KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, July 8, 2013

SAYUR - FAKTA KEKERAPAN

PENANAMAN SAYURAN merupakan satu industri penting yang dijalankan diseluruh dunia untuk membekalkan sayuran segar darpada aktiviti pertanian. Jumlah keluasan bertanam sayur-sayuran di Malaysia berjumlah 58,146 pada tahun 2000 dan berkurang kepada 50,339 pada tahun 2010. Pengurangan sebanyak 13% disebabkan oleh persaingan kawasan penanaman sayuran dengan sektor lain seperti sektor industri, perbandaran dan juga digantikan dengan tanaman kekal terutamanya kelapa sawit. Kajian yang saya jalankan mendapati keluasan bertanam kekal sayuran adalah sekitar 50,000 hektar iaitu 48,692 ha (2006) dan telah meningkat kepada 50,339 ha (2010). Saya dapati sebanyak 83% daripada keluasan bertanam sayuran tersebut adalah berada di Semenanjung Malaysia manakala bakinya di Sabah dan Sarawak. Bagi Sabah dan Sarawak, keluasan bertanam sayuran masing-masing meningkat daripada 2,641 ha kepada sejumlah 2,820 ha dan 3,288 ha kepada 4,190 ha. Malaysia juga telah mengeksport 241 ribu tan metrik (2000) dan telah pun meningkat kepada 440 ribu tan metrik (2010) terutamanya kenegara jiran. Manakala jumlah import dilaporkan sebanyak 762 ribu tan metrik dan dijangka akan terus meningkat hampir 1.4 juta tan metrik (2020). Saya dapati keadaan ini adalah berikutan beberapa peningkatan kadar penggunaan daripada 1 juta tan metrik (2000) kepada hampir 1.6 juta tan metrik (2010). Walau bagaimanapun saya dapati sebanyak 80% daripada jumlah import terdiri daripada jenis sayuran yang tidak sesuai ditanam atau tidak ekonomik ditanam di Malaysia seperti bawang, bawang putih, ubi kentang, kekacang, brokoli dan lobak merah. Artikel malam Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai fakta bagi beberapa jenis sayuran terpilih iaitu jangkamasa tanaman dan kekerapan pusingan penananaman dalam setahun berdasarkan kepada kajian dan pengalaman penulis yang bertugas dalam sektor pertanian lebih dari 32 tahun.


Jadual 1: Fakta Tanaman Sayuran Jenis Buah
Bagi Tanaman sayuran jenis buah, Jadual 1 menunjukkan 8 jenis sayuran yang menunjukkan jangkamasa tanaman dan juga kekerapan penanaman dalam setahun. Cili Besar (Capsicum annum) mempunyai jangkamasa tanaman sekitar 6 bulan dan boleh ditanam sebanyak dua kali setahun bergantung kepada kaedah pengurusan. Bagaimana pun kajian saya mendapati ramai dikalangan petani komersil yang mampu menjaga pokok cili sehingga 8 bulan. Timun (Cucumis sativus) merupakan tanaman yang mempunyai jangkamasa ditanam selama 3 bulan dan boleh ditanam sebanyak 3 kali dalam setahun. Ia sama juga dengan tanaman Kacang Panjang (Vigna sesquapedalis) dan Kacang Buncis (Phaseolus vulgaris). Tanaman Terung Panjang (Solanum melongena) dari keluarga Solanaceae mempunyai jangkahayat selama 6 bulan dan boleh ditanam 2 kali dalam setahun. Bagaimana pun tanaman Petola (Luffa actangula) yang dijaga baik boleh bertahan selama 4.5 bulan dengan kekerapan penanaman 2.5 kali dalam setahun.


Jadual 2: Fakta tanaman Sayuran  Jenis Daun
Tanaman Sayuran Jenis Daun lazimnya mempunyai jangkamasa tuaian lebih pendek daripada sayuran buah. Jadual 2 diatas menunjukkan 5 jenis sayuran jenis daun  yang dipaparkan mengenai jangkamasa kehidupan dan kekerapan penanaman dalam setahun. Sayur Kangkong (Impomea reptans) memerlukan masa 4 minggu untuk ditanam dengan kekerapan sebanyak 8 kali dalam setahun pada satu kawasan penanaman yang sama. Ini saya dapati yang menunjukkan satu hektar tanah secara fizikal yang ditanam seluas 8 hektar kangkong (Keluasan CHE - Crop Hectarage Equivalent). Tanaman sayuran lain seperti Sawi (Brassica spp) dan Kailan (Brassica alboglabra) mempunyai trend yang hampir sama dengan sayuran kangkong.  Kobis Bulat perlukan masa selama 3 bulan untuk dituai dengan kekerapan penanaman kobis sebanyak 3 kali dalam setahun. Penanaman kobis bulat (Brassica oleracea var capitata) di Malaysia banyak ditumpukan dikawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland, Lojing dan Kundasang, Sabah.


Jadual 3 : Fakta Tanaman Jangkapendek/ Kontan/ Umbisi
Tanaman Jangkapendek (Fieldcrops) juga mempunyai jangkamasa penanaman berbeza-beza mengikut jenis tanaman seperti dalam Jadual 3 diatas. Pemerhatian saya mendapati tanaman umbisi Halia Tua (Zingiber officinale) mermerlukan masa selama 8 - 9 bulan satu musim penanaman dengan kekerapan 1 kali dalam setahun. Bagi Halia Muda pula ia perlukan masa 5-6 bulan sebelum dituai dengan 2 kali kekerapan penanaman dalam setahun. Tanaman Ubi Kayu (Manihot esculenta) pula memekan masa selama 9 bulan satu musim dengan kekerapan sebanyak 1 kali setahun. Tanaman Labu Manis (Cucurbita spp) memerlukan masa 3 bulan untuk ditanam dengan kekerapan penanaman sebanyak 3 kali setahun. Ia sama juga dengan tanaman jagung manis (Zea mays) dengan jangkamasa tanaman 3 bulan dan kekerapan 3 kali setahun. Akhir sekali adalah tanaman Keledek (Impomea batatas) dengan jangkamasa 3-4 bulan penanaman dan kekerapan sebanyak 2.5 kali dalam setahun. 


Penulis di Projek Sayur di Kg Paya Serakek, Segamat

JENIS SAYURAN...PENTING DIUSAHA....
PASARAN DOMESTIK... EKSPOT JUGA...
BEKALAN CUKUP ...SEGAR SENTIASA...
KERAP DITANAM... UNTUK NEGARA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Room 263, Ritz Hotel,
Manjung, Perak,
Malaysia.
(28 Rejab 1434)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...