KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, August 22, 2011

LEMPOYANG

LEMPOYANG (Zingerber aromaticum  syn Zingiber zerumbet) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ZINGERBERACEAE yang terdapat didalam semak samun di Malaysia dan merupakan sejenis tumbuhan herba yang berkhasiat. Pokok Lempoyang yang ditanam atau tumbuh dikawasan rumah saya di Johor diatas tanah gambut dipercayai memberikan khasiat untuk membunuh cacing dalam perut, melegakan sistem pernafasan dan masaalah berkaitan dengan letih dan badan lesu. Orang kampong masa dulu mengambil lempoyang iaitu umbisi atau rizom yang telah matang dan direbus kemudian airnya diminum dan menyegarkan tubuh badan yang lesu atau demam. Nama lain bagi lempoyang adalah Shampoo Ginger (English) atau Awapuhi. Kajian penulis menunjukkan tumbuhan ini dipercayai berasal dari India dan tersebar dikawasan tropika khususnya Polinesia termasuk Asia Tenggara. Tanaman ini kurang popular dikalangan masyarakat moden dan amat kurang ditanam secara komersil. Dalam membuat rujukan dengan laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia, saya tidak menjumpai jumlah keluasan penanaman lempoyang di Malaysia. Artikel subuh 22 Ramadan ini saya berbincang dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan Lempoyang yang berguna tetapi tidak diketahui ramai akan khasiatnya.


Tumbuhan Lempoyang adalah jenis herba yang hidup seperti pokok halia atau pokok lengkuas dimana lazimnya ia mempunyai rizom dalam tanah. Sehingga ini belum ada pendaftaran varieti tanaman lemponyang dalam Senarai Varieti Tanaman Kebangsaan (National listing) kerana tidak ramai yang tahu dan faham akan tumbuhan herba ini. Amat wajar pihak berkaitan membuat penyiasatan dan pendaftaran varieti lempoyang untuk dijadikan rujukan. Pada saya paling asas adalah Varieti Lempoyang Tempatan.  Pemerhatian saya mendapati yang istimewa mengenai lempoyang adalah bunganya yang berbentuk kon. Bunga Lempoyang berwarna hijau ketika muda bertukar kepada pink kemerahan apabila matang dan amat cantik (Lihat foto disebelah). Bunga yang berukuran 3-10 cm panjang akan menghasilkan atau mengeluarkan bau wangi dengan terdapat cairan lendir apabila cukup matang. Batang lengkuas keluar dari tanah dengan ketinggial 1-2 meter dimana batangnya lembut mempunyai susunan daun bersilang. Daun lengkuas berpasangan berwarna hijau dengan ukuran 15-20 cm panjang mempunyai 10-12 helai setiap batang. Pembiakan lempoyang lazimnya menggunakan bahagian rizom.


Penelitian saya mendapati keluasan tanaman Lempoyang di Malaysia saya aggarkan sekitar 20-30 hektar CHE sahaja kerana tidak ada lagi maklumat rasmi mengenainya. Lempoyang ditanam secara kecil-kecilan disekitar rumah serta  didalam kawasan kampong. Mereka yanng suka bercucuk tanam pula ada yang menanam dalam pasu dikawasan taman perumahan. Anak benih dari rizom yang cukup matang (pokok berumur lebih 1 tahun) sesuai digunakan untuk benih. Masukkan anakbenih rizom kedalam tanah sedalam 15-20 cm dan timbus dengan tanah sedalam 1 inci (2-3 cm). Jika lempoyang hendak ditanam dalam kebun jarak penanaman disyorkan 4 kaki x 5 kaki dan ditanam dalam alur barisan. Peringkat awal perlu diberikan baja organik dengan banyak digaul dalam tanah sekitar 2-4 mt sehektar bergantung kepada jenis tanah. Tanaman lempoyang tidak mempunyai masaalah serangan serangga perosak dan penyakit. Ini menyebabkan ia mudah dijaga dan memberikan hasil organik kerana tidak menggunakan sebarang racun kinia. Sebaiknya kawasan penanaman untuk lempoyang mempunyai saliran yang baik.


Air rebusan lempoyang
Lempoyang merupakan sejenis herba dari kumpulan Zingiber (Halia) yang penting untuk kesihatan. Lempoyang yang dicampur dengan daun-daun herba lain untuk direbus sebelum digunakan sebagai air mandian terutamanya bagi wanita selepas bersalin. Air rebusan ini telah terbukti dapat memberikan kesegaran dalaman kepada ibu-ibu selepas bersalin. Air rebusan rizom lempoyang juga membantu dalam mengatasi masaalah kurang selera makan. Lempoyang yang mana rizom mudanya dituai boleh dimakan sebagai ulam dipercayai ia akan dapat membantu meningkatkan nafsu makan (selera makan) serta akan jadi awet muda. Air rebusan lempoyang (Foto diatas) sering digunakan untuk mengubati sakit perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. Kajian umum juga mendapati bunga lempoyang dan rizom lempoyang merupakan bahan terbaik untuk di buat shampoo rambut kerana aromanya dan juga mampu membunuh kutu dalam rambut dan kurangkan gatal akibat kelumumur.


Rakyat Malaysia boleh menanam lempoyang dan minum air rebusan lempoyang untuk meningkatkan tahap kesihatan. Lempoyang yang tumbuh sendiri didalam semak dan tidak pernah diberikan bahan kimia boleh dianggap sebagai Lempoyang Organik. Jika hendak meningkatkan selera makan ambil air rebusan lempoyang dan campurkan dengan sedikit gula atau lain-lain perasa untuk boleh diminum. Walau pun rasanya tidak sedap dan saya pun dah lama tidak minum air rebusan lempoyang kerana sukar dapat bekalan dipasar. bagaimana pun dinasihatkan kita kena tanam sendiril dirumah dalam pasu. Bagi tujuan tersebut anda boleh mendapatkan anak benih lempoyang daripada rakan yang menanam lempoyang atau dikampong apabiila balik nanti. Kajian dan penelitian lempoyang sebagai sejenis herna yang berkhasiat perlu diteruskan. Pihak berwajib boleh menyediakan Pakej Amalan Agronomi tanaman lempoyang dimasa akan datang. Selamat minum air rebusan lempoyang!...
MACAM HALIA….TAPI LEMPOYANG…
MUDAH DITANAM…DI BELAKANG…
BERKHASIAT..UNTUK TERSAYANG….
ADA MAKLUMAT…JANGAN DISIMPAN…


By,
M Anem
Senior Agronomist
Kg Parit Bengkok, Gersik,
Muar, Johor.
Malaysia
(Subuh 23 Ramadan ; jam 3.00 pagi)
Kemaskini pada 8 September 2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...