KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, October 16, 2013

CIKU - PEROSAK DAN PENYAKIT

CIKU (Manikara achras Mill) atau (Manikara sapota Linn) adalah sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Sapotaceae yang tumbuh dinegara kita Malaysia. Ciku di Indonesia dikenali sebagai Buah SAWO. Kajian saya mendapati keluasan tanaman ciku di Malaysia pada tahun 2010 adalah sebanyak 1,115 hektar dengan hanya sekitar 515 hektar sahaja yang menghasilkan buah. Sebanyak 6,050 metrik tan buah ciku dihasilkan pada tahun 2010 yang dianggarkan bernilai sekitar RM 18,149,940 (atau mudahnya disebut RM 18.1 juta). Anggaran purata produktiviti hasil tanaman ciku di Malaysia adalah sebanyak 11.7 mertik tan sehektar. Tanaman ciku banyak di Pahang (226 hektar), Johor (176 ha), Kelantan (173 ha), Terengganu (145 ha), Selangor (104 ha) dan Kedah (128 ha). Lain-lain negeri menanam ciku kurang dari 100 hektar CHE sahaja. Pasaran ciku kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik sahaja walau pun ada sebahagian kecil yang diekspot ke Singapura dan Brunei. Terdapat beberapa varieti ciku yang popular di tanam di Malaysia iaitu Ciku Subang, Ciku Jantung, Ciku Betawi dan yang baru sekali adalah Ciku Mega (C19). Kajian saya mendapati, penanaman baru pokok ciku amat kurang dijalankan ketika ini kerana tidak ramai yang berminat untuk menanamnya akibat pulangan ekonomi yang kurang menggalakkan. Artikel pada pagi sabtu ini saya menulis teknologi mengenai perosak dan penyakit tanaman ciku dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan semua.



1.  PEROSAK TANAMAN CIKU
Tanaman ciku walau pun nampak lasak, ia tetap mempunyai serangga perosak yang suka akan pokok ciku ini. Serangga perosak perlu dikawal bagi mendapatkan hasil yang tinggi. Serangga perosak seperti ulat pengorek buah, lalat buah, kumbang pemakan daun, pelombong daun, koya dan ulat pelipat pucuk dikenalpasti menyerang tanaman ciku. Diantara jenis perosak tanaman ciku adalah 
Kumbang Kaboi (Apogonia spp., Adoretus spp.). Saya dapati kumbang koboi memakan daun dan meninggalkan kesan yang bergerigi. Sembur dengan racun serangga seperti cypermethrin atau malathion. Serangga lain yang menyerang pokok ciku adalah serangga yang merosakkan bahagian buah iaitu Lalat Buah (Bactrocera spp.).  Serangga ini menyerang buah cikuu yang matang. Lalat betina mencucuk permukaan buah untuk bertelur didalam lapisan bawah kulit. Berenga yang menetas akan mengorek dan memakan isi buah. Buah diserang akan menjadi busuk dan berair. Satu kaedah paling mudah dijalankan adalah dengan mrngutip buah ciku yang gugur atau busuk dan musnahkan dengan cara menanam atau membakarnya. Gunakan perangkap lalat buah buah bersama bahan penarik seperti methyl-eugenol dicampur malathion yang diletak pada kapas dan dimasukkan kedalam botol air plastik yang dibuat lubang. Lalat buah jantan akan tertarik dengan bau tersebut dan masuk kedalam botol sehingga mati didalamnya.

Tanaman ciku juga sering menghadapi serangan oleh serangga Pengorek Buah (Anephopterix pirates) dimana larvanya akan  mengorek dan merosakkan isi buah. Terdapat fras (tahi ulat) kelihatan berhampiran lubang yang dikorek. Kita perlu petik dan kumpulkan buah ciku yang diserang dalam karung plastik dan tanam ke dalam tanah. Serangga lain seperti Ulat Pelipat Pucuk (Banisia myrsusalis) menyerang bahagian daun tanaman ciku dengan larvanya  yang menetas dan tinggal di dalam daun yang dilipat memakan epidermis daun. Kutip larva dan musnah kan ketika pokok masih kecil dan baru ditanam. Pokok besar perlu disembur dengan racun kimia jika perlu. Walau pun petani yang menanam ciku dewasa jarang-jarang membuat kawalan dengan semburan racun kimia, saya dapati mungkin boleh memohon sijil SOM (Sijil Organik Malaysia) begi menghasilkan buah ciku organik di Malaysia. 


