KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, October 7, 2013

MANGGA - KAWALAN SERANGGA

Petani di seluruh dunia mengeluarkan kira-kira 36.5 metrik tan buah Mangga (Mangifera indica) pada tahun 2012 menurut tinjauan terkini daripada FAO Statistic yang saya rujuk. Nilai pengeluaran mangga pula adalah berjumlah USD 21.9 billion dengan negara India mendominasi pengeluaran mangga dunia berjumlah 15.2 juta metrik tan bernilai sebanyak USD 2.7 billion diikuti dengan negara China, Thailand, Indonesia dan Pakistan (Sila rujuk Jadual di bawah). Negara kita Malaysia tidak termasuk didalam 20 negara pengeluar mangga tetapi kita mencatitkan nilai impot yang bernilai jutaan ringgit setiap tahun terutama dari Thailand. Kebanyakan mangga yang dihasilkan di India adalah untuk pasaran produk segar, diproses dan dijadikan komoditi penting untuk beberapa negara pengeluar. Saya cuba menganalisa akan industri tanaman mangga ini dengan kawalan serangga perosak utama tanaman ini iaitu Lalat Buah. Teorinya negara India mungkin maju dalam kawalan serangga perosak ini yang menjadi masaalah kepada penanam buah mangga dan buah lain yang diserangnya. Artikel petang Sabtu ini saya dapat idea menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serangga perosak Lalat Buah dan kaitannya dengan industri tanaman mangga.  

Terdapat beberapa spesis Lalat Buah (Fruit Fly) tetapi di negara India spesis Bactocera dorsalis (Hendel) merupakan spesis yang paling sering menyerang tanaman mangga dinegara tersebut. Lain pula ceritanya dengan sejenis lalat buah mangga yang memberikan kelebihan kepada peminat mangga iaitu lalat buah (Anastrepha spp). Serangan lalat buah mampu menyebabkan kualiti buah rosak sehingga tidak boleh dimakan atau pun dipasarkan (Lihat foto sebelah). Saya sering juga jumpa buah mangga yang rosak ditebuk lalat buah terutama jenis buah mangga tradisional seperti Bacang, Kuini dan Pauh yang jarang dibuat sebarang apa-apa kawalan. Kini beberapa pakar Entomologi (kaji serangga) Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS) Amerika Syarikat (AS) David A. Jenkins menemui penyelesaian berteknologi rendah dan murah bagi mengurangkan perebakan lalat buah pada mangga. Jenkins bertugas di Stesen Penyelidikan Pertanian Tropika di Mayaguez, Puerto Rico. Di sana, pokok mangga banyak ditanam dan buah masak bertaburan di bawah pokok dan dibiarkan tanpa seliaan. Ini memberikan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan lalat buah.


Dalam kajian yang dijalankan, Jenkins dan kumpulan penyelidiknya mengutip mangga yang gugur dan membahagikannya kepada empat kumpulan. Kumpulan pertama dibiarkan di kawasan teduh sama ada di bawah pokok, kumpulan kedua disimpan di dalam rumah. Kumpulan ketiga diletakkan di bawah cahaya matahari dan yang keempat dimasukkan di dalam beg plastik hitam dan diletakkan di bawah cahaya matahari. Penyelidik merekodkan suhu persekitaran dan suhu dalam buah mangga beberapa kali sehari. Pada cuaca cerah, mangga yang diletakkan pada cahaya matahari menunjukkan peningkatan suhu dalaman dari 52 darjah Celcius (C) ke 58 darjah C. Buah mangga yang diletakkan di dalam rumah menunjukkan peningkatan 25 darjah C dan mangga di tempat teduh 37 darjah C. Selepas tiga hari, mangga yang diletakkan di luar dipantau kemunculan larva dan pupa. Jenkins mendapati mangga yang diletakkan di dalam rumah menghasilkan lebih banyak larva berbanding mangga yang terdedah kepada cahaya matahari.

Di kawasan di mana mangga tidak ditanam secara komersial, buah yang gugur akan dibiarkan tanpa seliaan selama beberapa hari sebelum dikutip dan kawasan yang redup dan dingin di bawah pokok untuk memberikan persekitaran yang sesuai bagi perkembangan lalat buah. Maka cara mudah mengawal lalat buah ini ialah dengan mengumpul dan membuang buah yang gugur di kawasan kebun. Ia akan membantu mengurangkan peluang pembiakan dan perkembangan lalat buah. Kaedah ini kurang sesuai jika kawasan penanaman mangga adalah tidak meluas dan hanya sedikit sahaja buah yang dihasilkan. Sebaiknya buah yang diasingkan tersebut disembur dengan racun serangga yang sesuai bagi menghalang kadar pembiakan lalat buah. Kawalan perosak bersepadu (IPM) bagi lalat buah merangkumi pendekatan diantara amalan agronomi, biologi, mekanikal dan juga gabungan dengan semburan racun serangga. Ini adalah sekadar paparan mengenai hasil pemerhatian untuk dijadikann bacaan. Wasallam!

Buah mangga MA224 dikebun saya dahulu di Jasin.

LALAT BUAH ...SERANG MANGGA...
PERLU DIKAWAL..DENGAN SEGERA...
PASANG PERANGKAP...SATU CARA...
KAJIAN DIATAS... SATU USAHA...

By,
M Anem
senior Agronomist
Projek Mangga Kg Tehel,
Jasin, Melaka,
Malaysia
(26 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...