Support My Blog

Sunday, September 2, 2012

PENYAKIT MANGGA

Mangga (Mangifera indica) merupakan sejenis tanaman buah-buahan dari keluarga Anacardiaceae yang sesuai ditanam dikawasan tropika dan subtropika. Sebanyak 26 juta metrik tan mangga dikeluarkan setiap tahun diseluruh dunia dan jumlah ini merupakan 40% daripada pengeluaran buah-buahan tropika. India merupakan pengeluaran mangga terunggul didunia dengan pengeluaran sebanyak 12 juta metrik tan setahun atau kira-kira 35% daripada pengeluaran dunia. Terdapat seluas 9,500 hektar tanaman mangga ditanam Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak lebih 25,000 metrik tan dari bebagai jenis dan varieti. Antara jenis yang popular adalah Mangga Chok Anan, Harumanis, Sala, Golek/Foofat dan Nam Dok Mai. Ada juga jenis mempelam pauh termasuk kategori buah nadir seperti bacang dan kuini yang ditanam tetapi tidak komersil. Teknologi tanaman mangga telah dibangunkan dengan mengaplikasikan kaedah pengurusan cantasan, aplikasi pembajaaan, aplikasi agen pendebungaan dan juga yang terkini penggunan bahan pengalak bunga khususnya untuk beberapa varieti mangga. Artikel petang ini saya menulis lagi secara ringkas beberapa jenis penyakit mangga yang didapati menyerang tanaman ini di Malaysia berdasarkan pengalaman penulis, pemerhatian di kebun mangga dan rujukan dari buku manual pakej teknologi Jabatan Pertanian.


Penyakit dan Perosak tanaman mangga merupakan ancaman kepada kesihatan pokok mangga dan menjejaskan penghasilan serta kualiti buah jika tidak dikawal dengan baik. Mangga merupakan tanaman yang mudah diserang serangga perosak dan penyakit kerana sesetengah varieti baru mangga adalah rentan terhadap serangan penyakit. Penyakit mangga boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu Penyakit yang menyerang bahagian Daun, Penyakit yang menyerang bahagian bunga dan penyakit yang menyerang Bahagian Putik serta buah mangga. Dua jenis penyakit yang menyerang daun adalah Penyakit Bintik Berpusar dan Penyakit Kulat kulapok Hitam. Penyakit yang menyerang banahgian bunga ada 3 jenis iaitu Penyakit Hawar Bunga, Penyakit Kulat Kulapok Hitam dan Penyakit Kulapok Debu. Penyakit yang menyerang bahagian putik dan buah ada 2 jenis iaitu Penyakit Keruping dan Penyakit Bintik Hitam Bakteria. Kesemua penyakit ini menyerang dan perlu dikawal daripada peringkat awal emlalui sistem pemantauan (surveillance) berjadual yang perlu dijalankan.

a) Penyakit pada daun 



(1) Penyakit Bintik berpusar (Colletotrichum gleosporoides) yang menyerang tanaman mangga selalunya menyerang bila cuaca lembab dan musim hujan. Simptom serangan adalah dimana permukaan daun yang diserang terdapat bintik-bintik yang kecil berwarna coklat dan ia membesar dan bergantung sehingga membentuk 'lesion'. Akibatnya menyebabkan daun menjadi kering, kemudian akan menjadi layu dan akhirnya gugur. Kaedah kawalan secara agronomi adalah dengan sentiasa membuat cantasan untuk memberikan lebih banyak peredaran udara dan mendedahkan kepada cahaya matahari. Buang dan musnahkan bahagian daun yang diserang. Kawalan cara kimia boleh dibuat semburan dengan racun jenis chlorothalonil, propineb atau benomyl dengan kadar yang disyorkan pada lebel. 


(2) Kulat kulapuk hitam (Meliola mangiferae) menyerang bahagian daun akibat daripada aktiviti perosak koya yang hadir pada pokok mangga. Lazimnya koya akan menyebabkan kulat tumbuh kerana rembesan manisan yang dikeluarkan oleh kelopak dan koya sehingga menghalang proses fotosinteis. Walau pun penyakit ini adalah kesan ‘secondary’ kepada serangan koya, tetapi jika tidak dikawal dengan baik akan menjejaskan kesihatan pokok. Kawalan agronomi dengan sentiasa mengamalkan cantasan terbuka tengah untuk  memberikan ruang udara mencukupi secara ‘open-ventered pruning’. Kawalan cara kimia dengan menjalankan semburan menggunakan racun chlorothalonil mengikut kadar pada label. 


b) Penyakit pada bunga 



(3) Hawar bunga (Colletotrichum gloeospoides) lazimnya menyerang bahagian bunga mangga terutama pada musim lembab. Serangan oleh kulat ini menyebabkan bunga mangga akan menjadi hitam, gugur dan kemudian putik akan gagal terbentuk. Kesans serangan serius menyebabkan buah mangga tidak dapat dihasilkan. Cara kaedah kawalan dengan membuat semburan dengan racun kimia seperti jenis azoxystrobin, chlorothalonil propineb, zineb mancozeb, maneb.

(4) Kulat kulapuk hitam (Meliola mangiferae) lazimnya akan menutupi permukaan bahagian bunga yang akan menghalang proses Pendebungaan.  Kulapok ini terdapat pada daun , buah dan bunga apabila pokok dalam keadaan tidak sihat dan kurang pengudaraan. Kawalan penyekit ini boleh dijalankan dengan membuat semburan kimia dengan racun jenis Anrtacol dan racun kulat lain yang sesuai.



(5) Kulapuk Debu (Oidum mangiferae) sama seperti kulapok hitam yang menyerang bahagian bunga menganggu proses pendebungaan walau pun dilaporkan kadar serangan jarang berlaku. Bagaimana pun jika berlaku serangan akan menyebabkan bunga gugur dan putik buah gagal terbentuk. Kaedah kawalan adalah dengan membuat semburan dengan racun kimia seperti jenis mancozeb, chlorothalonil dan racun propineb seperti arahan pada label.

c) Penyakit pada putik dan buah



(6) Keruping  disebabkan oleh sejenis kulat yang dikenali sebagai  (Elsinoe mangiferae)  dimana kulat ini  lazimnya akan menyerang putik dan buah muda. Kecederaan yang berlaku akibat kulat ini adalah dipermukaan putik akibat serangan oleh serangan trip memudahkan jangkitan kulat ini. Permukaan buah kelihatan berparut dan hodoh. Kawalan kimia disyorkan dengan buaat semburan azoxystrobin, mancozeb, chlorothalonil atau racun jenis propineb dengan kadar pada label.



(7) Bintik hitam bakteria (Xanthomonas campectris) menyerang buah yang disebabkan oleh bakteria dimana ianya menjangkiti buah melalui kecederaan atau liang dipermukaan buah. Kesan serangan menyebabkan kulit buah berbintik hitam dan kurang cantik menyebabkan harga jualan rendah. Kaedah kawalan dengan membuat semburan pencegahan menggunakan bahan kimia iaitu dengan kuprum oksiklorida. Kaedah kawalan cara amalan kultura dengan menggunakan pokok induk bebas penyakit dan memusnahkan dahan atau bahagian pokok berpenyakit.

PENYAKIT MANGGA...BANYAK JENISNYA....
MENYERANG DAUN....APA LAGI BUNGANYA...
BUAH ROSAK....PERLU CARA KAWALANNYA...
SEMBUR RACUN... IPM MESTI AMALKANNYA....

By,
M Anem
Taman Cendana
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka
(5 Syawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...