KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, March 4, 2013

IMO - PENYEDIAAN

IMO (Indigenous Microorganism)  merupakan satu kumpulan mikroorganisma yang hidup berkelompok disesuatu tempat. Ianya hidup berharmoni didalam tanah bersama tumbuhan dengan membekalkan makanan dan memberi perlindungan kepada serangga dan hudupan kecil yang lain. Apa yang saya pasti ialah IMO Tempatan (Local IMO) boleh dikumpul dan dibiak secara khusus untuk memperbaiki dan memulihkan tanah.  Mikroorganisma ini memang boleh dibiakkan melalui beberapa kaedah diantaranya dengan proses penyediaan IMO-1, IMO-2, IMO-3 dan IMO-4 dan akhirnya IMO-5. IMO ini boleh juga digunakan didalam penyediaan kompos didalam proses pereputannya. Pengalaman saya menggunakan IMO sebagai agen pereputan dalam memproses kompos mendapati ia sangat praktikal dan signifikan. Pengalaman saya berkursus di Saraburi Kyusei Farming, di Bangkok, Thailand pada tahun 2005 membuat IMO dan kompos secara 'hands-on' yang memberikan kemahiran kepada semua peserta kursus. Artikel dalam 'Anim Agro Technology' kali ini penulis akan berkongsi maklumat mengenai tajuk Penyediaan IMO untuk dijadikan bahan bacaan dan bahan rujukkan teknikal.


Langkah pertama adalah Penyediaan IMO-1. Bahan-bahan yang perlu dalam langkah pertama ini adalah seperti nasi sejuk, bekas kayu atau plastik, kertas putih dan tali pengikat. Pertama kali gunakan nasi yang dimasak dari beras dari pokok padi (Oryza sativa) dan biarkan sehingga sejuk. Ambil nasi sejuk tersebut dan diisikan kedalam bekas kayu atau plastik dengan ketebalan nasi sekitar 3 - 5 cm. Bekas tersebut kemudian perlu ditutup dengan kertas bersih dan diikat bahagian tepi dengan tali bertujuan untuk elakkan nasi terdedah. Letakkan bekas tersebut dibawah rumpun pokok buloh (Bambosa spp) atau dibawah rimbunan pokok pandan (Pandanus odorus) atau rimbunan jerami padi. Bekas tersebut perlu ditutup dengan plastik untuk elakkan air hujan selama 72 jam  atau selama 2-3 hari. Selepas jangkamasa tersebut kutip semula bekas tersebut yang mengandungi miselium berwarna putih  dimana ini merupakan IMO-1 (Indigenous Microorganism Number One).


Langkah kedua adalah proses Penyediakan IMO-2. Bahan yang digunakan untuk menyediakan IMO-2 adalah IMO-1, gula merah, balang plastik atau Balang Kaca, Kertas Putih dan juga Tali Pengikat. Langkah berikutnya adalah mengambil bahan IMO-1 dan dicampurkan dengan gula merah pada kadar 1 IMO-1:1Gula Merah (1:1) didalam balang kaca. Sebaiknya balang kaca atau plastik adalah yang gelap dimana kita tidak boleh melihat apa yang berlaku didalam balang. Kita perlu kemudian menutup balang tersebut dengan kertas putih dan ikat dengan tali dengan kuat. Simpan campuran balang tersebut ditempat sejuk pada suhu bilik (27 celsius) dan elakkan daripada terjemur dibawah panas matahari atau jangan masukkan dalam peti sejuk. Kita biarkan proses penapaian atau fermentasi berlaku selama 5 hari. Pemeriksaan berkala selama 5 hari dijalankan untuk pastikan fermentasi berlaku dan jika tidak berlaku fermentasi bermakna proses penyediaan IMO-2 adalah gagal. Hasil selepas 5 hari didalam balang adalah cecair dikenali sebagai IMO-2 yang boleh digunakan.


Langkah seterusnya adalah Penyediaan IMO-3. Bahan-bahan yang diperlukan adalah Dedak Padi, Air Beras, IMO-2 dan Jerami Padi atau Daun Kering.  Caranya dengan mencampurkan sebanyak 5 gram IMO-2 dengan 5 kg dedak padi dan 2 liter air basuhan beras (air basuhan beras perlu di peram selama 72 jam dulu). Gaulkan sehingga samarata campuran ini dengan kelembapan sekitar 65% pada suhu tidak melebihi 70 Celsius dan biarkan longgokkan tersebut selama 3 - 5 hari. Keadaan tersebut diperlukan untuk mikrob didalamnya membiak dengan cepat. Longgokkan campuran tersebut perlu ditutup dengan daun kering, jerami padi dan lokasi mestilah dibawah bangunan yang terlinding daripada iar hujan. Jika campuran terdedah dan air hujan masuk didalam campuran akan menyebabkan kelembapan bertambah dan proses penyediaan IMO-3 akan gagal selepas beberapa hari. Jika kita periksa campuran ini dan ada rasa panas, bermakna proses pembuatan IMO-3 adalah sukses atau akan  berjaya.


