KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, August 12, 2011

BENA

Bena Perang dan Bena Putih (Nilaparvata lugens) adalah daripada famili Delphacidae dan golongan (Order) Homopthera. Kedua-dua bena ini mempunyai saiz badan yang agak sama tetapi berbeza dalam warna badan dan kepak. Kedua-dua jenis benah tersebut menyerang tanaman padi di negara kita dan juga terdapat diseluruh dunia yang mempunyai iklim yang sama. Nama lain bena perang adalah Wereng Coklat (Indonesia) dan Brown Plant Hopper-BPH (English). Serangan bena ini sering menjadi satu igauan ngeri kepada pesawah kerana mampu mengurangkan hasil tanaman padi atau memusnahkan padi sehingga teruk. Dalam berita TV sering di warwarkan serangan bena secara kerap bila berlaku kes seperti ini. Artikel subuh 12 Ramadan ini saya berkongsi maklumat mengenai BENA PERANG dan BENA PUTIH serangga perosak tanaman padi (Oryza sativa) di negara kita.


Kebiasannya bena perang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk daripada bena putih. Bena perang juga diketahui sebagai pembawa penyakit virus. Dua jenis penyakit padi yang dibawa oleh bena perang ialah penyakit kerdil rumput (grassy stunt) dan penyakit kerdil hampa (ragged stunt). Sekarang penyakit-penyakit ini tidaklah begitu mustahak. Bena putih belum lagi diketahui sebagai pembawa sebarang penyakit padi.


1) BENA PERANG
Bena perang mempunyai pusingan hidup yang ringkas, iaitu peringkat telur, anak jelmaan dan dewasa. Pada peringkat telur, Bena perang dewasa betina bertelur di dalam pelepah daun secara kumpulan. Kumpulan-kumpulan itu mempunyai antara 4-10 biji. Telur bena perang berbentuk bujur panjang dengan bahagian hujungnya melekat antara satu sama lain. Seekor bena perang betina boleh bertelur sebanyak 80-700 biji. Telur-telur ini akan menetas dalam masa antara 6-8 hari dan lebih cepat pada suhu 25-30 Celsius.


Peringkat Anak Jelmaan adalah dimana peringkat bena perang mempunyai 5 peringkat anak jelmaan dan mengambil masa antara 2-3 minggu sebelum menjadi dewasa. Jika keadaan sesuai, perubahan hanya mengambil masa 11-15 hari. Pembentukan anak jelmaan adalah lebih cepat pada suhu 27-28 Celsius. Anak-anak jelmaan bena perang berwarna pucat dan bertukar menjadi keperangan di peringkat anak jelmaan kelima. Anak-anak jelmaan ini menghisap cairan tumbuhan di bahagian pangkal pokok berhampiran dengan permukaan air.


Pada peringkat dewasa pula bena perang hidup selama 16-23 hari di peringkat dewasa. Ianya dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu bersayap pendek (brachypterous) dan bersayap panjang (macropterous). Jenis bersayap panjang mempunyai sayap berbentuk biasa, manakala jenis bersayap pendek mempunyai sayap menutupi sebahagian badannya sahaja. Jenis bersayap pendek mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada jenis bersayap panjang. Kedua-dua jenis ini mempunyai warna yang sama, iatu perang muda bagi betina dan perang kehitaman bagi yang jantan.


Tanda-tanda Kerosakan oleh bena perang menyerang pangkal rumpun padi di permukaan air. Serangan berlaku di peringkat semaian hingga ke peringkat padi terbit. Bena-bena dewasa dan anak jelmaannya menghisap cairan batang-batang padi dan kelopak-kelopaknya serta merosakkan saluran makanan. Tanaman yang diserang kelihatan kurang subur; bilangan pecahan anak menjadi kurang dan pokok terbantut. Serangan yang teruk menyebabkan daun padi menjadi kering seperti terbakar. Ini menyebabkan kematian pokok padi dan keadaan seperti itu dipanggil 'hopperburn'.


Sesuatu serangan merebak bena perang yang terjadi bermula dari pembiakan serangga dewasa betina bersayap panjang yang telah berhijrah ke kawasan tersebut. Telur-telur yang menetas akan menjadi anak-anak jelmaan yang kemudian akan membesar dengan menghisap cairan pokok-pokok padi. Anak-anak jelmaan ini akan menjadi dewasa bersayap pendek dan serangga betina jenis ini boleh bertelur dengan banyak dan ini mengakibatkan satu populasi yang besar. Jumlah serangga dewasa dan anak jelmaan yang tinggi ini akan menyebabkan pokok-pokok padi mengalami kerosakan teruk iaitu menjadi kering.


