KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, August 28, 2013

POKOK KABUNG

POKOK KABONG (Arenga pinnata) merupakan tumbuhan dari keluarga Arecaceae yang terdapat di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang boleh menghasilkan manisan. Pokok ini juga dipanggil sebagai Sugar Palm, Arenga Palm, Areng palm, Black-fiber palm, Gomuti Palm, Pokok Aren, Pokok Enau, Irok dan Pokok Kaong (Sila lihat pokok dan buah kabung diatas). Saya mengenali pokok kabong atau dikampong saya yang hanya dipanggil Pokok Enau dimana ia amat ditakuti kerana menghasilkan cecair yang gatal apabila terkena pada kulit kita. Dalam peribahasa Melayu terdapat ungkapan iaitu "Seperti Enau Dalam Belukar, Melepaskan Pucuk Masing-masing" bermaksud seseorang yang ingin menduduki tempat teratas dengan memijak rakan-rakan yang lain iaitu sifat negatif yang kita harus elakkan. Pokok Arecaceae (Dulu ia dipanggil keluarga Palmae) ini boleh menghasilkan air nira (Cecair Manisan) seperti juga tumbuhan yang sama dalam kumpulannya iaitu Nipah, Kelapa dan sebagainya. Lazimnya tumbuhan ini tumbuh liar semulajadii dikawasan yang agak lembab dan ianya berumpun. Dalam membuat beberapa rujukkan, saya mendapati Pokok Kabung adalah satu spesis tumbuhan dalam famili Arecaceae yang berasal dari Asia Tenggara dimana ia juga telah ada di Australia Utara dan juga India Timur. Selain air nira, pokok kabong akan  menghasilkan buah kabong yang diproses untuk dijadikan isi buah kabong yang sangat popular untuk dijadikan ramuan dalam minuman. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok kabong dan kegunaannya untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan saintifik berdasarkan pengalaman, pemerhatian, temubual dengan pengusaha halwa kabong dan rujukan yang penulis buat dari banyak sumber.


Pokok Kabung ialah sejenis pokok palma yang mempunyai daun bagaikan 'Bulu burung'. jika dilihat dari kejauhan (Lihat foto sebelah). Ini disebabkan susunan daunnya yang melempai kebawah dari pelepah daun dengan kelihatan meurun seperti bulu burung merak atau burung kawasari. Batang pokok Kabong seperti pokok Arecaceae lain adalah berdiri kukuh dimana ia mempunyai pelepah pada pangkal setiap daun. Pelepah ini mempunyai serat hitam yang boleh juga digunakan untuk membuat penyapu dan tali. Bunga Pokok Kabung tumbuh berumpun-rumpun atau dalam jambak dengan bunga jantan dan bunga betina terdapat dalam rumpun yang berasingan. Tangkai bunga jantan Pokok Kabung apabila dipotong dan dikutip air niranya boleh diproses untuk menghasilkan tuak, todi dan sebagainya serta boleh diproses untuk dijadikan cuka atau gula. Ia sama juga dengan kaedah pemungutan air nira pada pokok nibong, pokok kelapa yang lebih dikenali ramai.


Apa yang saya perhatikan, buah Pokok Kabung dihasilkan dari pokok matang dengan buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan buah kabong mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Kiraan yang saya buat mendapati setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah kabung. Buah kabong mempunyai kulit berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal (Lihat foto sebelah). Buah berbentuk bulat bersegi ini seakan bulat mempunyai saiz ukurlilit berbeza sekitar 8 - 15 cm garispusat bergantung kepada umur pokok dan kesuburan pokok.Bentuknya seakan buah pinang. Kaedah memetik tandan buah kabung dengan cara ia perlu dikait dengan pengait mengikut ketinggian pokok diantara 15 - 30 kaki tinggi atau ada yang terus panjat pokok. Pokoknya ada rerambut seperti pada Pokok Kelapa tetapi ia adalah lebih banyak, tebal, berwarna hitam dan agak menakutkan. Buah kabung dileraikan (dipisahkan) dari tangkainya selepas dipotong tandan untuk proses selanjutnya. 


