KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, August 11, 2011

KUKU KAMBING

KUKU KAMBING adalah perkataan yang memberikan dua makna di negara kita dalam Bahasa Malaysia. Maksud pertama yang sering difahami ialah Kuku Kambing sebenar yang terdapat pada kaki kambing dibahagian bawah kaki. Ianya merupakan bahagian keras pada penghujung kaki kambing yang juga merupakan tapak untuk kambing berjalan. Maksud kedua yang mana mungkin golongan generasi muda tidak pernah lihat adalah merupakan sejenis alat yang di perbuat dari besi dan kayu yang digunakan oleh pesawah untuk aktiviti menanam atau disebelah utara sebagai alat mencedung anak benih padi. Saya pernah menggunakan alat ini ketika membantu keluarga menanam padi sawah kepunyaan keluarga di Sawah Ring, Muar sekitar tahun lewat 1970'an. Artikel subuh 11 Ramadan ini mengimbau kembali alat menanam padi yang dipanggil sebagai 'KUKU KAMBING' sebagai maklumat dikongsi bersama.


Kuku kambing merupakan salah satu cara tradisional digunakan oleh masyarakat petani bagi proses penanaman anakbenih padi di sawah. Kuku kambing diperbuat daripada besi dan hulunya daripada kayu dan ada juga daripada besi. Ia mempunyai mata yang bercabang dua dihujungnya bagi menyelitkan anak padi dan akan ditekan ke dalam tanah untuk ditanam. Ini dapat mempercepatkan proses penanaman anak padi dan memudahkan petani membuat penanaman yang teratur ke atas tapak penanaman. Kepakaran penanam padi ini menentukan anakbenih padi tersebut benar-benar bahagian akar di tusuk masuk kedalam tanah untuk proses pembesaran.


Kuku Kambing biasanya ada dijual di kedai-kedai pertanian pada waktu itu dengan harga yang sangat murah dan tahan bertahun-tahun. Ada pesawah yang menempah khas alat tersebut dari tukang besi mengikut rekabentuk dan kesukaan masing-masing. Struktur yang penting yang perlu ada pada kuku kambing adalah Komponen Besi bercabang dua dihujung yang berfungsi untuk meletakkan akar anakbenih padi yang akan ditusuk dalam tanah. Komponen kedua adalah bahagian pemegang pada hulu. Tangan kanan (kalau tidak  kidal) akan pegang kuku kambing dan tangan kiri akan memegang atau meletak anak benih padi. Tahap kelajuan menggunakan kuku kambing bergantung kepada faktur umur pesawah, kemahiran, kedalaman sawah, jarak antara tempat letak anakbenih dengan lokasi penanaman dan bilangan kumpulan penanam padi.


Bergotong royong mengubah padi.
Kerja menanam padi pada waktu itu kebanyakannya dijalankan oleh golongan wanita yang dibuat secara bergotong-royong atau 'BERDERAU'. Perlaksanaan program menanam akan bermula dari satu tuan tanah kepada tuan tanah yang lain secara bergilir-gilir sehingga keseluruhan blok sawah padi selesai menanam. Kerja menanam atau istilah lain 'MENGUBAH' padi ini dibuat dalam keadaan badan membongkok....bayangkan jika menanam seluas 10-20 hektar setiap blok satu musim, berapa banyak kali pesawah kena berdiri dan membongkok untuk menanam padi?....Itu adalah kaedah menanam padi yang dijalankan oleh datu nenek kita sejak beatus-ratus tahun dulu. Peranan kuku kambing dalam industri padi masa itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.


Menggunakan kuku kambing
Kini kita rasa kesian kepada saudara kita si 'KUKU KAMBING' ini yang telah bersara apabila kaedah penanaman padi telah berubah kepada kaedah penanaman 'TABUR TERUS' atau dalam bahasa Inggeris kaedah 'Direct Seeding'. Teknologi ini yang diperkenalkan pada sekitar tahun 1980'an sesuai dengan keperluan sistem ini yang perlukan permukaan tanah sawah yang rata dan sistem penyebaran air yang boleh dikawal dengan sempurna. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untu memperbaiki sistem sawah padi di Malaysia untuk menggunakan sistem tanaman padi tabur terus. Pada masa itu saudara kita kuku kambing memang telah uzur dan mula berpencen secara berperingkat-peringkat.


Kalau kita hendak lihat atau jumpa kuku kambing boleh berkunjung ke muzeum-muzeum yang ada membuat pameran berkaitan pertanian dan alatan pertanian. Dalam perayaan Hari Peladang dan Nelayan yang di adakan setiap tahun kadang-kadng ada di pamerkan gambar atau alatan sebebar kuku kambing. Bila kita renung kembali alat kuku kambing dengan pengkisahan saya diatas dapat kita bayangkan setiap biji beras dan nasi yang kita makan pada waktu itu datang dari pokok padi yang ditanam menggunakan khidmat kuku kambing yang terus taat membantu pesawah dalam proses penanaman padi. Selamat mengenang kembali saudara kita yang telah lama dilupakan iaitu 'Kuku Kambing'. Wasallam...


KUKU KAMBING...BANYAK JASANYA....
SUKAR TANAM PADI...TANPANYA....
KINI DI MUZEUM...TEMPAT DUDUKNYA...
TELAH PENCEN...ADA SIAPA TANYA?...


Related articles:


1. Cangkul dan Tajak (Klik disini)
2. Brix Meter (Klik disini)
3. Vacuum Fry Technology (Click here)
4. Sayuran popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Subuh 5.50 pagi ; 11 Ramadan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...