KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 3, 2013

PACLOBUTRAZOL

Apa dia Paclobutrazol?.
PACLOBUTRAZOL adalah sejenis bahan kimia yang bertindak sebagai pengawalatur pertumbuhan (Growth Regulator) yang boleh menyekat proses sintesis Gibberallin (GA) dalam tanaman. Apa yang saya tahu, Paclobutrazol atau singkatannya dikenali sebagai 'PBZ' apabila disiram kepada tanah dikeliling pokok khususnya pokok buah-buahan maka ia akan bergerak melalui akar pokok untuk dihantar kepada bahagian daun sehingga pucuk tanaman. Kesannya didapati ia merangsang kepada tanaman seperti tanaman mangga dengan bertindakbalas dimana seterusnya adalah merangsang kepada pengeluaran bunga. Secara saintifik bahan ini dikategorikan sebagai 'Kimia Perencat' pertumbuhan pokok (plant growth inhibitor). Bahan PBZ ini mengandungi 25% bahan aktif iaitu merupakan hormon yang boleh mempengaruhi pokok dengan menyekat pertumbuhan vegetatif. Pada keadaan yang sesuai, pengeluaran pucuk akan terhenti dan juga kesannya tumbesaran pokok akan menjadi Dorman. Semasa peringkat dorman ini akan berlaku pengumpulan makanan (non-structural carbohydrates) dan juga tenaga dalam pokok terutama pada bahagian daun, ranting dan pucuk. Pada masa ini warna daun akan menjadi hijau yang gelap sedikit. Akhirnya pokok akan menjadi fasa reproduktif dan akan membentuk premodia bunga sehingga berlaku keadaan untuk bunga terbit daripada pokok. Artikel malam Khamis ini saya gembira menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai bahan Paclobutrazol dalam usaha untuk mempengaruhi pembungaan tanaman selepas melawat projek tanaman mangga Harumanis di Perlis.



Setelah menyemak dengan bahan rujukan, saya dapati nama biasa bahan ini adalah 'Paclobutrazol' dengan nama kimia sebagai (R*,R*)-(+)-B-(4-chlorophenol) methyl - a - (1,1 dimethyl)-1H-1,2,4-troazole-1-ethanol.  Diantara beberapa nama dagangan untuk bahan ini seperti keluaran syarikat ICI seperti Bonzil, Cultar, Parlay, Clipper, PP333, Austar dan syarikat lain seperti Flowstar, Cinta, Brightstar, Q-Stac dan Kauta250 (Nasib baik tidak ada jenama 'Auta'). Merujuk kepada Ahli Kimia, didapati bahan ini dalam keluarga kimia jenis 'Trizole'. Jenis kimia yang dinyatakan adalah C15H20CLN3O dengan berat molikul 293.8. Bentuk fizikal yang kita boleh lihat sama ada pepejal kristal atau tiada warna. Kajian makmal mendapati bahan ini sering mempunyai titik cair pada tahan 165 - 166 Celsius. Kadar ketumpatan yang dicatitkan sebagai 1.22g/cm padu. Kadar kelarutannya pula sekitar 35 mg/liter pada suhu 25 celsius. Kadar peruapan (volatilazation) adalah sedikit sahaja dan begitu juga kadar ketoksikannya.  Kajian dimakmal mendapati kadar ketoksikan adalah LD50 pada kadar 1,330- 2,000 mg/kg.  Bahan ini adalah merbahaya kepada manusia jika tertelan, tersedut atau terserap melalui kulit.Kesan residu pada tanah adalah selama 200 hari bergantung kepada jenis tanah dan cuaca.



Bahan ini mengikut pemerhatian saya merupakan bahan yang telah lama digunakan dalam industri buah-buahan diluar negara terutamanya beberapa negara maju bermula semenjak tahun 1980'an. Penggunaanya hanya dijalankan di Malaysia pada tahun 1986 terhadap kesesuaiannya terhadap aspek pembungaan tanaman mangga. Saya masih ingat tempat mula digunakan PBZ (Jenama 'Cultar') kali pertama oleh Syarikat Guthrie atau Golden Hope di Estet dekat Nilai (Sekarang sudah jadi perumahan Country Home yang Ekslusif di tepi lebuhraya PLUS). Saya dan rombongan cukup kagum dengan begitu banyak bunga yang keluar pada pokok mangga (Saya ingat-ingat ia adalah varieti Harumanis atau Nam Dok Mai) dan kalau menjadi buah, akan kaya tentunya syarikat tersebut. Malangnya hanya sedikit putik dan buah mangga dapat dihasilkan. Seterusnya saya dapati beberapa tahun kemudian semua pokok mangga diestet tersebut telah ditebang dan ditanam kelapa sawit semula. Bagaimana pun kini saya dapati penggunaan PBZ masih dipromosikan dikawasan penanaman manga terutama di kawasan penanaman mangga Harumanis (MA128) dan Sala.  Beberapa petani yang menanam mangga cokanan (MA224) juga ada menggunakannya untuk aruhan pembungaan. Bahan PBZ ini boleh digunakan dengan syarat petani diberi kefamanan dahulu cara penggunaan yang betul agar dapat menghasilkan bunga yang banyak, kadar putik melekat yang tinggi dan buah yang banyak dengan pengurusan agronomi tanman yang betul. Wasallam!



PACLOBUTRAZOL...HORMON BERGUNA...
BOLEH DIGUNA... PENGALAK BUNGA...
DISIRAM DITANAH... POKOK MANGGA...
BERHATI-HATI.... KESAN MERBAHAYA...

By,
M Anem
Senior Agrologist,
Stesyen Pertanian Bukii Temiang,
Perlis, Malaysia.
(12 Syaaban 1434H)



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...