KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, July 16, 2013

LIMAU LELANG

LIMAU LELANG (Merope angulata) atau dipanggil sebagai 'Mangrove lime' dalam bahasa Inggeris merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh liar dikawasan paya air payau dari keluarga Rutaceae. Ramai diantara kita mungkin tidak kenal akan jenis limau ini yang digunakan untuk pelbagai tujuan tetapi ia bukan jenis limau untuk dimakan seperti limau untuk makan yang lain. Tumbuhan ini adalah tumbuh liar dikawasan paya bakau dan tahan kepada air masin serta jarang ditanam sebagai tanaman komersil. Saya puas cuba mencari pokok yang natif dikawasan paya bakau di Malaysia tetapi ia memang tidak mudah dijumpai. Laporan Jabatan Hutan menyatakan tumbuhan ini didapati dikawasan hutan bakau di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka dan sedikit di Singapura. Nama Limau Lelang ini berkait dengan bentuk buah yang bersegi berwarna hijau seakan paruh helang yang tajam lalu di namakan 'Le" bermakna 'Limau' dan 'Lang' daripada perkataan 'Helang' lalu menjadi 'Lelang'. Pada masa ini memang sukar untuk mendapatkan pokok atau tumbuhan ini dimana ia telah dimasukkan didalam senarai tumbuhan yang dikatakan semakin pupus (endangered species) di beberapa negara termasuk Singapura dan Malaysia. Kepupusan ini berkait dengan tiada usaha menanam pokok ini dan juga kurangnya kawasan semulajadi habitat pertumbuhan pokok limau lelang yang semakin dimusnahkan akibat proses pembangunan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok limau lelang berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan rujukan.


Pokok limau lelang merupakan pokok renek (shrubs) yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencecah 3 meter (Lihat foto sebelah). Pokok ini mempunyai sepasang duri tajam atau hanya satu duri sahaja pada batang atau dahannya. Bentuk daun adalah lonjong (simple leaf) dengan permukaan daun yang licin serta berkilat (leathery). Daun mempunyai saiz 8 - 11 cm panjang berkedudukan bersilang (alternately arranged) dan berwarna hijau cerah. Bahagian hujung daun menirus dan terdapat 'oil glands' pada daun ini ia menghasilkan aroma khas apabila diramas. Tangkai daun sama seperti pokokk limau lain yang keluar dari ranting. Durinya sama ada satu atau dua keluar dari celah daun iaitu keras tajam berkayu sepanjang 3.0 - 3.5 cm. Bunga limau lelang adalah bersaiz kecil dengan ukuran 2 cm berwarna putih dengan mempunyai 5 kelopak. Jika diteliti bunganya mempunyai 10 stamen, ovari yang superior dan bersifat biseksual (Sila rujuk foto dibawah sekali)


Buah Limau Lelang adalah unik dimana bentuknya triangular dengan ada 4 bahagian permukaan (Lihat foto sebelah). Buah muda berwarna hijau pekat dan akan bertukar kepada warna hijau kekuningan apabila ia matang. Saiz panjang buah sekitar 4 cm dengan bentuk seperti 'miniature lemon' dimana ia mempunyai antara 3-4 ruangan dalam buah (locule) yang mudah dilihat apabila dibelah. Dibahagian hujung buah adalah tirus tajam. Didalam buah terdapat biji-biji limau lelang yang berlendir dan mempunyai bentuk pipih. Saya masih belum menerima laporan ada manusia yang makan buah limau lelang ini kerana ia tiada isi seperti limau manis atau limau bali. Dalam pembiakbakaan tumbuhan limau, tumbuhan ini boleh digunakan untuk biakbaka (plant breeding) bagi limau terutana untuk mendapatkan pokok limau yang tahan penyakit. 


Limau Lelang ini dipercayai sangat berkhasiat untuk dibuat ubat kanser dan juga ubat Pengasih. terdapat amalan dan dakwaan bahawa limau lelang yang hendak dijadikan ubat kanser ada gabungan dengan beberapa bahan ramuan lain di campor dengan limau ini. Bagaimana pun saya dapati belum ada laporan kajian klinikal mengenai kehebatan khasiat limau lelang secara khusus kecuali jika ia digunakan untuk program biakbaka dalam pertanian. Dalam beberapa laporan blog orang yang saya baca, ada dikatakan juga bahawa Limau Lelang (limau bunian atau limau hantu) adalah limau yang sukar diperolehi oleh mana-mana individu. Ini kerana ia hanya terdapat di persisiran pantai yang berlumpur dan tidak ramai orang yang ingin berkunjung tanpa sebab kedalam hutan bakau. Terdapat juga dakwaan ia boleh digunakan untuk mandian bagi merawat penyakit gila yang berkaitan dengan alam mistik. Laporan juga mendakwa limau lelang juga berkesan untuk merawat berbagai jenis kanser dan tumor. Katanya kita hanya perlu disapu pada kawasan atau pesakit tumor dimana dalam tempoh 5 minit sahaja maka terdapat kesan tumor akan mengecut. Ramai mungkin yang telah mencuba akan keberkesananya. Laporan juga mendakwa limau lelang sesuai untuk tujuan kecantikan, payudara yang anjal serta berisi dan sebagainya jika digunakan. Semua dakwaan ini hanya anda yang pernah mencuba dan mempercayainya sahaja akan tahu akan keberkesanannya. 
Wallahualam!

Bunga Limau Lelang
LIMAU LELANG ... TIDAK DIMAKAN...
TUMBUH LIAR... DALAM BAKAU HUTAN..
DIBUAT UBAT ... MENGHALAU SYAITAN...
SIAPA MINAT ... CARI SENDIRIAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Hutan Bakau Tanjung Piai
Kukup, Pontian,
Johor, Malaysia.
(7 Ramadan 2013)
- Melawat Tanah Hujung Asia Tg Piai 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...