Support My Blog

Thursday, August 1, 2013

TERUBUK MASIN

IKAN TERUBUK MASIN (Salted Terubuk Fish) merupakan satu identiti produk di Sarawak yang sangat popular semenjak berpuluh tahun dahulu selain daripada produk Kek Lapis Sarawak. Ikan Terubuk (Tenualosa toli) yang asli di Negeri Sarawak dilaporkan terdapat di Kawasan Sungai Sebuyau dan Sebangan serta beberapa sungai lain seperti di Batang Lupar di Sarawak. Manakala di Semenanjung Malaysia pula ikan ini didapati disekitar Sungai Perak, Sungai Pahang dan beberapa sungai lain walau pun bilangannya agak sedikit. Saya telah pun merujuk kepada laporan Jabatan Perikanan dimana terdapat 3 jenis ikan terubuk yang lazim ditangkap untuk dimakan iaitu Jenis Ikan Terubuk Tenualosa toli, Tenualosa macrura dan jenis Hirsa kalee. Ketiga-tiga jenis ikan ini adalah dari keluarga Clupeidae yang terdapat diperairan air pada kawasan iklim panas di tropika dimana amat suka pada jenis air payau. Ikan terubuk ini unik kerana ia mempunyai kitaran hidup dua peringkat iaitu pada tahun pertama ia adalah IKAN JANTAN manakala pada tahun berikutnya ia akan menjadi IKAN BETINA. Jangkahayat ikan terubuk lazimnya selama 18 bulan sahaja. Itulah sebabnya hampir semua ikan terubuk dewasa mempunyai telur yang banyak. Artikel petang Ahad ini sambil menunggu anak pulang dari Kuching di LCCT Sepang, saya menulis dalam 'Anim Agro Technology"  mengenai ikan terubuk masin berdasarkan pengalaman (Tinggal di Kuching selama 2.5 tahun) serta dari pembacaan serta hasil temubual dengan penjual ikan tersebut untuk dikongsi bersama anda.


Ikan terubuk tempatan didapati semakin pupus sama ada di Malaysia atau Indonesia akibat aktiviti penangkapan yang tidak dikawal. Selain daripada isi daging ikan yang amat digemari oleh ramai penduduk tempatan, telur ikan terubuk amat diminati walau pun harganya amat tinggi dipasaran tempatan. Akibatnya kadar pembiakan ikan terubuk terjejas teruk kerana kadar pembiakan menurun. Ikan terubuk hanya membiak didalam keadaan liar semulajadi dan sehingga kini belum ujud teknologi untuk pembiakan ikan terubuk komersil yang berjaya seperti kaedah pembiakan ikan lain. Telur Ikan terubuk (Lihat foto sebelah) dijual runcit dengan harga antara RM 250 hingga mencecah RM 400 sekilogram. Bagaimana pun kebanyakan telur ikan terubuk yang dijual di Pasar Satok di Kuching diimpot daripada Myanmar, India atau pun Thailand. Telur terubuk ini lazimnya digoreng garing dan memang amat sedap sekali dimakan ketika masih panas. 



Ikan Terubuk Masin merupakan produk popular dari Sarawak terutama kepada pelancong dan pengunjung di Pasar Satok, Kuching sebagai 'buah tangan'. Kalau dahulu ikan terubuk dari bekalan tempatan tetapi kini kebanyakannya adalah diimpot dari Myanmar, Thailand atau India yang mempunyai isi yang tebal (Lihat foto sebelah). Ikan terubuk sejuk beku yang mempunyai sisik akan dibersihkan dahulu dan dipotong di bahagian tengahnya sebelum diletakkan garam halus sehingga rata. Ikan tersebut kemudian di letakkan diatas para jualan dengan harga ditawarkan mengikut saiz dan kesegaran ikan tersebut. Ada yang djual runcit dengan harga RM 5.00 seekor sehingga saiz besar lebih dari RM 14.00 seekor. Saya lebih suka yang besar kerana ia mempunyai isi daging yang tebal dan memang ada kepuasan apabila ia dimakan. Bagi mereka yang membeli ikan terubuk akan dibungkus dengan kertas suratkhabar sebelum dibalut plastik dan diikat kuat untuk dibawa dalam kapalterbang.


Lazimnya Ikan Terubuk Masin dimakan dengan nasi putih setelah siap ianya digoreng. Ikan yang baru dibeli perlu direndam dalam air bersih selama 10 - 15 minit untuk kita dapat mengeluarkan garam yang berlebihan pada daging dan kulit ikan. Jika garam ini tidak dibuang daging ikan amat terasa masin dan ini menghilangkan keenakannya selain daripada tidak baik untuk kesihatan. Potong ikan terubuk tersebut mengikut saiz sesuai dengan menggunakan pisau yang tajam. Bergantung kepada citarasa, anda boleh terus menggoreng begitu sahaja dalam minyak masak dikuali yang panas atau pun boleh disalut dengan tepung dahulu. Pastikan kita menggoreng sehingga sederhana masak dan elakkan terlalu masak kerana ia menghilang rasa kelazatan. Angkat dan toskan ikan tersebut dan hidangkan bersama nasi, limau dan juga cili api. Saya memang suka makan ikan terubuk masin semasa dari tinggal di Sarawak dahulu sehingga kini. Wasallam!



IKAN TERUBUK... MASIN JADINYA...
ASAL TEMPATAN... ADA DIMANA...
PASAR SATOK... TEMPAT JUALANNYA...
IKAN MASIN... APA RESEPI MASAKNYA...
ADA MURAH... TENGOK KUALITINYA...
MEMANG SEDAP... KALAU PERCUMA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
LCCT Sepang,
Selangor,
Malaysia
(27 Syaaban 1434H)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...