KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 31, 2013

IKAN BILIS MATA BIRU

IKAN BILIS MATA BIRU merupakan satu jenama yang sangat popular bagi pelancong atau pengunjung yang berkunjung ke Pulau Pangkor, Manjung dan Bandar Lumut, Perak untuk membeli ikan bilis. Ikan bilis mata biru (foto diatas) atau ada yang kata 'ikan bilis mata hijau' ini dijual dibanyak lokasi yang menjual produk hasilan laut di kawasan pelancongan ini. Apa agaknya yang istimewa mengenai ikan bilis mata biru ini yang berharga sangat mahal?. Menurut beberapa penjual yang saya ditemubual, mereka menyatakan ikan bilis jenis ini merupakan produk tempatan dari Pulau Pangkor dan tidak terdapat ditempat lain. Ikan bilis ini adalah rangup, tidak masin dan tidak liat seperti ikan bilis yang lain. Ikan bilis mata biru juga tahan disimpan didalam peti sejuk selama lebih sebulan tanpa mengurangkan kualitinya. Harga yang ditawarkan berbeza-beza mengikut saiz, kesegarannya selain daripada kualiti. Harga runcit paling murah adalah sekitar RM20.00 sekliogram (Ikan bilis agak lama) dan lazimnya harga runcit ditawarkan diantara RM 35.000 hingga RM70.00 sekilogram. Memang mahal harga ikan bilis ini yang mana ia lazimnya dibeli oleh pelancong yang banyak duit serta 'enjoy' akan kualitinya. Saya sering membeli ikan bilis mata biru setiap kali berkunjung ke Lumut dengan belian sebanyak 1 - 2 kilogram. Ikan bilis ini enak digoreng begitu sahaja untuk dimakan dengan nasi lemak (tidak masin) atau dibuat sambal atau sebagai ramuan utama untuk buat nasi goreng kampong (Jenis yang kecil sedikit). Artikel lepas maghrib ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" berkaitan jenama popular di Pangkor iaitu Ikan bilis mata biru yang kini semakin popular sebagai ikon kawasan tersebut untuk bacaan anda. 


LAPORAN AKHBAR  1 :
Ikan bilis mata biru - Istimewa




MANJUNG: Ikan bilis mata biru gred A dan paling bermutu di Asia Tenggara akan dijadikan daya tarikan baru kepada pelancong dalam dan luar negara yang mengunjungi Perak. Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, pihaknya akan menjadikan ikan bilis jenis ini yang hanya boleh ditemui di Pulau Pangkor sebagai ikon baru. "Selain terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, kita mahu pelancong mengenali Pulau Pangkor sebagai satu tempat pengeluar ikan bilis terbesar di Malaysia. "Sarawak terkenal dengan kek lapis dan keropok masin, selepas ini kita juga mahu jika pelancong yang datang ke Pulau Pangkor membawa pulang ikan bilis jenis ini. "Oleh itu, saya berharap pengusaha dapat membuka ruang kepada pelancong untuk melihat secara dekat pemprosesan ikan bilis ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Bilis Pangkor di Dataran Hadhari, Teluk Batik, di sini, hari ini.


LAPORAN AKHBAR  2 :
Ikan bilis kering


LUMUT, 11 OKT - Berhadapan Terminal Jeti Lumut terdapat bazar yang menjual pelbagai produk hasil laut dan cenderamata yang melambangkan signatur Pulau Pangkor. Bagi yang sudah menghabiskan detik percutian mendamaikan di pulau, lokasi bazar itu wajib dikunjungi sebagai pelangkap sebelum bertolak pulang ke destinasi seterusnya. Antara bazar yang menjadi tarikan pelancong untuk mendapatkan ikan bilis, ikan masin, sate ikan dan sotong serta pelbagai lagi snek berasaskan hasil laut ialah Waterfront Promenede, Bazar Lumut, Bazar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pusat Kraf Lumut. Setiap pengusaha kedai dan gerai di tapak bazar berkenaan berlumba-lumba menunjukkan barangan jualan mereka yang boleh dikatakan antara yang terbaik di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia. Pemilik premis D’Haliza yang telah berniaga hasil laut selama 12 tahun di pekan tersebut, Noorhaliza Daud, 34, memberitahu, produk istimewa yang dijual oleh puluhan premis di Lumut ialah ikan bilis mata biruMenurutnya, ikan bilis tersebut tidak terdapat di tempat lain di Malaysia dan ia hanya boleh didapati di perairan Pulau Pangkor. “Pada harga RM4.50 untuk 100 gram, ikan bilis ini sering menjadi perhatian pelancong. Rasanya lebih garing dan lebih enak jika dicampurkan dalam sebarang jenis masakan. “Permintaan terhadap hasil laut ini meningkat terutamanya menjelang musim cuti persekolahan. Pekan ini juga mula bertukar wajah apabila musim cuti, menjadikannya lebih sibuk,” ujar pemilik premis itu yang terletak di Jalan Pegawai, berdekatan dengan jeti. Dengan hanya berjalan kaki, pelancong yang singgah di Lumut tersebut tidak perlu risau mengenai cara untuk meneroka sekitar bandar tersebut.