Walau pun perosak Ulat Pelombong Daun (Acrocercops spp) ada menyerang tanaman ciku tetapi ia dianggap kurang merbahaya kerana ia hanya bermusim. Larvanya akan  mengorek bahagian bawah eipdermis daun, membentuk terowong. Daun diserang akan menjadi kering dan mati. Guna perangkap pelekat kuning atau pelekat biru untuk mengurangkan populasi serangga perosak. Selain itu serangan Koya (Phaenococcus spp.) akan merosakkan tanaman dimana serangga dewasa menghisap cairan sel daun dan mengeluarkan manisan. Manisan ini menyebabkan serangan kulat kulapok berdebu (Lihat foto koya disebelah). Sembur dengan minyak putih. Kesemua masaalah serangan serangga perosak bleh dikawal dengan beberapa cara seperti kita mengutip buah yang gugur atau busuk serta musnahkan atau boleh juga menggunakan perangkap buah bersama bahan penarik seperti methyl eugenol dengan larutan malathion. Kaedah kawalan dengan mengutip larva dan mmemusnahkan juga mampu mengawal perosak. Ada petani yang akan menyembur minyak putih dengan kadar 0.1% b.a. untuk mengawal masaalah koya. Jalankan cantasan pada pokok yang terlalu rimbun.

Tanaman ciku yang sihat di Muar, Johor.

2.  PENYAKIT TANAMAN CIKU

Tanaman ciku ini jarang diperkatakan mengenai penyakit yang serius. Bagaimana pun pemerhatian saya mendapati ia tetap diserang beberapa penyakit akibat pelbagai sebab. Antara jenis penyakit yang menyerang tanaman ini ialah seperti Penyakit Cendawan Angin, Jelaga Hitam dan juga Penyakit Puru. Penyakit Cendawan Angin disebabkan oleh sejenis kulat (Corticum salmonicolor) . Ia menyerang bahagian dahan, ranting dan bahagian batang berhampiran dengan dahan. Di peringkat awal, maisilium merah jambu kelihatan di celah-celah bahagian kulit, batang dan daun. Di peringkat serangan serius, penyakit ini akan melingkari keseluruhan batang atau dahan dan akhirnya mati. Cantas ranting, dahan kecil yang diserang. Sapukan dengan racun kupram pada batang atau dahan besar yang diserang di mana peringkat serangan kurang dari separuh lilitan. 


Penyakit Jelaga Hitam (Aithaloderma setosum) juga disebabkan oleh kulat lain dimana serangan berlaku disebabkan kehadiran manisan yang dikeluarkan oleh serangga jenis kutu daun, teritip dan koya. Serangan berlaku di permukaan daun, buah, ranting dan dahan. Kawal serangga yang mengeluarkan manisan. akhir sekali adalah penyalit dinamakan Penyakit Puru (dikaitkan dengan bakteria Agrobacterium sp.) Kaedah serangan adalah di bahagian dahan dan pucuk di mana tisu menjadi bengkak dan berpuru. Cantas bahagian yang diserang dan musnahkan. Penanaman ciku banyak diusahakan oleh penduduk kampong sebagai tanaman kelilng rumah dahulu dan belum banyak petani menanam ciku secara komersi. Wallahualam!.


Buah ciku baru dipetik dikebun di Masjid Tanah, Melaka.
POKOK RENDANG....TANAMAN CIKU....
BUAHNYA MANIS ... DIPERAM DAHULU...
3 VARIETI CIKU... PILIH MANA SATU...
HASILNYA BANYAK...DIPETIK SELALU...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Ladang Ciku Kg Air Limau, 
Masjid Tanah,
Melaka, Malaysia.
(27 Ramadan 1434H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...