Sunday, August 21, 2011

BELUT

Reactions: 
Belut merupakan sejenis haiwan dari keluarga SYNBRANCHIDAE yang mempunyai 4 Genera dan 20 jenis atau spesis. Belut mempunyai ciri iaitu haiwan tidak bersisik dan tidak mempunyai sirip kecuali di bahagian ekor. Kebanyakan belut dari kawasan tropika adalah mempunyai insang yang sempit dan tinggal dikawasan lembab berair dan mampu mengambil udara atau bernafas melalui kulit. Saya mengenali haiwan belut semanjak kecil lagi ketika memancing di anak sungai dekat rumah di Muar, Johor. Kadang-kadang mata kail di makan oleh belut yang memang menjengkelkan tetapi rupa-rupanya belut sangat sedap untuk dijadikan lauk. Belut dikawasan sawah padi atau di Betawi Indonesia di panggil sebagai moa (Monopterus albus) adalah sejenis ikan anggota suku Synbranchidae (belut) dari ordo Synbranchiiformes yang mempunyai nilai ekonomi dan nilai ekologi. Artikel subuh 21 Ramadan ini berkisar mengenai teknologi berkaitan dengan Belut Sawah berdasarkan dari pembacaan dan pengalaman penulis sendiri yang pernah kenal dengan Belut ketika muda dahulu.


Semasa saya bertugas di Mersing dari tahun 1997 - 2001, saya sering pergi ke Kuantan dan melalui satu projek mega ternakan belut oleh Syarikat Soon Seng dari Taiwan di Nenasi, Pahang yang jaarak jauh kolamnya sepanjang jalan sehingga 2 kilometer. Lokasi ternakan belut di Nenasi juga dapat di lihat dari udara dengan jelas ketika menaiki kapalterbang yang sememangnya melalui kawasan ini ketika penerbangan dari KLIA ke Kucing atau KK. Ini menunjukkan ternakan belut merupakan satu industri yang sangat berdaya maju kerana berjuta-juta belut dihasilkan setiap bulan dan di ekspot keluar negara. Kaedah ternakan belut ini di Nenasi, Pahang ini menggunakan teknologi moden dimana kolam-kolam belut mengunakan 'aerator' dan sumber air tawar yang bersih daripada tasik atau paya berhampiran. Belut dihasilkan di percayai di proses dan sebahagiannya di jual segar.


Belut Sawah adalah sejenis 'Ikan' yang banyak dimakan sama ada untuk  digoreng atau dimasak dengan sos seperti masakan asam pedas dan juga masakkan lain ikut kegemaran. Tidak ramai yang suka atau tahu makan belut kerana rasa 'Geli' kerana bentuk badan belut seperti ular. Secara ekologi dan persekitaran didapati  belut dapat dijadikan indikator pencemaran dikawasan sawah atau paya berair  kerana haiwan ini mudah menyesesuaikan diri dengan persekitaran. Lenyapnya belut menandakan telah berlaku kerosakan yang sangat parah telah terjadi dengan persekitaran atau telah tercemar. Penggunaan racun rumpai dan racun serangga dalam sawah padi kini telah memusnah populasi belut sawah. Kalau dulu kita mudah mendapatkan belut dalam sawah tetapi kini agar sukar. Belut Sawah membuat lubang dalam lumpur dan sekitar batas dan menjadikan kawasan sesuai untuk hidup.


Belut adalah haiwan jenis predator ganas di kawasan paya dan sawah. Lazimnya bahan makanannya secara semulajadi adalah seperti ikan kecil, cacing, krustasea dan sebagainya. Belut adalah aktif di malam hari untuk mencari mangsa. Haiwan ini juga dapat mengambil oksigen terus dari udara dan mampu hidup berbulan-bulan tanpa air asalkan kawasan tempat tinggalnya  tetap basah. Belut juga mampu menyerap oksigen melalui kulitnya yang licin dan berwarna coklat sehingga kehitaman. Warna belut bergantung kepada keadaan dipersekitarannya dan boleh membesar sehingga 1 meter. Pada kebiasaaannya belut bersarang di dalam lubang berlumpur dan menunggu mangsa yang lalui dihadapannya. Belut mempunyai deria pergerakan yang sensitif untuk mengesan mangsa walau mempunyai mata tetapi kurang berfungsi.


Belut banyak didapati dikawasan tropika dan mungkin berasal dari Tropika. Belut Sawah diketahui dapat bertahan untuk hidup walau pun musim sejuk atau dingin dengan suhu sangat rendah. Kombinasi sifat-sifat yang dimiliki belut membuatnya menjadi haiwan yang dianggap berbahaya bagi lingkungan yang bukan habitatnya. Ukuran maksimum adalah 1m panjang walau pun yang banyak dituai untuk pasaran komersil sekitar panjang 40cm. Belut memang unik kerana tidak memiliki sirip kecuali sirip ekor yang memanjang. Bentuk tubuhnya menyerupai tabung dengan tubuh licin dan tanpa sisik. Warna bermacam variasi namun biasanya kecoklatan hingga kelabu.