LAPORAN AKHBAR  3 :
Legasi perusahaan mentua
Oleh LAUPA JUNUS
Beh Wong King menyelia kerja-kera menjemur ikan bilis di Pulau Pangkor.

Jika ramai mengatakan bandar Tawau di Sabah sinonim dengan ikan bilis kerana kepelbagaian saiz dan jenisnya, di Semenanjung Malaysia, Pulau Pangkor juga tidak kurang hebatnya. Malah ada yang menganggap ikan bilis di pulau itu terbaik di Asia Tenggara. Sejauh mana kebenarannya tidaklah dapat dibuktikan. Tetapi apabila berkongsi pengalaman seorang tauke ikan bilis di pulau tersebut baru-baru ini, dia ada sebab untuk berkata demikian. Tauke ikan bilis yang dimaksudkan itu merupakan sebahagian kecil daripada penduduk Pulau Pangkor, Perak yang menikmati limpahan ekonomi hasil daripada kekayaan perairan pulau berkenaan. Meskipun sekadar menyambung tradisi perniagaan keluarga yang diusahakan sejak lebih lima dekad lepas, Beh Wong King , 47, tetap bersyukur kerana projek ikan bilis kering itu kini telah mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan. Malah, dia bukan sahaja dikenali sebagai pembekal ikan bilis terbesar di pulau berkenaan tetapi juga pengeluar ikan bilis kering terbaik di Asia Tenggara. "Ini warisan perusahaan ibu dan bapa mentua saya yang datang dari China. Mereka memulakan perniagaan ini dengan tangan kosong," katanya pada satu pertemuan di Pulau Pangkor baru- baru ini. Perniagaan ikan bilis itu dimulakan pada 1950-an, di tapak asal sekarang di pekan Pangkor. Ketika itu bapa mertuanya bekerja sebagai buruh kasar dan hasil daripada itu, mereka menyimpan wang dan jimat berbelanja. Daripada berjimat-cermat itu mereka mampu membeli bot kecil dan menangkap ikan bilis secara kecil-kecilan serta menghasilkan sendiri produk kering berasaskan ikan berkenaan.

Usaha tanpa jemu dan dalam serba kekurangan, mereka berjaya membangunkan perusahaan keluarga secara perlahan-lahan. Bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah, kejayaan singkat dan paling manis yang dikecapi hanya sementara. Perusahaan tersebut tanpa disangka-sangka menghadapi masalah dan gagal dimajukan sehingga hampir bankrap. Antara masalahnya ialah susahnya mendapat bekalan mentah. Namun menurut Wong King, hasil kesabaran dan ketekunan, ia bukan sahaja dapat dipulihkan malah semakin maju. Dia dan suaminya berkahwin pada 1987. Mereka mengambil alih perniagaan tersebut daripada mertuanya pada 2001. Dengan 60 pekerja iaitu masing-masing 20 orang bertugas di setiap bot, 10 orang lagi untuk kerja-kerja mengurus ikan bilis di darat dan 10 lagi untuk menggredkan produk, perusahan mereka mampu menghasilkan minimum 10 tan ikan bilis kering sebulan. Ikan bilis berkenaan sangat istimewa kerana ia rangup, tanpa pengawet dan tidak terlalu masin. Dengan kualiti yang baik, ikan bilis tahan disimpan selama sebulan dalam peti sejuk. Harganya bergantung kepada saiz iaitu lebih besar lebih murah dan begitulah sebaliknya. "Ikan bilis paling mahal ialah jenis mata biru," ujarnya sambil memberitahu bahawa harga ikan bilis kering adalah antara RM12 sekilogram dengan RM70 sekilogram.

IKAN BILIS ... BERMATA BIRU....
PULAU PANGKOR... ASALMU...
HARGA MAHAL... IA DIBURU...
PELANCONG BELI.. ELAK DITIPU...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Room 202, Ritz Garden Hotel,
Jalan Lumut, Manjung,
Perak, Malaysia.
(22 Zulkaedah 1434H)






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...