KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, August 17, 2013

MAHKOTA DEWA

POKOK MAHKOTA DEWA (Phaleria macrocarpa) merupakan sejenis tumbuhan renek malar yang mudah tumbuh dinergara kita dan sangat popular  kerana ia telah dikaitkan dengan tanaman untuk ubatan. Ia juga didakwa amat berkhasiat iaitu merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Thymelaeaceae. Saya  sudah lama mendengar pokok mahkota dewa dari beberapa rakan-rakan yang menanam dan taklimat daripada Pengurus Ladang Taman Herba Negeri Perak di Gopeng, Perak tidak lama dulu. Mereka katakan buah mahkota dewa merupakan buah yang banyak mengandungi khasiat untuk membantu kesihatan. Lalu pada Hari Raya Aidilfitri lepas, saya berkunjung ke rumah rakan lama yang telah bersara iaitu Hj Zani di Mersing yang ada menanam beberapa pokok mahkota dewa dan menggunakannya sendiri (Foto diatas adalah buah dirumah beliau). Katanya selepas dia meminum ekstrak air buah mahkota dewa yang diproses sendiri, dia sentiasa berasa kenyang dan bila diperiksa akan kandungan gula dalam darah, didapati menurun dengan baik dari masaalah diabetis. Lalu saya melihat pokok tersebut yang memang banyak buahnya dan ada banyak semut pada buah yang matang. Saya diberikan 3 pokok mahkota dewa tersebut dan menanamnya di rumah pagi dibuat pemerhatian. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok mahkota dewa yang banyak juga ditulis dalam lamanweb untuk dibaca.



Daripada beberapa rujukkan, saya dapati pokok buah Mahkota Dewa adalah jenis pokok rimbun, membesar dengan baik dalam iklim tropika. Tanaman ini juga merupakan tanaman yang terus membesar dan mampu berbuah sepanjang tahun. Pokok ini mampu mencapai ketinggian 3 - 4 meter jika dibiarkan tumbuh tanpa dibuat cantasan tetapi ia disyorkan dicantas untuk mengekalkan ketinggian sekitar 5-7 kaki sahaja bagi tujuan memudahkan pengurusan tanaman terutama untuk memetik hasil (Lihat foto sebelah). Batangnya agak bergetah mempnyai warna kulit yang saya lihat berwarna coklat kehijauan dan batang kayu berwarna putih. Pokok ini mempunyai sistem akar tunjang yang kukuh. Sejarah mengenai tanaman ini dinyatakan dimana beberapa abad dahulu benih pokok Mahkota Dewa dibawa dari pulau Papua oleh bomoh-bomoh tradisional Jawa dan menanamnya di kawasan lapang Istana Solo dan Jogyakarta. Pawang dan bomoh telah menggunakan buah beracun ini dengan cara tertentu untuk dijadikan sumber penyembuh yang berguna. Orang kampong saya di Johor (Jawa) menamakan buah ini sebagai 'Mahkuto Dewo' sementara tabib Cina menamakannya sebagai 'Pau'. Laporan juga menyatakan buah ini mempunyai makna sebagai 'dadah warisan' (patrimony drug)Kini tumbuhan ini tidak lagi menjadi harta yang dirahsiakan perubatan tradisional untuk tujuan buat merawat. Disebabkan nilai ekonomi dan faedah perubatan, ramai telah mula menanam pokok Mahkota Dewa secara komersil atau disekeliling rumah. Pokok ini mudah tumbuh, tanpa memerlukan sebarang rawatan khas atau pengendalian. Ia boleh tumbuh di kawasan dari 0 - 1,000 meter di atas paras laut dan boleh mencapai ketinggian sehingga 5 meter dan mudah menghasilkan bunga yang akhirnya membentuk sebagai buah.


Buah mahkota dewa yang berkualiti.
Keseluruhan bahagian dari tumbuhan ini seperti bahagian biji, buah, daun dan ranting kesemuanya mengandungi ciri-ciri perubatan. Mahkota Dewa boleh digunakan sebagai dadah tunggal atau sebagai campuran bersama herba-herba lain untuk menguatkan kesannya dan ia mampu untuk meneutralkan racun. Walaupun Mahkota dewa rasanya agak manis, adalah perlu diingatkan bahawa ia tidak boleh dimakan begitu sahaja atau sebelum pemprosesan dijadikan sebagai ubatan. Buahnya cantik tetapi ia merupakan sejenis tumbuhan beracun yang didakwa boleh membawa maut. Bagaimanapun, terdapat beberapa cara tertentu untuk menjadikan ia selamat untuk digunakan sebagai perubatan tradisional. Buah hijau belum matang serta buah masak merah boleh diracik-racik halus kemudian dikeringkan dibawah matahari. Ambil satu sudu (tidak lebih) isi yang dah diracik dan dikeringkan lalu campurkan kedalam segelas air panas mendidih untuk dijadikan minuman rendaman. Sebaiknya elakkan dari menggunakan periok atau bekas logam untuk merebus atau merendam hirisan mahkota dewa untuk elakkan kesan kurang baik. Gunakan bekas kaca untuk menyimpannya. Adalah dipercayai bahawa isi buah Mahkota Dewa mengandungi sebatian anti-oksidan yang mampu untuk melawan kanser. 


Beberapa pendapat dan petua didapati adalah tidak disyorkan mengambil mahkota dewa kepada wanita hamil. Ini kerana jika mengguna ubat ini ia boleh boleh mendatangkan kemudaratan atau kesan keatas janin dalam kandungan. Buah Mahkota Dewa sering digunakan dalam rawatan perubatan alternatif bagi pelbagai penyakit. Dalam beberapa testimoni, didapati jangkamasa atau kesan penyembuhan berbeza dimana lazimnya ia akan bergantung kepada berat badan pesakit dan tahap penyakit itu. Bagi pesakit kronik seperti serangan kanser , jangkamasa yang diperlukan kira-kira lapan bulan untuk proses penyembuhan dengan. Anggaran dos pengambilan disyorkan sebanyak dua sudu isi kering yang sudah diracik dimasak atau dimasukkan dengan segelas air panas. Beberapa cara pengamalan ada menyatakan iaitu jika keadaan penyakit menunjukkan tanda-tanda penyembuhan maka dos pengambilan dikurangkan. mahkota Dewa turut dipercayai dapat menyembuh penyakit-penyakit lain iaitu penyakit bersangkutan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, mati pucuk, insomnia, selsema, sakit sendi, alahan, penyakit jantung, aduan pundi kencing, asid urik dan masalah hati. Walau bagaimanapun, penggunaan perubatan tradisional ini harus dirunding terlebih dahulu dengan pakar herba dan sebaiknya membuat pemeriksaan dengan doktor mengikut jadual. Walau pun dipasaran telah banyak produk dari Mahkota Dewa, sebaiknya jika anda rajin boleh menanam sendiri dan memproses sendiri dirumah.  Wasallam!

MAHKOTA DEWA ...NAMA DIBERI...
BUAH MERAH... SEBIJI-SEBIJI...
MUDAH DITANAM... JAGA SENDIRI...
BANYAK KHASIAT... PERLU DICARI..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Air Merah, 
Mersing, Johor, 
Malaysia.
(3 Syawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...