KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 10, 2013

KERENGGA KAWAL THRIPS

KERENGGA (Oceophylla smaradgina) merupakan sejenis serangga yang mudah kita jumpa didalam kawasan kebun, belukar dan tanaman buah-buahan didalam kebun. Kerengga merupakan sejenis serangga pemangsa (predator) yang sesuai dipelihara dalam kawasan dusun buah-buahan khususnya tanaman mangga (Mangifera indica) bagi mengatasi masaalah serangan serangga seperti kutu thrip (Selenothrips rubracintus atau Haplothrips pictipes) dan ulat larva perosak lain. Pengalaman penulis mendapati serangan oleh kutu thrips memang merupakan satu ancaman utama tanaman mangga kerana ia mampu menyerang banyaak bahagiaan seperti daun, pucuk muda dan bunga. Thrips dewasa akan mengikis permukaan daun mangga, putik mangga dan juga buah sehingga boleh menyebabkan bunga gugur, buah berkarat dan kejadian parut  pada buah. Pemerhatian penulis mendapati populasi kutu thrips memang membiak cepat ketika cuaca kering kurang dari 100 mm/bulan atau sangat basah lebih 300 mm sebulan. Jangkahayat kutu thrips adalah sekitar 12 - 20 hari bergantung kepada cuaca dan sepsis. Banyak syor-syor kawalan yang boleh digunakan untuk kawalan trips ini. Artikel pagi ini sambil mendengar kertas pembentangan pada Persidangan Mangga Kebangsaan 2013 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penggunaan kerengga dalam kawalan kutu thrips berdasarkan pembentangan kertas dan pengalaman penulis sendiri. 


Populasi kerenngga memang bergantung kepada spesis dan kesediaan makanan untuk kerengga didalam lokasi tertentu. Kerengga merupakan serangga yang berkoloni dan membina sarang pada pokok dimana ia sesuai membinanya (Artikel mengenai sarang kerengga - Untuk baca sila klik disini). Lazim kita tidak suka jika ada kerengga pada pokok buah-buahan kita kerana ia akan mengigit pemilik kebun atau pekerja ladang yang menyukarkan untuk menjalankan aktiviti diladang. Kerengga yang aktif ini akan berada pada semua bahagian pokok akan menggigit sesiapa sahaja yang menyentuh kawasan pokok. Selain menyakitkan dan juga mengejutkan kita, kerengga ini jika terlalu banyak mengigit akan menyebabkan kita lari dan ingin memusnahkannya. Kerengga ini tidak akan melepaskan gigitannya sehingga ia mengeluarkan 'cecair' yang akan menyebabkan kadar kesakitan dan kesan gatal pada kita. Kesannya kita atau pekerja ladang akan tidak suka menghampiri pokok mangga atau buah-buahan lain untuk membersihkan rumpai, membaja, membuat cantasan (ini paling tidak disukai kerana kerengga akan lebih 'marah') dan sebagainya. 


Bagaimana pun menurut rakan saya Tn Hj Isnin seorang penyelidik daripada MARDI Kedah, Kerengga merupakan satu daripada kaedah biologi untuk mengawal kutu thrips diladang mangga yang signifikan. Kerengga suka makan kutu thrips dan larva serangga perosak lain yang berada dikeliling sarangnya atau pada pokok mangga berdekatan. Semasa saya membuat pemerhatian dibeberapa ladang mangga di Melaka, Perak dan Perlis, saya memang ada membuat penelitian dimana pokok yang ada populasi kerengga lebih baik hasil buahnya berbanding dengan pokok yang tiada populasi kerengga. Jumlah bunga yang menjadi putik dan kadar kecacatan pada kulit buah mangga kurang jika ada kerengga. Hasil pemerhatian juga mendapati lazimnya kerengga adalah aktif pada musim kering dimana permukaan daun kering dan kurang aktif bergerak semasa permukaan daun basah. Keadaan ini sama dengan pergerakan kutu thrips yang juga aktif bergerak dan membiak semasa cuaca kering yang akan memudahkan ia makan thrips. 


Pemilihan spesis kerengga yang betul iaitu jenis kerengga yang suka makan kutu thrips dan aktif diwaktu kering mampu mengurangkan populasi kutu thrips. Kita mungkin perlu mengambil koloni kerengga daripada pokok mangga lain dan dibiakkan pada pokok mangga baru. Kalau kita ambil koloni kerengga dari pokok rambutan atau pokok dokong mungkin ia agak lambat untuk menyesesuaikan dengan keadaan. Program cantasan terhadap pokok mangga merupakan satu masaalah dengan sarang kerenggga pada pokok. Oleh itu perlu dirancang dengan teliti bagaimana kita boleh 'mengalihkan' sarang kerengga sebelum membuat cantasan. Caranya dengan memotong dahan yang ada sarang dan ikat pada dahan yang  tidak akan dipotong beberapa hari sebelum mencantas dahan. Kemudian cantasan dijalankan mengikut keperluan. Pastikan anda mampu menguruskan populasi kerengga ketika membuat penyemburan racun kimia keatas pokok mangga agar tidak memusnahkan populasi kerengga dengan banyak. Semuga artikel ini memberikan maklumat berguna kepada anda semua. Wasallam!


Kesan serangan thrips pada buah mangga.
LADANG MANGGA... ADA KERENGGA...
KUTU THRIPS... MENYERANG JUGA...
BELA KERENGGA... IA PEMANGSA...
MAKAN THRIPS... CARA KAWALNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kompleks TH Hotel and Convention Center,
Alor Setar, Kedah,
Malaysia.
(8 Oktober 2013)
Hadir Persidangan Mangga Kebangsaan 2013

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...