Support My Blog

Monday, September 17, 2012

BUNGKUS JAMBU AIR

JAMBU AIR ( Euginia aqueum) merupakan sejenis tanaman buah tropika dari keluarga Myrtaceae yang kini semakin mendapat pasaran domestik yang baik. Kalau kita singgah di R&R Tapah, pasti akan melihat gerai-gerai menjual buah Jambu Air Merah atau Jambu Air Loceng dnegan harga sekitar RM 8.00 - RM 12.00 sekilogram. Jambu tersebut di masukkan dalam plastik jernih yang berlubang dimana ada sebahagian lagi di potong-potong dan dimasukkan didalam peti sejuk untuk pasaran 'ready to eat'. Dari manakah jambu-jambu air merah ini dihasilkan?... Bagaimana kita hendak mendapatkan kualiti jambu air yang berkualiti?.. Apakah varieti yang paling popular di tanam di Malaysia?.. Berapa lama jambu air tahan selepas dipetik?.. Apakah khasiat utama yang ada pada jambu air?. Macam-macam persoalan akan terfikir ketika kita hendak membeli dan makan jambu air. Artikel dalam 'Anim Agro Technology' kali ini tulisan berkisar mengenai teknologi membungkus jambu air merah untuk rujukkan dan bacaan semua.


Jambu Air Merah akan mengeluarkan buah kadang-kadang mengikut musim dan dimana lazimnya berlaku musim pengeluaran puncak pada bulan Mei - Ogos setiap tahun di negara kita. Rekod pemerhatian dari Johor dan Perak yang saya kaji menunjukkan ada berlaku dimana jambu air berbuah dan dituai sebanyak 3 kali setahun. Bunganya keluar dengan banyak yang berkumpul dalam jambak bunga dimana saya dapati pokok berumur 6 tahun menghasilkan bunga dan buah yang optima. Selain daripada amalan pengurusan ladang seperti membaja, menyiram, mengawal rumpai dan penyakit, saya dapati aktiviti menyampul putik atau membalut putik buah jambu air sangat kritikal. Kemahiran pekerja dan ilmu pengetahuan melalui pengalaman akan membantu kita dalam kerja-kerja membalut buah jambu air. 


Aktiviti membalut buah di mulakan dengan memilih putik buah pada satu tangkai sebanyak 8 - 12 dalam satu tangkai. Buat aktiviti penjarangan dengan membuang putik yang tidak diperlukan kerana cara ini akan membantu kita dalam memberikan buah berkualiti untuk penyediaan gred premium. Jika tidak dibuat penjarangan putik tadi akan menghasilkan buah bersaiz kecil dan tidak berapa seragam. Gunakan plastik berwarna jernih berukuran 1 kilogram yang di buat lubang-lubang untuk sistem pengudaraan dan mengawal kelembapan dalam sampul buah. Masa untuk menyarung plastik dibuat apabila terdapat 1-3 bunga putik yang telah keluar rerambut atau jambul mekar pada satu tangkai. Lazimnya putik bunga berumur 35 hari selepas mekar sesuai untuk dibalut. Pemerhatian saya mendapati putik buah yang dibalut ini akan sesuai dituai 30 - 35 hari selepas dibungkus.


Apa yang saya lihat di Jasin , Melaka mendapati gred buah jambu air dalam kategori Gred Super dimana berat buah sekitar 150 gm/biji atau sebanyak 5 - 6 biji buah sekilogram. Kuantiti buah Gred Super sekitar 10% daripada jumlah hasil. Gred A pula merupakan majoriti hasil sebanyak 50% dimana bilangan buah sekitar 8 - 10 biji sekilogram, Gred B dengan bilangan buah 11 - 15 biji sekilogram (25% daripada jumlah buah) dan Gred C apabila bilangan buah lebih dari 15 biji sekilogram (15% daripada jumlah buah). Bagi mendapatkan hasil jambua air yang optima, disyorkan agar program pembajaan dijalankan 2 kali setahun iaitu pada bulan Bulan Mac-April dan Bulan September-Oktober. Kuantiti baja diberikan mengikut umur pokok dimana pokok berumur 3 tahun sesuai diberikan sebanyak 40 - 60 kg kompos, 0.5 kg NPK sepokok setahun dan dinaikan sebanyak 50 gram sepokok baja NPK setiap tahun. Baja tersebut perlu di bubuh dalam parit kecil mengelilingi pokok dihujung kanopi daun dengan kedalaman 40 - 50 cm dalam tanah. 


Pokok yang baik perlu dibuat cantasan dengan membuang dahan-dahan yang berpenyakit, dahan tidak produktif dan tunas air untuk memberikan ruang pengudaraan yang sempurna. Aktiviti membalut buah sangat kritikal dan perlu dibuat bagi mempastkan serangan Lalat Buah (Dacus pedetris) dari menyerang buah yang boleh menyebabkan kita tidah mendapat hasil. Walau pun ada cadangan menggunakan 'pheromone trap' tetapi kaedah membalut dengan plastik didapati teknologi paling praktikal. Saya juga mendapati kemahiran pekerja ladang untuk membalut memerlukan latihan dan kesabaran serta kos yang agak signifikan. Dari aktiviti pembungkusan buah jambu air sahaja, petani akan mendapatkan hasil yang berkualiti dan boleh dijual untuk mendapatkan hasil dengan anggaran pendatan kasar dari 17 pokok matang sebanyak RM 1,300!. Wallahualam!

MEMBALUT BUAH JAMBU...PENTING....
GUNA PLASTIK JERNIH... BALUT KELILING...
5 - 8 BIJI SETANGKAI...YANG LAIN DIGUNTING...
BUAH BERKUALITI...HARGA MELENTING...

By,
M Anem
Hotel Seri Impian,
Bandar Baru UDA, 
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(1 Zulhijjah 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...