Support My Blog

Thursday, March 21, 2013

BAYAM dan TEKNOLOGI

Bayam (Amaranthus spp) merupakan sejenis sayuran berdaun yang di tanam untuk kegunaan segar sebagai sayuran. Bayam adalah jenis sayur daun dari keluarga Amaranthaceae yang kaya dengan Vitamin A, Vitamin B , Vitamin C dan zat2 galian seperti zat besi (Fe), Posforan (P), Potassium (K), Mangganese (Mn) dan Zink (Zn). Khasiat bayam memeng tidak dapat dinafikan lagi kepada permakanan manusia. Saya memang suka makan sayur bayam terutama jika dimasak 'Bening Air' dan dimakan dengan ikan kering. Kebanyakkan bayam di Malaysia saya dapati di tanam untuk tujuan peasaran domestik dan sebahagiannya untuk diekspot ke Singapura dan Brunei. Bayam adalan jenis sayuran daun singkat masa yang lazimnya ditanam diatas batas pada tanah subur yang cukup baja, cahaya matahari dan penjagaan sempurna. Artikel kali ini penulis memberikan teknologi tanaman bayam dalam "Anim Agro Technology" berdasarkan pembacaan penulis daripada beberapa buah buku, risalah2 teknikal dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 33 tahun. Penulis banyak membuat pemerhatian serta ceramah dalam kursus teknikal mengenai tanaman sayuran di pelbagai peringkat.


Tanaman Bayam merupakan sayuran daun yang dikenali di Malaysia dan juga di Indonesia dan juga sebagai Amaranth (English), Amaranthe (Perancis), Kulitis (Filipina), Aopa (Papua New Guinea), Phtii (Cambodia), Phakkhom-suan (Thailand), Hom (Laos) dan Raudeen (Vietnam). Bayam dipercayai berasal atauu natif dari Asia Tenggara dan juga terdapat dan tersebar ke Amerika Tengah dan Afrika tetapi dari genus yang agak berbeza. Bayam merupakan sayuran yang sangat popular di Malaysia dan Indonesia dan merupakan sayuran popular yang 10 teratas dari segi penanaman dan penggunaan. Benih bayam kebanyakannya diimpot daripada negara luar seperti China, Taiwan untuk kegunaan tempatan. Apa yang penting dalam artikel kali ini adalah mengenai khasiat atau kandungan zat makanan bayam merujuk kepada buku PROSEA: Vegetables in ASEAN (1994) . Kajian mendapati setiap 100 gram bahagian bayam yang boleh dimakan (Bahagian batang dan daun tidak termasuk akar) mengandungi B-carotene (4-8 mg), Vitamin C (60-120 mg), Zat Besi Fe (4-9 mg), Kalsium (300-450 mg) dan serat. Kandungan Asid Folic dan serat yang tinggi (20-30%) sangat sesuai untuk kesihatan. Warna hijau atau merah pada daun mengandungi banyak antocyanin yang sangat berguna untuk kesihatan kita. 


Terdapat seluas 4,180 hektar bayam di tanam di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 45,140 metrik tan pada tahun 2012 berdasarkan kepada laporan statistik Jabatan Pertanian. Saya dapati kawasan utama bagi penanaman bayam di Malaysia adalah di Negeri Johor (sebanyak 65% keluasan tanaman bayam di Malaysia) dan diikuti dengan Selangor serta Pulau Pinang. Daerah Johor Bahru di Johor juga merupakan kawasan yang bertanam Bayam paling luas di Malaysia (1,795 hektar - iaitu meliputi hampir 50% keluasan Malaysia) diikuti dengan Daerah Kota Tinggi (460 ha) dan Daerah Muar (301 hektar). Saya memang ada pengalaman menjalankan aktiviti khidmat pengembangan teknikal tanaman Bayam di Negeri Johor bersama-sama petani yang merupakan Pengerusi Persatuan Penanam Sayur Malaysia iaitu En Tan Soo Tiok di kawasan Sengkang Mukim Gerisek. Penanaman bayam dikawasan komersil merupakan aktiviti rutin yang berterusan oleh penanam sayur komersil secara jadual pengeluaran matrik. Maknanya penanaman dan pengeluaran dijadualkan setiap hari dengan kuantiti yang telah ditetapkan.

