KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, August 18, 2013

MAHKOTA DEWA - LAPORAN AKHBAR

POKOK MAHKOTA DEWA (Phaleria macrocarpa) merupakan sejenis tumbuhan renek malar yang mudah tumbuh dinegara kita dan sangat popular kerana ia telah dikaitkan dengan tanaman untuk tujuan perubatan dimana didakwa berkhasiat iaitu sejenis tumbuhan dari keluarga Thymelaeaceae. Saya sudah lama mendengar pokok mahkota dewa ini dari beberapa rakan-rakan yang menanam serta informasi daripada Pengurus Ladang Taman Herba Negeri Perak di Gopeng, Perak lama dulu. Mereka katakan buah mahkota dewa merupakan buah yang banyak mengandungi khasiat dan membantu meningkatkan tahap kesihatan. Ada dakwaan dengan minum ekstrak air buah mahkota dewa akan menyebabkan kita akan sentiasa berasa kenyang dan kandungan gula dalam darah didapati menurun dengan baik dari pesakit diabetis. Dalam mengukuhkan dakwaan mengenai tumbuhan mahkota dewa inii, saya mencari beberapa laporan akhbar sebagai kes testimoni yang ada untuk kita membuat penilaian. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok mahkota dewa yang ada ditulis dalam laporan akhbar untuk dibaca dan dijadikan bahan rujukan kepada mereka yang berminat.

LAPORAN AKHBAR 1:
Perusahaan herba di rumah
Oleh SAFINA RAMLI


Romli Hussain menunjukkan tumbuhan herba Mahkota Dewa di ladang 
berdekatan kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kuang, Gurun. 
Beberapa jenis herba yang digunakan dalam penghasilan produk ubatan.

GURUN 19 Jan. 2010 - – Bermula dengan minat yang mendalam terhadap tumbuhan herba, seorang pesara guru kini menjadikan produk-produk herba sebagai pendapatan utama bagi keluarganya. Romli Hussain, 57, dari Kampung Bukit Kuang di sini begitu obses dengan herba dan di rumahnya sahaja ada lebih daripada 100 jenis herba pelbagai jenis yang kaya dengan pelbagai khasiat disimpan bagi tujuan perubatan. Tanyalah apa sahaja jenis tumbuhan herba dan khasiat yang tersembunyi di dalamnya kepada Romli, pasti ada penerangan diperoleh daripadanya mengenai tumbuhan tersebut. Antara tumbuhan herba yang ditanam dan disimpan di rumahnya ialah mahkota dewa, cekur, pokok tunjuk langit, pokok tutup bumi, kunyit putih, kunyit hitam, halia bara dan sebagainya. Romli memberitahu, minatnya terhadap tumbuhan herba telah wujud sejak berusia belasan tahun lagi. Tambahan pula katanya, neneknya adalah seorang bidan kampung dan oleh kerana sering melihat tumbuhan-tumbuhan herba digunakan membuatkan dia berminat untuk mengkomersialkan tumbuhan herba itu.

"“Saya bermula dengan menghasilkan produk-produk herba daripada pokok mahkota dewa dan kini saya mahu mempelbagaikan produk herba dengan tumbuhan-tumbuhan herba lain.  “Kini saya mahu fokus kepada penghasilan krim langsing yang diasaskan daripada cekur dan campuran ekstrak mahkota dewa",” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini. Menurut Romli, selain membeli tumbuhan-tumbuhan herba itu melalui seorang rakan di Kuala Lumpur, dia menanam tumbuhan seperti mahkota dewa, cekur dan sebagainya di kawasan rumah dan tapak semaian tumbuhan herba miliknya di kawasan Guar Chempedak, Kedah. Selain itu, katanya, dia berusaha menggalakkan penduduk kampung untuk menanam tumbuhan herba bagi menambahkan pendapatan keluarga.  “Pokok mahkota dewa ditanam oleh penduduk kampung di Pergi, Yan dan saya akan beli buahnya daripada mereka.

