KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, August 31, 2013

GULA APONG


GULA APONG merupakan satu jenis produk gula yang dibuat daripada nira nipah yang sangat popular terutama di Sarawak. Saya mengenali gula apong setelah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak selama lebih 2 tahun dan berpeluang melihat proses pembuatan gula apong. Gula Apong juga merupakan air manisan yang diperbuat daripada air nira yang dihasilkan daripada pokok nipah yang banyak terdapat di sepanjang sungai-sungai di Sarawak terutama di Kota Samarahan dan juga Betong. Jika di Semenanjung Malaysia, air nira ini sama dengan air nira kelapa yang kemudian dimasak menjadikan Gula Melaka ataupun 'nise' jika di Kelantan. Secara tradisional gula apong yang dihasilkan dipasar secara borong dalam tin biskut dan jika untuk pasaran runcit ia di pasarkan menggunakan beg plastik (Sila lihat foto diatas) yang dijual dengan harga RM 2.00 - RM 4.00 bergantung kepada isipadu bungkusan. Kenaikan harga gula pasir menjadikan gula apong mula mendapat tempat dihati pengguna di Sarawak dan mula menunjukkan potensi pasaran yang baik. Melihat kepada peluang pasaran ini, Jabatan Pertanian bersama FAMA Sarawak telah mengorak langkah menginovasikan pembungkusan gula apong ini dengan memperkenalkan gula apong dalam bentuk botol plastik yang cukup menarik. Selain itu Nira nipah merupakan minuman asli yang masih mendapat sambutan bukan sahaja dari masyarakat Melayu tetapi juga dari kaum-kaum lain. Di kampung-kampung, perusahaan nira nipah telah memberi hasil atau pendapatan sampingan yang paling menguntungkan. Hampir kesemua bahagian pokok nipah dapat dimanfaatkan oleh manusia. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info tentang Gula Apong dan potensinya berdasarkan pembacaan, pengalaman penulis ketika bertugas di Sarawak untuk membuat rujukkan.



Pokok nipah atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Nypa fruiticans hidup di kawasan berpaya, lembah dan berlumpur. Ia mempunyai batang sulur bawah tanah dimana akar palma ini biasanya tersembunyi di dalam lumpur di mana ia tumbuh dan jarang didapati terdedah di kawasan hakisan pinggir laut. Pokok nipah ini banyak tumbuh di Sarawak (Lihat foto dibawah) secara semulajadi. Lapisan udara serta asas daun pokok nipah ini memberikan daya apungan yang tinggi kepada akarnya. Daun tua akan gugur apabila lapisan peluruhan sepanjang 2 kaki berlaku di bahagian terbawah anak daun. Lapisan peluruhan kedua muncul di tempat di mana daun lebar pokok itu bercantum dengan akar. Pelepah nipah boleh dijadikan atap yang baik dan di mana sahaja boleh dilihat pelepah pokok ini ditebang tetapi anak-anak pokok muda dipelihara. Manakala kutikel daun muda yang mempunyai kulit luar yang kukuh, ditanggalkan, dipotong mengikut saiz, dibungkus dan dijual di seluruh negara sebagai rokok daun.

Manakala pohonnya keluar di hujung sulur dan batangnya bercabang serta membentuk serumpun nipah. Manakala bunga nipah, keluar di celah-celah pelepahnya dan bergugus di hujung tangkai, menghasilkan buah. Sesudah itu barulah buah dipangkas untuk mendapatkan air nira dan jambangan bunga nipah menghasilkan gula yang banyak kira-kira 1 pain sehari selama 3 bulan di mana hasilnya lebih kurang 11 gelen. Manakala titisan getah pokok nipah ini boleh dijadikan arak atau tuak. Malahan buah nipah berbentuk seperti baji. Struktur buahnya sama seperti buah kelapa. Buah ini ada sabut, tempurung, isi dan air.Isi buah yang muda boleh dimakan dan biji benihnya yang matang sangat keras. Pokok nipah terdapat 3 jenis di antaranya jenis Pokok Nipah Sawa dimana jenis ini mempunyai bentuk tangkai yang panjang, perdu dan pelepah serta batang yang besar dan jangka hayatnya cuma selama 3 bulan. Kedua adalah Jenis Pokok Nipah Tembaga dimana ia mempunyai bentuk tangkai yang sederhana, perdu dan pelepah serta batang sederhana besar dan jangka hayatnya selama 2 bulan sahaja. Jenis ketiga adlah Pokok Nipah Ekor Tikus iaitu iaitu ia sejenis nipah yang mempunyai bentuk tangkai, perdu dan pelepah serta batang yang kecil kecuali buahnya sahaja besar dan jangka hayatnya selama 28 hari sahaja boleh menghasilkan nira.


Gula Apong ini manis dan sedap baunya dimana ia sesuai dijadikan bahan makanan berkhasiat. Selain daripada digunakan didlam minuman seperti ais kacang,  cendol dan sebagainya, gula apong banyak digunakan didalam bahan membuat kuih mueh. Saya paling suka dengan kuih Cincin yang menggunakan gula apong sebagai intinya (Lihat foto dibawah). Kuih Cincin kalau dahulu hanya produk tempatan kini telah pun di komersilkan sehingga ia boleh kepasaran ekspot seperti ke Brunei, Singapura malahan sampai ke China dan Jepun. Membuat kuih cincin memerlukan kualiti gula apong yang berkualiti agar ianya cukup manis dengan tahap kerangupan yang sederhana. Perusahaan gula apong kini boleh di tingkatkan dengan pengenalan beberapa teknologi seperti teknologi memungut air nira, memasak air nira sehingga menjadi gula apong dan yang agak kritikal sekali adalah kaedah kaedah pembungkusan dan permasaran untuk menjadikan produk ini bernilai tinggi. Pihak tertentu perlu membuat lebih banyak kajian dan temuan untuk meningkatkan tahap kualiti dan pengeluaran gula apong di negara kita. Wasallam! 

Kuih cinin dengan ini Gula Apong.
GULA APONG ... NIRA NIPAH ASALNYA...
DI NEGERI SARAWAK...POPULAR DIA...
PELBAGAI GUNA... MURAH HARGANYA...
KUEH CINCIN... ADALAH ANTARANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
No 15, Ridgeway Road,
Jalan Ong Tiang Swee,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(21 Syawal 1434 - Alamat kuarters di Sarawak dulu).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...