Langkah seterusnya Penyediaan IMO-4. Bahan digunakan adalah IMO-3, Tanah Gembur, Air dan daun kering atau jerami. Mulakan dengan mencampurkan IMO-3 dengan tanah gembur dengan kadar 1:1 (1 bahagian IMO-3 dengan 1 bahagian tanah gembur). Gaulkan dengan rata pada kelembapan 65% dengan suhu tidak melebihi 70 Celsius. Suhu yang terlalu tinggi atau rendah akan melambatkan proses untuk mikroorganisma membiak. Campuran ini perlu diperam selama 3 - 5 hari. Sebaiknya longgokan campuran sekitar 70 cm sahaja dan perlu ditutup dengan daun kering serta penting bagi mengelakkan dari terkena air hujan. Kerja ini lazimnya dijalankan didalam pondok yang berbumbung.  Apa yang seronok apabila proses tersebut berjaya selama 5 hari maka kita akan mendapat IMO-4. Kadar kuantiti IMO-4 yang diperolehi sekitar 100 - 150 kg setiap 1,000 meter persegi. Jika banyak bahan digunakan maka kuantiti IMO-4 yang diperolehi adalah banyak asalkan semua mengikur SOP yang terkawal.


Langkah terakhir adalah Penyediaan IMO-5. IMO-5 ini lebih dikenali sebagai KOMPOS. Bahan-bahan yang perlu digunakan didalam penyediaan IMO-5 adalah seperti tahi ayam, hampas kelapa sawit, sisa hampas jagung, jerami padi dan sebagainya. Terdapat dua syor untuk menyediakan kompos atau IMO-5. Syor pertama adalah dengan kita mencamporkan 1 bahagian IMO-4 dengan 10 bahagian tahi ayam (1:10). Gaulkan sehingga rata campuran tersebut dalam kelembapan sekitar 65% dimana suhu sekitar 70 Celsius.  Peram selama 7 - 14 hari dan buat jadual pemeriksaan dan terbalikan campuran jika perlu. Syor campuran kedua adalah dengan mencamporkan 1 bahagian IMO-4, 1 bahagian hampas kelapa sawit/ hampas jagung/ jerami padi dengan 5 bahagian tahi ayam (1:1:5). Sama seperti syor diatas, gaulkan rata pada kelembapan 65% dengan suhu sekitar 70 Celsius dan diperam selama 6 - 8 minggu. Sentiasa membuat pemeriksaan keatas campuran tersebut bagi mempastikan yang  proses pemeraman berjalan dengan baik.


IMO-5 atau Kompos ini boleh digunakan terus kepada tanaman dikebun. IMO-5 adalah kompos yang mengandungi banyak mikrob berfaedah (Beneficial microbe) yang memberikan banyak faedah kepada tanah dan tanaman. Bahan ini mempu mengatasi masaalah struktur tanag yang kurang gembur kepada lebih gembur. Ianya meningkatkan didalam kesuburan tanah apabila banyak mikrob didalamnya akan membantu menguraikan nutrien dalam tanah. Apabila pokok mendapat nutrient yang cukup makan pokok akan menjadi subur seterusnya tahan daripada serangan perosak dan penyakit dan akhirnya memberikan kuantiti serta kualiti hasil lebih baik.  Apabila tuaian ladang bertambah dengan kualiti baik akan meningkatkan harga jualan seterusnya mampu meningkatkan pendapatan petani. Produk yang dihasilkan boleh di kategorikan sebagai prosuk Organik yang berkualiti , mesra alam dan selamat dimakan.
SELAMAT MENCUBA!



PENYEDIAAN IMO ... 5 LANGKAHNYA...
BERMULA IMO-1... POKOK BULUH ASASNYA...
DIBIAKAN LAGI... IMO-5 HASIL AKHIRNYA...
GUNAKAN DIKEBUN... BERKUALITI HASILNYA...

By,
M Anem
Pusat Mikrob
Kompleks Pertanian Air Hitam
Batu Pahat, Johor,
Malaysia
(14 Disember 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...