Terdapat dua jenis bayam yang poplular ditanam di Malaysia iaitu Bayam Hijau (lihat foto sebelah) dan Bayam Hijau Ungu (Dipanggil sebagai Merah - foto diatas). Bayam adalah tanaman yang mudah ditanam dan cepat mengeluarkan hasil. Tanah gembur liat ringan dan berpasir yang kaya dengan bahan organik sesuai ditanam dengan bayam dengan pH sesuai diantara 5.5 - 6.5 serta mempunyai saliran yang baik diperlukan untuk menanam bayam. Bayam perlukan batas tanaman dan lazimnya lebar batas lingkungan 120 cm, ketinggian batas 20-30 cm dan panjang ikut ukuran dan kesesuaian kawasan. Tabur benih bayam (halus berwarna hitam) yang telah digaul dengan tanah peroi atau pasir sama rata diatas batas. Buat penyiraman selepas tabur benih. Selepas 2-3 hari benih akan bercambah dengan jarak sesuai kira2 8-10 cm antara pokok dan 45 cm antara barisan. Keperluan benih bayam sebanyak 1-3 kg sehektar. Sungkupan adalah perlu selepas tabur benih dengan lalang, pelepah kelapa dan sebagainya. Petani maju gunakan 'black netting' sebagai sungkupan. Ada petani yang menyemai dahulu bayam tetapi petani di Muar biasanya tabur terus benih daiatas batas. Penyiraman bayam adalah sangan penting untuk pastikan bayam hidup subur dengan sistem sprinkler. Kawalan rumpai dijalankan dengan manual dan dijalankan berhati-hati kerana akan menjejaskan akar bayam.


Antara perosak tanaman bayam adalah Ulat Pangkas (Agrotis ypsilon) yang memotong anak benih bayam pada paras tanah dan kawalan dengan racun serangga jenis Fenvelerate atau cypermethrin. Perosak Ulat Ratus (Spodoptera litura) memakan daun dan dikawal dengan racun cypermethrin. Dua jenis penyakit yang menyerang tanaman bayam adalah Hawar Melecuh (Cystobus bliti) yang simptomnya tompok-tompok putih pada daun dan tiada kawalan kimia yang berkesan. Oleh itu amalkan tanaman giliran dan tanam dikawasan baru yang bebas penyakit. Penyakit Lecuh Anak benih (Phytium aphani dermatum) menyerang pangkal pokok dan akibatnya pokok mati dan boleh dikawal denganracun kulat Capstan dan IPM. Baja organik tahi ayam biasanya digunakan sebagai baja asas yang dibubuh diatas batas semasa penyediaan kawasan dan batas dengan kadar 5 metrik tan sehektar. Baja Sulphate of Amonia sebanyak 240 gm/ha ditabur 7 hari lepas tabur benih bersama Basa TSP (24 kg/ha) dan baja MOP (120 kg/ha).Terdapat sebilangan petani komersial bayam yang menggunakan baja foliar (baja semburan daun) untuk mempercepatkan penuaian dan meningkatkan kualiiti bayam. Kawasan tanah gambut sangat sesuai menanam sayuran daun seperti bayam kerana mudah pengurusan batas, rumpai dan kerja menuai hasil. Penanaman bayam secara organik untuk dimakan sendiri adalah paling baik untuk menjaga kesihatan daripada kesan sisabaki racun. 



Sayur bayam merah masak air.
Tanaman bayam lazimnya boleh dituai 3-4 minggu selepas ditabur. Pokok bayam yang telah mencapai ketinggian kira-kira 20-25 cm boleh dituai dengan memotong atau pun mencabut terus dari tanah dan kemudian bayam segar perlu dikumpulkan. Bersihkan bayam dengan membasuh bahagian akar dari kekotoran tanah sebelum dimasukkan kedalam bakul. Bayam adalah sayur daun yang mudah rosak jika tidak dipasarkan segera. Kajian saya di sekitar Muar, Melaka dan Johor Bahru mendapati, anggaran hasil sekitar tanaman bayam adalah 1-2 kg/meter persegi atau 10,000 -20,000 kg/ha. Saya dapati tanaman Bayam di Kg Solok Tangkak, Daerah edang di Kebun En Murad pula mendapat purata berat hasil sekitar 12,000 - 14,000 kg sehektar dengan kekerapan 8-10 kali pusingan penanaman setahun. Khasiat bayam diantaranya didakwa sangat baik untuk ibu yang sedang menyusukan anak, pesakit demam panas dan kekurangan darah merah serta sakit buah pinggang. Bayam juga mengandungi methionine dan sulfur asid amino dan nitrat serta oxalate untuk kesihatan. Penanaman bayam di Malaysia akan terus menjadi pilihan ramai petani dan pengguna kerana khasiat yang ada dan cepat berhasil. Diharap satu hari nanti ada produk bayam dalam bentuk larutan, kapsul, pil, ekstrak dan kordial yang sedia untuk dimakan sebagai produk kesihatan. Semuga artikel ini menarik pembaca untuk menanam bayam sendiri dikeliling kawasan rumah. Bayam adalah tanaman yang sangat singkat mengutip hasil, berkhasiat tinggi serta mudah diuruskan. Selamat mencuba. Wasallam!



TANAM BAYAM....MUDAH CARANYA...
BAYAM BERZAT....MURAH HARGANYA....
MASA SINGKAT...28 HARI SAHAJA...
HARGA STABIL...DI JUAL MERATA-RATA...



You may like this article:
1. Kangkong (Klik disini)
2. Kailan (Klik disini)
3. Sawi Hijau (Klik disini)
4. Salad (Klik disini)
5. Endive (Klik disini)

By
M Anem
Istana Kraton,

Jogjakarta DIY,
Jawa Tengah,
Indonesia.
(Lawatan keluarga dari 15-17 March 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...