Support My Blog

Thursday, August 4, 2011

MEE BANDUNG MUAR

MEE BANDUNG MUAR merupakan satu produk makanan tradisional berasal dari Bandar Muar , Johor dan kini telah terkenal di seluroh Malaysia. Resepi makanan yang sangat enak dan popular ini telah di cipta oleh beberapa usahawan restoran tempatan yang menggabungkan mee kuning berkuah dengan telur, pes udang kering, sawi, telur ayam, air rebusan daging serta beberapa ramuan lain. Saya yang sememangnya berasal dari Daerah Muar merasa bangga dengan resepi ini selain daripada beberapa lagi makanan tempatan kebangaan orang Muar iaitu sarapan 'SATE PAGI' dan LODEH. Satu lagi menu yang popular di Bandar Muar adalah 'Mee Rebus Muar', 'Asam Pedas Muar' dan juga 'Roti Jala Muar'. Pengalaman bertugas sebagai AO Muar selama 5 tahun memberikan peluang kepada saya menikmati mee bandung Muar termasuk mengenali seorang pengusaha dan anak kepada pengasas Mee Bandung Muar iaitu En Abu Bakar Hanifah yang beroperasi di Jalan Abdullah (orang panggil Jalan No 2). Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai resepi penyediaan makanan mee ini.


Mee Bandung Muar kini telah di permodenkan dengan penyediaan 'PES MEE BANDUNG SEGERA' yang telah siap untuk di masak. Beberapa syarikat bumiputra telah maju dalam menyediakan pes mee bandung ini di seluroh Negeri Johor khususnya di Muar dengan pelbagai jenama, bentuk, pembungkusan dan kaedah pemasaran. Jabatan Pertanian ada terlibat dalam membangunkan industri pemprosesan dan pembuatan pes mee bandung dengan memberikan khidmat kepakaran dan bantuan peralatan serta pemeriksaan premis semasa saya bertugas di Johor dahulu. Antara beberapa pengeluar pes mee bandung di Muar seperti Pes Hj Selan, Adami, Mee Bandung Lazat, Pes Mee Parit Jarum dan banyak lagi. Ramuan pes mee Bandung Muar di sediakan dalam dua bentuk iaitu "PES KERING' dan 'PES BASAH' serta 'PES SEJUK BEKU". Produk Pes Hj Selan dijual dalam 2 bentuk paket berbeza iaitu yang berharga RM 7.50 (Paket Besar) dan RM 3.50 (Paket Kecil). Pes-pes mee bandung Muar boleh di dapati daripada Pasaraya seperti Jusco, Giant dan sebagainya.  


Kalau hendak menyediakan untuk keluarga berikut adalah resepi mudah bagaimana nak menyediakan MAKANAN MEE BANDUNG MUAR yang enak dimakan ketika panas-panas. Kalau dah sejuk kurang sedap!




Bahan-bahan Mee Bandung Muar
(Hidangan untuk 4 orang )

• 1 peket mee kuning
• 4-6 ekor udang basah
• 50g udang kering ( dikisar halus)
• 1/2 biji bawang besar
• 3 ulas bawang putih
• 5 tangkai cili kering
• 2 biji keledek (size kecil) - direbus dan dilenyek @ suku cawan kacang tanah goreng(dtumbuk) - kalau tidak hendak letak pun tidak apa tetapi lebihkan udang kering supaya kuahnya pekat.
• 4 biji telur ayam
• Sawi (dipotong2)
• Bawang goreng
• Hirisan cili merah
• Air rebusan daging
• Gula
• Garam
• Hirisan daging
• Limau kasturi / limau nipis (Kepada yang suka)
• Tauhu goreng - hiris nipis




Cara-cara Masak Mee Bandung Muar 
(Tertakluk kepada citarasa dan kemahiran tukang masak)


1. Celur mee kuning (Jangan terlalu lama)
2. Kisar halus (Blend) bawag besar, bawag putih dan juga cili kering. Panaskan minyak dan tumis hingga cili masak. Pastikan ramuan cili benar-benar masak.
3. Masukkan udang kering yang telah dikisar halus hingga naik bau. Kemudian masukkan air rebusan daging (Air ini akan memberikan rasa enak), keledek lenyek (ada yang guna biskut manis), kacang tanah yang dikisar, hirisan daging yang lembut dan udang basah. Didihkan sehingga betul-betul masak. Masukkan pula gula dan garam secukup rasa.
4. Kecilkan api. Pecahkan telur ayam sebiji demi sebiji (4 orang perlukan 4 biji telur). Jangan kacau supaya telur tidak pecah. Biarkan telur masak/separuh masak (terpulang). Akhir sekali masukkan sawi.
5. Tutup api. Curahkan di atas mee. Untuk makan segera mee boleh dimasukkan terus kedalam kuali. Dan hiaskan dengan bawang goreng,tauhu, hirisan cili dan limau kasturi. Siap untuk dimakan.
6. Sedap di hidangkan ketika masih panas.


Masakan mee bandung Muar memang nostalgia bagi kebanyakkan orang yang berasal dari Muar. Walau pun mere telah menjadi orang kenamaa, bersara atau berpindah ketempat lain tetapi bila balik kampong mesti 'pekena' dengan mee bandung Muar. Tetapi kini ramai orang Malaysia memang suka akan masakan ini tidak kira bangsa termasuk rakan saya dari Sarawak yang pertama kali datang ke Muar untuk Pesta Hari Peladang Peringkat Kebangsaan beberapa tahun dulu memang menyatakan ianya ENAK dan SEDAP. Kini dengan adanya pes mee bandung lebih mudah untuk kita menmasak mee bandung mengikut kemahuan dirumah. Jangan pergi jauh-jauh ke Bandung , Indonesia untuk makan Mee Bandung Muar...anda akan kecewa kerana ianya amat berbeza.....


MEE BANDUNG MUAR..MEMANG ENAK...
DIMAKAN PANAS...MEMANG TIDAK MUAK...
PENGASASNYA...MUNGKIN MAMAK....
PES TERSEDIA...BOLEH KASI EMAK.....


By,
M Anem
Grisek, Muar,
Johor
(5.45 subuh ; 4 Ramadan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...