KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, October 9, 2013

LALAT vs KELULUT DAN LEBAH

PROSES PENDEBUNGAAN BUNGA buah-buahan tempatan lazimnya berlaku secara semulajadi sama ada oleh agen pendebunga, angin, semut, lebah dan sebagainya. Kini banyak antara kita telah memperkatakan mengenai beberapa agen pendebungaan yang mampu meningkatkan kejayaan proses pendebungaan buah-buahan tempatan dan tumbuhan lain dikeliling kita. Pengenalan teknologi agen pendebungaan seperti Lebah madu, Kelulut dan Lalat hijau (Langau) telah dipromosikan didalam teknologi penanaman mangga dan belimbing dinegara ini. Persoalan yang sering saya fikir adalah yang mana diantara agen pendebungaan tersebut adalah lebih efektif atau lebih lebih berkesan serta lebih ekonomik untuk digunakan dalam ladang belimbing atau ladang mangga?. Belum banyak laporan atau kajian yang dapat kita rujuk setakat ini yang membincangkan persoalan tersebut. Kesemuanya teknologi ini merupakan satu 'Teknologi Hijau" yang mesra alam dan ianya mengurangkan penggunaan bahan kimia didalam ladang buah-buahan kita yang mana ini adalah baik untuk ekosistem. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai isu penggunaan lalat hijau atau lebah atau kelulut yang mana lebih berkesan dan sesuai untuk digunakan didalam kawasan kebun mangga bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda. Laporan ini setelah saya berbincang dengan pakar-pakar dalam bidang tersebut iaitu Dr Norowi dan Dr Soemargono baru-baru ini.


Tanaman belimbing, mangga, betik, rambutan, longan, pulasan, rambai, pisang, jambu batu, jambu air dan lain-lain diketahui semenjak dulu menghasilkan bunga dan buah secara proses pendebungaan semulajadi. Pengenalan kepada serangga lebah madu dan kelulut kini telah dikenalpasti sebagai agen pendebungaan yang agak signifikan untuk proses pendebungaan beberpa jenis buah-buahan. Bagaimana pun pemilik kebun perlu mempunyai kemahiran untuk menguruskan kedua-dua perkara tersebut iaitu menguruskan amalan agronomi tanaman dan  juga pengurusan koloni lebah atau kelulut. Pengurusan ternakan lebah dan kelulut memerlukan pengetahuan yang krtikal untuk mempastikan ia mampu hidup dikawasan kebun. Belum banyak laporan kajian yang dijalankan mengenai perkara ini di Malaysia walau pun telah ada laporan kajian oleh pihak MARDI, Swasta dan beberapa testimoni pengusaha. Teknologi ini juga masih belum dimenafaatkan sepenohnya kerana sokongan data dan spesis lebah atau kelulut masih belum diwar-warkan dengan lengkap kepada petani dan pegawai pengembangan. Saya berharap maklumat seperti ini akan terus dikembangkan pada masa akan datang dengan komitment dari semua pihak. 


Lalat Hijau / Langau (Lucilla spp atau Phaerenicia spp) atau dalam bahasa Inggeris 'Green bottle fly' merupakan serangga jenis lalat yang amat suka hinggap pada bunga mangga dialam kawasan ladang. Beberapa petani mangga varieti Harumanis di Perlis dan mangga cokanan di Melaka telah membuat kaedah ini dengan jayanya. Kini ia telah dikenalpasti sebagai agen pendebungaan yang popular dikalangan penanam mangga dimana mereka akan meletakkan ikan busuk, daging busuk dalam bekas yang digantung pada pokok mangga bagi menarik lalat hijau atau langau ini datang. Lalat hijau ini akan datang dan membiak diatas ikan busuk dan ia juga akan menghampiri bunga mangga untuk mengambil nektar. Bagaimana pun lalat hijau ini lazimnya akan hinggap pada bunga mangga tidak lama seperti serangga kelulut atau lebah madu. Walau lalat hijau ini terbang dengan pantas dan akan hinggap pada bunga mangga, ia dipercayai mampu untuk membantu dengan signifikan proses pendebungaan mangga. Lalat ini juga kadang-kadang akan masuk dalam rumah sebagai 'tetamu tidak diundang' jika populasinya banyak dan hinggap diatas makanan atau baju atau dimana jua dikawasan rumah. Keadaan ini juga kadang-kadang kurang disenangi oleh tuan rumah apa lagi jika ada tetamu yang datang kerumah. Lalat hijau ini juga memang suka hinggap pada najis dan bangkai yang terdedah. Ini berkemungkinan boleh menjadi agen penyebaran kuman yang boleh menjejaskan kesihatan kita. Walau pun kini belum ada kajian khusus mengenai perkara ini, ianya perlu diteliti dengan lebih saintifik akan agen pendebunga lalat hijau ini.


Berbanding dengan Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Kelulut (Trigona spp), seragga ini lebih mesra alam jika dipelihara dalam kawasan dusun buah-buahan seperti dusun mangga. Perlu disediakan haif untuk lebah atau kelulut dengan rekabentuk yang sesuai bersama koloni yang terpilih. Dapatkan koloni lebah atau kelulut yang dikenalpasti mampau menjalankan tugasnya untuk membuat pendebungaan bunga mangga. Penting bagi petani untuk merancang jadual meracun didalam kebun dengan menutup koloni agar tidak terdedah kepada program menyembur racun. Pemerhatian saya mendapati kita kena pastikan juga memberikan makanan tambahan kepada lebah dan kelulut semasa menutup haif lebah. Kelebihan menternak lebah madu dan kelulut sebagai agen pedebungaan ini adalah kerana ia dianggap serangga yang 'bersih dan suci' berbanding dengan lalat hijau yang dianggap sebagai 'serangga pengotor'. Lebah madu dan kelulut juga mampu menghasilkan madu lebah, propolis, debunga dan produk-produk lain seperti lilin, royal jelly dan sebagainya. Oleh itu bergantung kepada penerimaan petani, kedua-dua teknik penggunaan agen pendebungaan boleh dijalankan dikawasan tanaman mangga. Kesesuaian serangga pendebunga tersebut juga sangat berkait dengan keadaan persekitaran kabun dan kemahiran pengurusan oleh petani sendiri. Wasallam!

Bunga mangga yang perlu didebungakan.
LALAT HIJAU... AGEN PENDEBUNGA...
LEBAH DAN KELULUT... SAMA JUGA...
MANA HANDAK PILIH....UNTUK DIGUNA...
BACA ARTIKEL... MENDAPAT IDEA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Mangga Tobiar,
Pendang, Kedah,
Malaysia.
(28 Zulkaedah 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...