Masaalah penyekit Anti-Hepatitis B kini menjadi satu masaalah kesihatan di Malaysia dengan kebanjiran pendatang asing dari pelbagai Negara yang juga menjadi penyumbang kepada masaalah ini.


Dikalangan penyelidik dan pengamal perubatan herba telah amat terangsang berikutan ujian yang berjaya terhadap herba ini dalam menentang virus Hepatitis B iaitu sejenis virus yang menyebabkan sejenis jangkitan beransur-ansur yang dikaitkan dengan barah hati dan dianggarkan dihidapi oleh sekitar 300 hingga 500 juta orang di seluruh dunia. Manakala sains masih sedang mencari-cari suatu rawatan yang mampu melumpuhkan virus ini dan mencegahnya daripada merebak, beberapa kajian terhadap Dukung Anak telah menunjukkan kesan antivirus yang agak juga   memberangsangkan dalam menentang Hepatitis B. Namun begitu, ujian selanjutnya di tempat lain menghasilkan keputusan yang bertentangan tanpa sebarang perubahan dilihat. Perbezaan-perbezaan ini mungkin di sebabkan oleh kelainan aras kandungan bahan aktif dalam contoh-contoh yang digunakan. Dalam semua ujian ini, para penyelidik tidak mendapati sebarang kesan sampingan atau tindak balas negatif dan merumuskan bahawa herba ini selamat dan tak toksik. Sekiranya digunakan secara bergandingan dengan herba lain, Dukung Anak sekurang-kurangnya menawarkan satu rawatan alternatif yang berpotensi untuk merawat Hepatitis B.


Kajian mengenai kebaikan Dukung Anak yang juga merupakan penawar yang digunakan dengan paling meluas untuk merawat masalah batu karang, baik batu buah pinggang mahupun batu hempedu, sehingga ia digelar oleh masyarakat tempatan sebagai “Penghancur Batu”. Dalam satu kajian klinikal pada tahun 1999 (Campos, A. H. dan rakan-rakan), Pati ekstrak dari Phyllanthus Niruri telah menunjukkan kesan perencat tak berkait kepekatan yang ampuh dan berkesan terhadap pembentukan hablur kalsium oksalat (ketulan bahan bina yang menghasilkan kebanyakan batu buah pinggang). Ini boleh enjelaskan penggunaannya dalam kaedah perubatan tradisional untuk mencegah 2 pembentukan batu buah pinggang. Herba ini dipercayai memiliki sifat-sifat unik sebagai bahan antikejang dan pengendur otot khusus bagi saluran kencing dan saluran hempedu yang, mengikut tekaan para penyelidik, memudahkan penyingkiran batu buah pinggang, batu pepundi kencing dan batu hempedu.


Beberapa maklumat berkaitan dengan kesan pokok dokong anak terhadap Antivirus telah dijalankan. Penyelidikan terbaru terhadap Phyllanthus Niruri menunjukkan bahawa aktiviti antivirusnya merangkumi ‘virus kurang imun manusia’ (human immunodeficiency virus) atau HIV, iaitu virus yang menyebabkan penyakit AIDS. Sekumpulan penyelidik Jepun menemukan sifat-sifat perencat virus HIV-1 pada tahun 1992 dengan satu pati ringkas daripada pokok ini. Pusat Penyelidikan Farmaseutik BristolMyers Squibb telah mengasingkan sekurang-kurangnya satu daripada juzuk (kandungan) pada pokok ini yang menyumbangkan kepada aktiviti ini – iaitu sebatian unik yang mereka namakan “niruriside”.


Manakala dianggarkan bahawa waktu yang lama lagi masih perlu dilalui sebelum herba ini diambil masuk ke dalam senarai dadah farmaseutik piawai, ia kini digunakan oleh para pengamal perubatan herba dan kesihatan alamiah di serata dunia dalam pelbagai rumusan untuk masalah-masalah tersebut di atas. Bagaimanapun dalam bidang perubatan pencegahan barangkali herba seperti Phyllanthus Niruri digunakan secara paling meluas. Keperluan ini kini menjadi sekian menyerlah dalam menghadapi ancaman semakin membesar daripada pelbagai penyakit virus yang kita tidak empunyai sebarang rawatan ortodoks untuk menentangnya. Paling utama, herba ini tidak toksik dan bila digunakan secara bergandingan dengan herba lain, membantu meningkatkan sistem pertahanan tubuh kita terhadap ketoksikan (keracunan) dan penyakit.


Potensi penanaman herba dokong anak di Malaysia amat baik sekiranya teknologi penanaman dan pemprosesan dimajukan dengan sempurna. Terdapat beberapa usahawan yang telah mula menanam herba dokong anak secara komersial bagi pengeluaran produk terutamanya the dokong anak. Penanaman untuk tujuan makanan kesihatan perlu dipastikan tidak ada penggunaan racun kimia berbahaya demi menjaga kualiti produk. Kekurangan teknologi, benih tanaman serta pakej teknologi penanaman perlu dibangunkan. Bagi tujuan pemprosesan perlu ada kaedah yang moden dan cekap untuk menghgasilkan produk berkualiti yang di luluskan oleh pihak berkuasa tempatan. Beberapa Negara seperti India mempunyai banyak kajian saintifik mengenai tumbuhan ini.

Saya percaya satu hari nanti tumbuhan dokong anak yang dulu dipandang sepi ditepi rumah akan menjadi satu sumber pendapatan ekonomi baru di Malaysia dengan syarat promosi dalam penanaman, pemprosesan dan yang paling penting strategi pemasaran di rancang dengan baik. Kaedah penanaman yang mudah, kos yang rendah serta kurangnya serangan perosak dan penyakit akanb mempastikan tanaman ini dapat di hasilkan mengikut keperluan pasaran.


DOKONG ANAK....NAMA DIBERI....
BANYAK KHASIAT...TIDAK TERPERI...
MUDAH DITANAM....DARIPADA BIJI...
SEJENIS HERBA...PERLU DI PERHATI...


Related articles:
1. Aloe Vera (Klik disini)
2. Chrysanthemum (Klik disini)
3. Nilam (Klik disini)
4. Misai Kucing (Klik disini)
5. Pegaga (Klik disini)
6. Pegaga Embun (Klik disini)


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Rabu 3 Ramadan jam 4.50 subuh)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...