Saya difahamkan oleh beberapa pengusaha buah kabong menyatakan buah kabung segar perlu direbus dalam tin minyak tanah yang telah dibersihkan sebagai langkah awal memprosesnya. Setelah ia telah 1 - 2 jam ditebus, maka buah tadi dibelah dua atau tiga. apa yang diperhatikan lazimnya ada tiga isi dalam setiap buah kabung bersaiz besar. Kulit buah kabong adalah agak keras untuk dibelah bagi mendapatkan bijinya. Isi kabung direbus lagi untuk dijadikan agar-agar yang mempunyai tekstur kenyal atau dikatakan rasa liat. Isi ini berwarna putih jernih berbentuk lonjong bulat berukuran 2-3 cm panjang dan 1-1.5 cm lebar. Biji yang sperti agar-agar itu kemudian dimasak dengan air gula selama beberapa jam sehingga agak lembut sebelum digunakan sebagai buah kabong. Dalam memberi nilai tambah, isi buah kabong ini akan dimasukkan dalam air gula berwarna warni sebelum dibungkus dan dijual dipasaran. 


Isi buah kabung kekadang disebut sebagai buah enau dimana ia paling banyak dijual pada bulan Ramadan bagi tujuan berbuka puasa. Isi kabong ini juga sering dihidangkan sebagai hidangan istimewa semasa Hari Raya Aidilfitri sebagai salah satu daripada hidangan yang sangat popular dicelah-celah pelbagai kueh raya diatas meja. Isi buah kabong ini yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan. Isi Kabung merupakan buah atap yang lut cahaya dan yang merupakan salah satu bahan ais kacang dan minuman Lai Ccee Kang serta 'Cocktail'. Selain buahnya, pokok kabung juga diambil niranya untuk menghasilkan gula kabung/enau. Kegunaan utama gula kabung adalah sebagai bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman. Di antara makanan yang popular dengan campuran gula kabung/enau adalah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur, cendol dan ada juga yang menjadikan gula enau sebagai bahan masakan untuk rendang dan kuah kacang.


Saya belum jumpa petani atau pengusaha yang menanam pokok kabong secara monokrop atau komersil. Lazimnya pengusaha buah kabong hanya mengutip buah kabung yang tumbuh sendiri secara semulajadi. Kalau ada yang ingin menanamnya boleh mangutip anak benih liar yang tumbuh disekeliling pokok kabung matang atau membuat semmaian sendiri. Jarak tanaman sesuai mungkin sekitar 6 m x 6 m dengan susunan 4 segi sama. Pokok kabung tidak banyak maklumat mengenai cara pembajaan, kawalan perosak dan penyakit serta maklumat pengurusan agronomi. Kalau dirujuk kepada keluarga Arecaceae, kemungkianan serangan penyakit dan perosak adalah mungkin hampir serupa. Maklumat mengenai kadar penghasilan buah sepokok dan jumlah nira yang boleh dikutip juga tidak banyak rujukan dan kajian dijalankan. Apa yang saya kaji mendapati harga isi buah kabong yang siap dobungkus sekitar RM3.00 - RM 6.00 sekilogram bergantung kepada kualiti dan lokasi jualan. Kemungkinannya sebahagian daripada buah kabong yang dijual di Malaysia adalah diimpot daripada negara Indonesia.  Wallahualam!.  Bersambung kepada cara proses dan khasiat buah kabong (Sila klik disini).\

POKOK KABONG... ENAU NAMANYA....
ARECACEAE... NAMA KELUARGANYA...
BUAH BERTANDAN... BANYAK BIJINYA...
PERLU DIREBUS...DIBELAH CARANYA...
ISINYA PUTIH... KENYAL AGAR RASANYA...
DICELUP GULA... DIMAKAN ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Bukit Senggeh, Jasin,
Melaka, Malaysia.
(21 Syawal 1434H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...