“Ada juga tumbuhan herba seperti pokok tunjuk langit dan pokok tutup bumi tumbuh secara meliar di kebun-kebun getah milik penduduk kampung dan saya akan beli pokok-pokok tersebut daripada mereka untuk meningkatkan ekonomi mereka,” katanya. Ujarnya, setelah memperoleh kesemua tumbuhan herba yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk herba, dia akan mengeringkan tumbuhan-tumbuhan tersebut terlebih dahulu sebelum dihantar ke Kedah Bio Resources Corporation Sdn. Bhd. (KBio Corp) di Kulim untuk diekstrak dan diadun bagi dijadikan kapsul. “Setiap satu penyakit ada tumbuhan herba khusus untuk merawat penyakit tersebut dan kita perlu mengadun bahan ekstrak herba ini mengikut sukatan yang tertentu. “Setiap ekstrak herba ini telah diuji dan selamat untuk kegunaan manusia,” dakwanya.  Jelasnya, produk berasaskan herba itu berpotensi luas di pasaran dan kini dia hanya menumpukan perhatian untuk menjalankan proses pengeluaran bahan-bahan herba dari rumah.  “Ramai rakan saya akan datang mengambil bahan-bahan herba yang siap diproses untuk dijual sendiri di bawah label syarikat mereka. Saya cukup berpuas hati dengan hasil yang diperoleh dengan menghasilkan produk-produk herba ini dan mahu lebih ramai orang memberanikan diri untuk menjalankan perniagaan berasaskan herba,” katanya.  Bagi yang ingin mencuba herba tradisional Romli boleh menghubungi beliau di talian 012-4774415.




LAPORAN AKHBAR 2:
Rahsia pokok mahkota dewa
Oleh SAFINA RAMLI


Romli Hussain menunjukkan buah dan ekstak daripada tumbuhan Mahkota 
Dewa yang menjadi bahan asas dalam ubatan yang dihasilkannya di Kampung 
Bukit Kuang, Gurun. Gambar kanan, ubat yang telah diproses.


GURUN 25 Ogos 2009 - Pokok mahkota dewa atau nama saintifiknya Phalenia macrocarpa tidak begitu dikenali jika dibandingkan dengan pokok tongkat ali. Namun rahsia dan khasiat yang terkandung di sebalik pokok herba itu dikatakan setanding dengan tumbuhan-tumbuhan herba lain.  Malah, sewaktu perang di antara Belanda dengan Indonesia, pokok-pokok tersebut kononnya dimusnahkan oleh tentera Belanda kerana didakwa memberi kekuatan luar biasa kepada askar Indonesia.  Di Indonesia, pokok mahkota dewa digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, masalah buah pinggang, darah tinggi, angin ahmar, kencing manis, kolesterol tinggi dan pelbagai kegunaan yang lain.  
Pokok itu mula ditanam pada 2002 oleh seorang bekas guru, Romli Hussain, 57, setelah memperoleh benih pokok tersebut daripada seorang rakannya yang berasal dari Indonesia.  "Pokok ini mengambil masa sembilan bulan untuk berbuah dan bermula dari akar, batang, daun, ranting dan buahnya mempunyai pelbagai khasiat.  "Ia amat mujarab untuk mengurangkan suhu badan yang meningkat akibat demam dan saya mencipta satu formula dipanggil H5+5 untuk merawat demam serta batuk yang begitu mudah tersebar pada masa kini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuang di sini, Jelasnya, penularan wabak influenza A (H1N1) amat membimbangkan dan anaknya yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam juga menghidap demam panas tiga minggu lalu.

Anaknya yang berumur 24 tahun itu terpaksa pulang ke kampung setelah pihak pentadbiran menutup kampus itu selama seminggu. "Apabila anak saya balik, habis semua orang dalam rumah saya dijangkiti demam dan saya begitu khuatir apabila ubat yang diambil di hospital tidak berkesan untuk mengubati demam mereka. "Dalam keadaan terdesak, saya yang risaukan keadaan anak saya mendapat ilham untuk mengadun ekstrak mahkota dewa bersama lima campuran herba yang lain bagi menghasilkan ubat H5+5 ini," katanya. Jelasnya, di antara herba yang diadun bersama ekstrak mahkota dewa adalah pokok hempedu bumi, mengkudu hutan, daun malberry dan mambu.  "Kesemua bahan itu dihantar ke Kedah Bio Resources Corporation Sdn. Bhd. (KBio Corp) di Kulim untuk diekstrak dan diadun bagi dijadikan kapsul.  "Setiap ekstrak herba ini telah diuji dan selamat untuk kegunaan manusia," ujarnya. Katanya, dia menggunakan modal sendiri untuk menjalankan perniagaan ubat-ubatan berasaskan herba dan sehingga kini sebanyak RM20,000 dilaburkan dalam bidang penyelidikan dengan KBio Corp. "Saya turut mendapat ilmu dalam bidang herba melalui buku-buku herba tradisional India dan Cina. "Selain itu nenek saya yang merupakan seorang bidan juga memainkan peranan penting untuk mendorong minat saya dalam bidang perubatan herba ini," katanya. Menurut Romli, dia mula bergiat aktif menghasilkan 13 produk berasaskan mahkota dewa sejak 2003 dengan menghasilkan produk seperti sabun, syampu, minyak urut serta minyak rambut. Tambahnya, beliau pernah menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Putrajaya pada 2008. Bagi yang ingin mencuba herba tradisional Romli boleh menghubungi beliau di talian 012-4774415.