Belut Sawah betina lazim bersarang di dalam lubang dimana ia akan bertelur dan meletakkan telur-telurnya pada gelembong atau buih-buih di air yang cetek atau dangkal. Jika telur belut menetas maka keluarlah anak belut muda yang semuanya betina. Dalam proses pembesarannya akan ada beberapa ekor akan yang menjadi belut jantan. Kajian para saintis menunjukkan bahawa belut sawah berasal dari Asia Tenggara dan Asia Timur. Belut pada masa sekarang dilaporkan telah menghuni kawasan paya di Hawaii, Florida dan Georgia di Amerika Syarikat dan dianggap sebagai haiwan invasif.


Penjual belut salai di Indonesia
Belut sawah yang banyak dijumpai didalam lubang pematang sawah ternyata mampu dikomersialkan atau diternak dan berdaya maju sama ada dijalankan secara besar-besaran atau kecil-kecilan. terdapat beberapa usahawan atau petani telah menjadikan belut sebagai usaha ternakan dalam sistem kanvas atau kolam tanah. Kajian di Melaka dan Selangor mendapati teknologi ternakan belut agak mudah dimana dengan berbekalkan satu belut jantan dan betina yang  didapatkan dari sawah ia boleh dikahwinkan secara semulajadi dalam kolam. Cara pemakanan dengan memberikan tiga kali sehari makanan belut dengan katak sawah. Dari perkahwinan secara semulajadi itu, selepas dua minggu lazimnya belut mulai bertelur dan menetas menjadi beribu-ribu ekor anak belut dan akan terus beranak pinak.


Setiap minggu air kolam mesti di ganti dengan air baru agar tetap bersih. Selepas tiga bulan didalam kolam biasanya belut sudah mulai dapat di jual apabila saiznya 30-40 cm panjang. Beberapa projek ternakan belut di Selangor seperti di Sekincan, Selangor menjadikan belut sebagai ternakan komersial. Anak belut dibeli dengan harga 40 sen seekor dan di ternak selama 4-5 bulan sebelum dituai dengan harga pasaran RM 15.00 satu kilogram. Makanan untuk ternakan belut dikawasan Sekinchan, Selangor menggunakan bahan jerami padi, Batang Pisang, Rumput Kering dan tumbuhan lain (agak lambat membesar jika dibanding dengan pemberian anak ikan, katak atau pellets). Satu kolam belut mempu menghasilkan sebanyak RM 10,000 pendapatan kasar satu musim pengeluaran.


Saya agak mungkin tidak ramai yang tahu nak masak belut. Kalau pergi ke Pasar Borong Selangor memang ada jual belut. Cuba beli satu kilo dan minta mat Bangla atau Mat Myanmar siang belut tersebut (Nak buat sendiri kat rumah geli dan ianya agak licin). Tiba dirumah cuba resepi ini:- 


Resipi Belut Goreng Kunyit


Bahan:
Belut (dipotong kecil)
2 biji bawang besar (dimayang bulat)
8 tangkai kacang panjang (dipotong panjang)
2 tangkai lada merah hidup (dipotong menyerong)
1 cawan minyak masak
2 sudu serbuk kunyit
Garam dan serbuk perasa


Cara membuatnya:
Belut yang sudah dipotong dilumur dengan serbuk kunyit dan digoreng garing. Selepas garing, angkat dan asing dalam pinggan lain. Buang separuh minyak di dalam kuali. Tumiskan pula bawang merah, cili hidup dan kacang panjang. Tambah garam dan serbuk perasa sesedap rasa. Pastikan bahan tumisan tidak terlalu lembik. Akhir sekali, masukkan belut yang digoreng tadi dan kacau semuanya hingga rata serta boleh dihias dengan daun sup atau bawang goreng. Kalau dijual direstoran harga masakan berasaskan belut: Ditentukan mengikut jenis masakan dan kuantiti antara RM7—RM8 satu set. Selamat mencuba! Enaknya Belut....


TERNAKAN BELUT.....MUDAH SEKALI...
RAMAI TAK SUKA....KERANA GELI....
KHASIAT BELUT...SANGAT BERGIZI...
ARTIKEL BELUT...DITULIS SUBUH PAGI....


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Subuh 4.10 pagi ; 21 Ramadan)

3 comments:

  1. ASKUM EN ANIM

    Di sini saya ingin bertanya kepada pihak tuan sekiranya dapat membantu saya bagi memberikan maklum infomasi tentang mengdapatkan benih bagi belut sawah dan serta di mana yang boleh pihak kami hunbungi bagi kurus perternakan belut sawah .

    Maklumat dari pihak Tuan amat saya hargi

    ReplyDelete
  2. Bolehkah tuan memberi maklumat tentang bagaiman saya boleh berhubung dengan Syarikat Soon Seng di Nenasi Pahang?

    stanlygsl@gmail.com

    ReplyDelete
  3. saya suka makan belut...rasa dia macam makan ayam..goreng panas2 je pun dah sedap...banyak khasiat makan belut ni kulit pun licin..

    Nak Kurus Badan Dengan Berkesan

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA