KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, July 31, 2013

DUKU

DUKU (Lansium domesticum var duku) merupakan sejenis buah tropika yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae. secara umumnya saya dapati ramai diantara kita keliru dengan panggilan buah dari kumpulan ini iaitu Buah Duku, Buah Langsat, Buah Duku Langsat , Buah Dokong, Buah Rambai dan sebagainya. Duku berbeza dengan buah lain (langsat dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak tebal (terutama duku Johor) dan mempunyai biji yang sederhana pahit jika tergigit. Buah ini adalah jenis buah bermusim yang ditanam dikawasan keliling rumah di kampong tradisional atau pada dusun komersil dibeberapa lokasi. Buah duku kini ditanam dibeberapa negara dan dipercayai berasal daripada kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia dan Sumatra. Nama lain bagi buah duku seperti Luku, Longkong, longson. bon bon dan sebagainya mengikut lokaliti. Saya membuat rujukkan mengenai keluasan tanaman kategori ini dengan Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia yang menunjukkan terdapat seluas 16,300 hektar tanaman ini diseluruh negara dengan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 34,500 metrik tan setahun.  Negeri yang banyak menanam buah ini seperti Johor, Terengganu, Kelantan dan Perak. Tidak ada pecahan khusus untuk keluasan tanaman duku. Saya dapati tidak banyak bahan rujukkan berkaitan buah duku berbanding dengan buah-buahan lain. Ada yang juga mengatakan buah duku adalah sebahagian daripada buah nadir yang telah dikomersilkan dan ditanam untuk di makan sendiri. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai teknologi tanaman buah duku untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.



Secara umumnya Buah Duku ada dua Jenis iaitu DUKU JOHOR dan juga DUKU TERENGGANU.  Kedua-dua jenis duku ini amat berbeza kerana mempunyai bentuk buah dan ketebalan kulit yang nyata berbeza. Saya semenjak kecil lagi saya hanya mengenali Duku Johor yang memang banyak di tanam di Daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian Johor selain daripada disekitar Merlimau, Melaka. Duku Johor mempunyai bentuk bulat (round shape) dan hanya sedikit sahaja yang mempunyai pangkal buah agak tirus sedikit apabila masak (Lihat foto diatas). Kulit duku Johor adalah tebal iaitu sekitar 
5 - 12 mm dengan warna buah muda adalah hijau dan akan menjadi kuning coklat kemerahan apabila cukup matang. Rasa isinya manis dengan warna isi yang putih krim atau agak jernih untuk kualiti buah yang baik. Jarang-jarang kita jumpa buah duku Johor yang masam kecuali bila ia belum cukup masak atau tidak pernah diberikan baja. Pemerhatian saya di kebun duku Johor di Kg Kesang , Kg Pantai Layang, di Muar dan Kg Sg Rambai di Melaka mendapati, kebanyakan pokok duku Johor telah ditanam lebih daripada 15 tahun dahulu dibawah program bantuan AID Jabatan Pertanian secara perladangan berkelompok dan juga petani persendirian. Pokok duku yang ditanam tumbuh menegak dengan bentuk dahan merimbun dan ditanam bercampur dengan buah-buahan lain seperti pokok durian, rambutan, nangka, koko, pisang serta tanaman selingan lain. Terdapat juga pemilik dusun Duku Johor yang menanam secara monokrop disekitar Pantai Layang di Sg Mati, Muar. Saya dapati seluas lebih dari 30 hektar tanaman duku Johor monokrop masih dijaga dengan baik oleh Projek kelompok petani Cina di Kg Pantai Layang dan Kesang di Johor yang masih produktif. 


Duku Terengganu banyak ditanam dan natif di Negeri Terengganu dengan mempunyai bentuk buah yang lonjong (Oblong) dan kulit buah agak nipis (Sila Lihat foto sebelah). Kajian saya juga ada menunjukkan purata ketebalan kulit Duku Terengganu adalah 2 - 7 mm dengan warna buah masak coklat kekuningan. Pokok Duku Terengganu tidak banyak berbeza dengan pokok duku Johor sekali pandang. Kawasan penanaman Duku Terengganu terdapat dibanyak daerah di Negeri Terengganu dan Kelantan serta beberapa lokasi di Negeri Pahang. Penanaman duku ini juga telah agak lama dijalankan iaitu sekitar 15 - 20 tahun dulu dibawah Skim Galakkan Penanaman Buah-buahan iaitu program kelolaan Jabatan Pertanian dinamakan Skim Galakan Buah-Buahan (SGBB). Skim ini adalah satu kaedah pemberian bantuan anakbenih pokok buah-buahan terpilih termasuk Benih Duku Terengganu dengan harga subsidi RM 1.00 sepokok kepada petani yang memohon untuk ditanam. Bagaimana pun skim bantuan ini telah pun diberhentikan pada Rancangan Malaysia Ke 10 (Awal Tahun 2011). Ada yang suka dengan Duku Johor dan ramai juga yang suka akan Duku Terengganu. Kedua-dua jenis dulu tersebut ada dijual di Pasar Chow Kit dan Gerai di pasar malam apabila tiba musimnya. Saya lebih suka dengan Duku Johor kerana sebati dengannya sejak kecil dulu.


Penanaman, Pengurusan dan Penuaian buah Duku Johor dan DukuTerengganu tidak banyak perbezaan. Bagaimana pun saya dapati bagi jenis pokok Duku Johor mempunyai masalah serangan kulit pokok seperti pokok dokong iaitu Ulat Pengorek Kulit (Puru Batang) yang menyerang kulit batang, dahan malahan kadang-kadang daun dengan tanda seperti berkeruping. Tanda serangan dimana terdapat bintik-bintik kecil warna coklat  kehitaman pada peringkat awal dan ia akan menjadi puru pada bahagian kulit. Kawalan boleh dijalankan dengan kita mengikis bahagian puru pada kulit yang diserang sebelum disembur dengan racun kimia seperti racun dimethoate dengan kepekatan 0.05% sehingga serangan terkawal. Kedua-dua jenis buah Duku Johor dan Duku Terengganu tidak tahan lama selepas dipetik dan mestik dijual atau dimakan segera. Bagaimana pun lazimnya Duku Terengganu lebih tahan lama dipasaran berbanding dengan Duku Johor. Selamat membeli Duku Johor dan Duku Terengganu bila tiba musimnya sekitar Jun - Ogos setiap tahun. Wasallam!

DUKU JOHOR... TEBAL KULITNYA...
DUKU TERENGGANI.. NIPISNYA...
BILA DITUAI.. CEPAT JUALNYA...
RASA MANIS... BERAPA HARGANYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Kampong Kesang,
Ledang, Muar,
Johor, 
Malaysia.
(28 Syaaban 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...