LAPORAN AKHBAR 3:
Kongsi khasiat Mahkota Dewa
18/1/2008
SYED Hanasudin (kanan) dan Zulkernain Abdullah berkeyakinan 
bahawa produk minuman herba dari Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. 
mampu memberi kesan kesihatan yang positif kepada pengguna.


LAMBAKAN produk minuman herba dengan pelbagai jenama di pasaran negara, tidak sekali-kali dianggap saingannya, malah berkeyakinan penuh bahawa produk yang cuba diperkenalkan itu terbukti kebaikannya di dalam bidang perubatan dan telah digunakan secara tradisional sejak turun-temurun. Menurut Pengarah Eksekutif Biopusaka Dewa Sdn. Bhd., Syed Hanasudin Syed Yassin, pengambilan Kopi Mahkota Dewa secara berterusan dikatakan mampu membantu mengurangkan penyakit darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.  Ikuti temu ramah wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, AHMAD ZAKKI JILAN dengan Syed Hanasudin dan seorang daripada dua rakan kongsi beliau yang juga selaku pengurus, Zulkernain Abdullah mengenai keistimewaan produk sulung keluaran syarikat mereka.  MEGA: Sejauhmanakah penglibatan saudara dalam dunia perniagaan dan bagaimanakah Kopi Mahkota Dewa yang diusahakan oleh Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. mula diketengahkan?

SYED HANASUDIN: Sebenarnya penglibatan saya dalam bidang bisnes telah bermula lebih 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya lebih kepada perniagaan untuk membekalkan kain-kain ela. Namun, bisnes berkaitan produk minuman herba tercetus pada tahun 2004 selepas saya bertemu rakan lama, Ghani Yatmin, seorang yang berpengalaman luas dalam menghasilkan ubat-ubatan tradisional. Malah dia juga berpendidikan dalam bidang berkaitan dari Universiti Gadjamada, Indonesia.  Jadi, saya bertanya kepadanya mengapa tidak dihasilkan satu produk yang menggunakan buah Mahkota Dewa tetapi dalam bentuk yang lebih mudah diperoleh pengguna atau maksud lainnya, dipelbagaikan penggunaannya. Beliau mengakui ada hasrat tersebut tetapi oleh kerana kekurangan modal, hasrat itu terpaksa dipendamkan.

Lantas saya bersama dua rakan kongsi iaitu Zulkernain dan Ghani menubuhkan Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. pada Ogos 2005. Syarikat ini bertujuan memasarkan produk utama dan sulung syarikat iaitu Kopi Mahkota Dewa. Bagaimanapun, sebelum minuman kesihatan ini dihasilkan, banyak penyelidikan dan kajian yang dilakukan demi mahukan hasil yang memuaskan hati pengguna dan bukan omongan kosong. Langkah pertama yang dilakukan ialah kami menghantar buah Mahkota Dewa ini ke makmal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai, Johor untuk kajian seterusnya menghasilkan beberapa produk daripada buah ini. Alhamdulillah, Kopi Mahkota Dewa akhirnya berada di pasaran pada pertengahan tahun 2007. Kopi Mahkota Dewa ini boleh diperoleh terutamanya di kedai-kedai kopi, sekitar Lembah Klang. Bagi yang mahu mendapatkan terus, boleh juga menghubungi kami di talian 013-341 7639, 019-377 2799 atau 03-40414799. Malah kami juga sedang mencari pengedar-pengedar dari seluruh Malaysia. Kini kami telah menghantar buah Mahkota Dewa untuk tujuan kajian dan pemprosesan di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.  Apakah faktor yang membuatkan anda memilih produk minuman herba sedangkan kita lihat terlalu banyak produk minuman herba di pasaran? 