B) BENA PUTIH
Mempunyai pusingan hidup yang ringkas seperti bena perang, iaitu mempunyai peringkat telur, anak jelmaan dan dewasa. Pada peringkat telur didapati bena betina bertelur di dalam pelepah daun. Kumpulan telur bagi bena putih ialah di antara 7-19 biji. Telurnya berbentuk bujur panjang dengan bahagian hujungnya tidak bersambung antara satu sama lain. Seekor bena putih betina boleh mengeluarkan telur sebanyak 200 biji dan setengahnya boleh mengeluarkan sebanyak 300-500 biji. Telur-telur ini akan menebas dalam masa 5-8 hari dan lebih cepat pada suhu 25-30oC.


Peringkat Anak Jelmaan pula Bena putih mempunyai 5 peringkat anak jelmaan dan mengambil masa antara 2-3 minggu sebelum menjadi dewasa. Jika keadaan sesuai, perubahan hanya mengambil masa 11-55 hari. Pembentukan anak jelmaan adalah cepat pada suhu 27-28 Celcius. Anak-anak jelmaan bena putih yang pertama adalah kecil dan berwarna putih. Anak jelmaan ini bersalin kulit menjadi anak jelmaan kedua dan seterusnya sehingga anak jelmaan kelima yang berwarna putih dengan tanda-tanda hitam di belakang badan. Anak jelmaan ini cergas, menghisap cairan tumbuhan di bahagian pangkal pokok berhampiran dengan permukaan air. Biasanya anak-anak jelmaan yang baru selalu terdapat di bahagian pangkal pokok.


Pada Peringkat Dewasa Bena putih hidup selama 9-28 hari di peringkat dewasa. Saiz badannya agak kecil sedikit daripada bena perang tetapi mempunyai sayap yang lebih panjang. Sayapnya tera terus (transparent) dan di tengahnya terdapat bintik hitam. Badannya berwarna hitam dan toreknya berwarna kuning pucat.


Tanda-tanda Kerosakan oleh bena Bena putih menyerang padi sewaktu di tapak semaian hinggalah ke peringkat matang. Bena putih dewasa dan anak jelmaan menghisap cairan dari pokok padi dan serangan ini boleh menyebabkan daun-daun menjadi layu dan perlahan-lahan bertukar menjadi merah. Diantara faktor-faktor yang menyebabkan serangan ialah:-


- Penanaman padi yang pesat seperti tanaman padi dua kali setahun
- Penanaman yang tidak serentak di dalam satu-satu kawasan
- Penggunaan racun kimia tidak mengikut peraturan
- Penggunaan jarak tanaman yang terlalu rapat dan banyak bilah/perdu padi
- Penggunaan terlalu banyak baja nitrogen
- Penggunaan jenis padi yang peka pada serangan bena ini


PENGAWALAN:
Jalankan pengawasan di setiap peringkat pertumbuhan pokok bermula dari peringkat semaian. Kira bilangan bena dan ambil langkah-langkah mengawal apabila bilangan bena telah mencapai peringkat pengawalan yang ekonomik. Pada peringkat awal serangan terdapat pesawah yang menyembur dengan racun serangga untuk membunuh populasi yang kecil. Racun serangga yang digunakan sebaiknya mampu membunuh semua peringkat bena perang sama ada jenis phenylpyrazole seperti fipronil dan ethiprole, carbamate seperti aldicarb, carbofuran, carbaryl, BPMC dan MIPC, neonicotinoid seperti imidacloprid, thiamethoxam dan clothianidin, pyrethroid seperti allethrin, cypermethrin, permethrin dan prallethrin dan organophosphate seperti acephate, monocrotophos, diazinon, disulfoton dan malathion digunakan sejak sekian di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Asia Timur.


MENANAM PADI ....DISERANG BENA....
PUNCA UTAMA...TERLEBIH UREA....
PERLU DIKAWAL ...DENGAN SEGERA..
JIKA TIDAK....PESAWAH MERANA....




By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Subuh 5.10 pagi ; 12 Ramadan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...