KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, October 14, 2013

CILI - Perosak Cili

CILI (Capsicum annuum) merupakan sejenis tanaman yang popular ditanam di negara kita . Cili adalah sejenis tanaman dari keluarga Solanaceae yang merupakan sayur jenis berbuah popular dan luas penanamannya di Malaysia setiap tahun. Seluas lebih dari 2,850 hektar cili ditanam setiap tahun dinegara kita dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,600 mt yang bernilai sekitar RM 206.6 juta. Cili adalah jenis tanaman sayur tanah rendah yang ditanam secara komersil monokrop terutama di Johor, Perak, Selangor dan Pahang. Terdapat beberapa varieti cili yang popular ditanam oleh petani dimana ia sesuai untuk pasaran segar. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi, tahan lama disimpan, pedas, tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga perosak. Penanaman cili merupakan antara komoditi yang paling berisiko tetapi ia juga adalah komoditi yang paling menguntungkan jika penghasilan tinggi dan menerima harga pasaran yang baik. Harga cili diladang serendah RM 2.50 sekilogram boleh mencecah kepada RM 18.00 dipasaran runcit terutama semasa musim tengkujuh sekitar bulan November sehingga Januari setiap tahun. Artikel pada Subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai lima (5) jenis perosak dan serangga perosak tanaman cili yang sering dijumpai di negara kita untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


1) KUTU DAUN
Kutu daun (Aphis spp) merupakan sejenis serangga perosak yang amat tidak disukai oleh penanam cili. Kutu daun yang sangat kecil (Lihat foto sebelah). Kutu aphis ini menyerang bahagian daun, bunga dan buah cili dengan menghisap cairan pada tisu tanaman cili yang akan menyebabkan daun menjadi kerekot, bunga akan gugur dan buah akan terbantut. Jika keadaan cuaca agak kering dan panas, kutu daun ini cepat membiak (taburan hujan kurang dari 100 mm sebulan) dan kurang dibuat cantasan. Kutu daun perlu dikawal dengan menggunakan bahan kimia yang mengandungi bahan aktif chlorphyrifos atau imidachlorpid yang disembur setiap 7 - 10 hari selepas anak benih ditanam diladang. Serangga ini juga dipercayai pembawa kepada virus TMV yang menyebabkan penyakit kerinting pada dun cili. Amalan yang perlu dijalankan oleh petani adalah menyembur pokok cili dengan paramethrin atau cypermethrin kira-kira 2.5 bulan selepas ditanam. Jika serangan virus melebihi 20% dikenalpasti, semburan mesti dilakukan mengikut kadar pada label. 


2) HAMAMA MERAH
Hamama Merah (Tetranychus spp) merupakan sejenis perosak cili yang menyerang bahagian daun dan bunga (Lihat foto disebelah). Peringkat pokok yang diserang lazimnya adalah peringkat pokok matang. Serangga kecil ini juga menghisap air sap atau cairan pada sel terlibat yang menyebabkan daun akan berkerekot, bunga akan gugur dan pokok cili akan terbantut. Serangan lebih kerap berlaku pada cuaca agak panas kering dan juga lembab serta pokok yang kurang dibuat kawalan. Daripada pemerhatian saya dapati, kaedah kawalan hamama merah yang disyorkan adalah dengan menyembur racun serangga seperti armitraz, dicofol, malathion dan prothiophos dengan kadar seperti pada label.


3) KUTU THRIPS
KUTU THIRIPS (Selenothrips rubrocinctus atau Haplothrips pictipes) merupakan sejenis perosak cili yang amat perlukan perhatian petani di Malaysia. serangga yang amat kecil ini merupakan serangga dari Order Thysanoptera dan keluarga Thripidae yang amat kecil dan mampu merosakan bahagian daun dan bunga cili. Serangan menyebabkan daun dan bunga cili akan gugur. Ramai diantara kita mungkin tiak pernah nampak thirps ini kerana saiznya yang sangat halus sekitar 1 mm (milimeter) dan ianya merupakan serangga yang tidak boleh terbang. Laporan daripada beberapa sumber rujukkan mendapati serangga Thrips ini mempunyai lebih 5,000 spesis yang menyedut cairan dalam tumbuhan atau haiwan dengan menyucuk (puncturing) dan seterusnya merosakan sel tisu dan akan berlaku serangan oleh patogen lain seperti kulat dan sebagainya. Bagaimana pun terdapat sedikit spesis thrips yang berfaedah kerana ianya makan serangga perosak tanaman yang lain seperti kutu daun, kumbang dan sebagainya. Serangga ini bergerak perlahan dan ianya boleh diterbangkan oleh tiupan angin daripada satu pokok kepokok yang lain jika cuaca dang angin sesuai. Amalan yang perlu dijalankan oleh petani adalah menyembur pokok cili dengan paramethrin atau cypermethrin kira-kira 2.5 bulan selepas ditanam. Jika serangan virus melebihi 20% dikenalpasti, semburan mesti dilakukan mengikut kadar pada label 


4) ULAT PENGOREK BUAH
Ulat ini adalah jenis Heliothis armigera yang mana kupu-kupu dewasa akan bertelur pada buah cili yang hampir matang. Larvanya akan makan bahagian daun dan juga mengorek buah cili menyebabkan ia akan berlubang-lubang (Lihat foto ulat pengorek buah cili disebelah). Akibatnya cili akan rosak dan tidak sesuai untuk dijual dipasaran. Petani mesti sentiasa membuat pemeriksaan dikebun dan jika didapati kadar serangan melebihi 5% maka kawalan perlu dijalankan. Lazimnya semburan racun kimia seperti chlorphyrifos boleh digunakan dengan kadar semburan seperti pada label. 

5) LALAT BUAH
Lalat Buah (Bactocera spp) merupakan serangga perosak kepada banyak jenis buah-buahan dan juga cili dinegara kita.
Terdapat beberapa spesis lalat buah yang dikenalpasti menyerang pokokk mangga iaitu Bactocera papayae, B. carambolae, B. umbrosus dan B. cucurbitae. Serangga seperti lalat ini adalah daripada keluarga Tephritidae dalam order Diptera. Lalat buah akan menyerang bahagian buah cili yang hampir matang dengan kerosakkan seperti ada lorong-lorong kecil pada nuah cili. Akibatnya buah akan menjadi busuk dan akhirnya cili akan gugur. Lalat buah dewasa lazimnya menyerang apabila buah hampir matang. Kawalan dijalankan dengan manjalankan semburan dengan racun chloriphyrifos apabila pokok hampir berbuah dengan kadar pnggunaan seperti pada label. Penggunaan 'protein bait' dan perangkap menggunakan 'methyl eugenol' boleh membantu dalam mengurangan serangan lalat buah. 
Diharap artikel ini memberi ilmu tambahan kepada anda.

Memeriksa cili di projek TKPM Johor.
PEROSAK CILI... ADA 5 SEMUANYA...
ADA YANG KECIL... HISAP CAIRANNYA...
YANG TERBANG... PERLU KAWALNYA...
POKOK SIHAT ... CILI BAIK KUALITINYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(8 Dzulhijjah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...