SYED HANASUDIN: Faktor utama syarikat kami mengeluarkan produk ini kerana yakin dengan khasiat dan keistimewaan yang ada pada buah Mahkota Dewa.  Lebih-lebih lagi, soal penjagaan kesihatan sama ada dalaman dan luaran semakin dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia, tidak kira yang sihat ataupun berpenyakit. 
Perlu dijelaskan kepada pengguna di luar sana bahawa produk Kopi Mahkota Dewa lebih berfungsi sebagai kesan kesihatannya bukan kepada rasa. Sebab itulah bagi mereka yang biasa mengambil jamu, mereka akan rasa kelainan pada Kopi Mahkota Dewa iaitu ia lebih kepada rasa jamu daripada rasa kopi. Kalau kita lihat, kebanyakan produk kopi yang terdapat di pasaran, tumpuan mereka adalah pada rasa berbanding khasiatnya. Namun, produk minuman herba Kopi Mahkota Dewa keluaran Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. mengutamakan khasiatnya untuk kesihatan. Di samping itu, kalau kita lihat produk ini mampu dimiliki oleh semua golongan memandangkan harganya yang tidak membebankan pengguna serta di dalam setiap peket mengandungi bahan herba yang lain seperti; pule pandak (Reuvolfia Serpentina), kayu manis (Cinnamonan Burmani), kayu angin (Usnea Misaminensis) dan beberapa lagi. 
Boleh saudara terangkan serba ringkas tentang pokok Mahkota Dewa dan keunikannya untuk pengetahuan pengguna Malaysia?

SYED HANASUDIN: Pokok Mahkota Dewa atau nama saintifiknya Phaleria Macrocarpa juga dikenali sebagai satu tanaman ubatan di Indonesia. Pokok ini dikatakan berasal dari wilayah Papua New Guinea atau Irian Jaya. Bagi masyarakat di sana pokok ini dianggap anugerah dari tuhan kerana khasiatnya yang pelbagai. Fungsi perubatan dan khasiat pokok ini amatlah pelbagai. Dalam perubatan tradisional, pokok ini digunakan untuk pelbagai tujuan kesihatan seperti melancarkan perjalanan darah, meningkatkan tenaga, anti-oksidan, membantu mengurangi rasa sakit bila bengkak dan sebagainya.  Di Jawa, ia dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti; Makuto Rojo, Makuto Ratu, Obat Dewa, Pau (Obat Pusaka) dan Crown of God. Bagaimana dengan cabaran dalam memperkenalkan sesuatu produk yang dikira masih baru ini?

SYED HANASUDIN: Itu memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan waima produk kita itu masih baru ataupun sudah lama di pasaran. Cabaran memang dihadapi, cuma jenisnya yang berbeza-beza. Bagi kami cabaran persaingan itu memanglah hebat tetapi dengan keyakinan bahawa produk Kopi Mahkota Dewa boleh dikatakan mempunyai 75 peratus herba, di situlah kelebihan kami. 
Malah yang pasti kopi ini tidak mengandungi bahan pengawet serta pewarna tiruan. Pun begitu, sekiranya selepas pengambilan minuman ini, pengguna mengalami kesan sampingan yang agak ketara, seeloknya jangan takut tetapi kurangkan kuantiti pengambilannya daripada satu peket kepada setengah peket. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Sirim Berhad yang akan membantu mengadakan promosi sepanjang 2008. Apakah perancangan masa depan saudara untuk Biopusaka Dewa Sdn. Bhd.?

SYED HANASUDIN: Alhamdulillah, selepas setengah tahun produk Kopi Mahkota Dewa berada di pasaran, banyak respons positif yang kami terima. Lantaran itu, kami giat melakukan promosi bagi mengembangkan pasaran ke seluruh Malaysia. Pada peringkat awal ini, kami cuba menyasarkan orang Jawa yang berada di negara ini memandangkan mereka lebih mengetahui khasiat buah Mahkota Dewa.  Kami juga merancang untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan buah Mahkota Dewa seperti dalam bentuk jus dan kapsul. Perancangan lebih jauh seperti penghasilan barangan kosmetik daripada buah Mahkota Dewa, minyak urut daripada akar buah Mahkota Dewa dan akhir sekali spa.


BANYAK LAPORAN...BUAH INI...
MAHKOTA DEWA... NAMA DIBERI...
WARNA MERAH... PROSES SENDIRI...
KALAU TIADA... BOLEH MEMBELI...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Herba negeri Perak,
Gopeng, Perak,
Malaysia.
(12 Syawal 1434H)









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...