Support My Blog

Friday, September 21, 2012

PERANAN DAN FUNGSI BIJIBENIH

BIJIBENIH (Seeds) merupakan satu perkara yang pada tumbuh-tumbuhan kerana ianya menyambung kehidupan tumbuhan tersebut dan juga digunakan oleh hidupan lain (Manusia dan Haiwan) untuk dijadikan makanan. Industri bijibenih dunia memang besar mencecah sehingga USD 60 billion setahun terutamanya untuk industri benih bijirin dari jenis kumpulan Graminae. Kali ini sambil meraikan Hari Malaysia dan Hari Raya Aidifiltri ke 30, saya menulis artikel bertajuk 'Peranan dan Fungsi Biji Benih' untuk tumbuh-tumbuhan berdasarkan kepada beberapa buku ilmiah yang saya baca dan membuat rujukkan kepada ruangan website ( http://www.dbp.gov.my ). Skop perbincangan malam ini juga tertumpu kepada bijibenih tanaman makanan.

Pada 26 Februari 2010, Norway telah membuka bank biji benih tanaman yang dikenali sebagai “Svalbard Global Seed Vault” di Pulau Spitsbergen yang berhampiran bandar Longyearbyen, Norway. Ia boleh menempatkan biji benih tanaman dari seluruh dunia bagi kegunaan masa depan. Tempat simpanan tersebut adalah kebal daripada sebarang bentuk bencana alam dan serang­an nuklear serta mampu bertahan sehingga 200 tahun dalam keadaan beku sekiranya berlaku pemanasan global atau kerosakan mekanikal dalam sistem penyejukan. Menurut Perdana Menteri Norway Jens Stoltenberg, kira­-kira 100 juta biji benih dari 100 buah negara di dunia telah ditempatkan di sini. Biji benih yang disimpan terdiri daripada tanaman yang menjadi makanan asasi negara­-negara di dunia seperti beras, jagung, gandum, barli, kentang dan tumbuhan kekacang. Biji atau lazim dikenali sebagai biji benih ialah bahagian khusus pada tumbuhan yang mengeluarkan tumbuhan baru. Biji mengandungi embrio (struktur tumbuhan yang terbina sebahagiannya) yang terdiri daripada akar dan batang yang belum matang. Biji juga mempunyai bekalan makanan simpanan dan lapisan perlindungan yang kukuh. 

Biji dikeluarkan oleh kira-­kira 250,000 jenis tumbuhan. Tumbuhan jenis yang berbunga membentuk kumpulan tumbuhan pengeluar biji yang terbesar. Tumbuhan jenis ini yang dipanggil atau dikenali oleh ahli botani sebagai Angiosperma, termasuk sebahagian besar pokok sementara bagi jenis pokok renek yang ianya dikenali sebagai Gimnosperma. Kebanyakan gimnosperma mengeluarkan benih seperti 'kon'. Biji tumbuhan yang berlainan jenis berbeza­-beza saiznya. Pokok kelapa 'Dubel' didapati mengeluarkan saiz biji yang paling besar sehingga beratnya mencapai 23 kilogram. Sebaliknya saya dapat tahu yang biji orkid adalah terlalu halus dimana kehalusannya sehingga mencecah 800 000 biji orkid yang beratnya kurang daripada 30 gram. Biji terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu embrio, tisu penyimpan makanan dan kulit biji. Embrio (Embryo) aalah bahagian biji yang tumbuh menjadi tumbuhan matang. Ia mengandungi bahagian-­bahagian yang tumbuh menjadi akar primer, iaitu akar pertama yang tumbuh, batang dan daun pertama pada tumbuhan baru. Embrio juga mempunyai satu atau lebih struktur khusus, bak daun yang dikenali sebagai kotiledon. 

Biji terbentuk hasil daripada pembiakan seks apabila sperma (sel seks jantan) bersatu dengan telur (sel seks betina). Pengeluaran sel­sel sperma dan telur dalam tumbuhan biji melibatkan beberapa langkah yang rumit. Pada mulanya organ pembiakan jantan dan betina pada tumbuhan mengeluarkan sel­sel mikroskopik yang dikenali sebagai spora. Spora menjadi gametofit dimana  sebenarnya ialah tumbuhan yang hidup dalam organ pembiakan tumbuhan induk. Gametofit kemudiannya mengeluarkan sel­sel sperma dan telur. Organ pembiakan pada angiosperma berada dalam bunganya. Organ pembiakan betina dikenali sebagai pistil. Ovari, yang mengandungi dua atau lebih ovul, membentuk tapak pistil yang bulat. Tiub yang dikenali sebagai stail menganjur ke atas dari ovari dan berakhir dalam hujung yang rata yang dikenali sebagai stigma. Organ pembiakan jantan dikenali sebagai stamen. Stamen mempunyai hujung yang membesar dikenali sebagai anter. Pertumbuhan biji bermula dengan pembahagian sel dalam ovul dan dalam anter. Pembahagian sel ini mengeluarkan spora. Pada kebanyakan tumbuhan, satu spora dalam setiap ovul menjadi tumbuhan betina yang halus ini mengeluarkan satu sel telur. Dalam anter, spora tumbuhan menjadi tumbuhan jantan mikroskopik yang dikenali sebagai mikro­gametofik atau butir debunga. Setiap butir debunga mengeluarkan dua sel sperma. Supaya persenyawaan berlaku, butir debunga mesti dipindahkan dari anter ke pastil. 

Pemindahan ini dikenali sebagai Pendebungaan. Butir­-butir debunga dibawa dari anter ke stigma oleh serangga atau haiwan lain atau oleh angin yang juga bertindak sebagai agen pendebungaan. Selepas debunga sampai ke stigma, butir debunga mengeluarkan tiub debunga yang panjang, halus. Tiub ini tumbuh ke bawah melalui stail dan ke dalam ovul. Dua sel sperma menuruni tiub ke dalam ovul. Di sana satu sel sperma mensenyawakan sel telur dan embrio mula terbentuk. Sel sperma yang satu lagi bercantum dengan dua jasad yang dikenali sebagai nukleus kutub dan endosperma pun terbentuk. Selepas pensenyawaan, lapisan luar ovul berkembang menjadi kulit biji. Organ pembiakan gimnosperma pula berada dalam konnya. Gimnosperma mempunyai dua jenis kon, kon biji betina dan kon debunga jantan. Setiap sisik kon biji mempunyai dua ovul pada permukaan atasnya. Pembahagian sel berlaku dalam ovul dan setiap ovul mengeluarkan satu spora yang tumbuh menjadi megagametofit. Tumbuhan betina yang halus ini akan mengeluarkan sel­-sel telur. Sisik-­sisik kon debunga mempunyai struktur yang mengalami pembahagian sel dan mengeluarkan spora. Spora ini berkembang menjadi butir debunga. Angin membawa butir debunga dari kon debunga ke kon biji. Debunga melekat pada bahan melekit dekat ovul dan mula tumbuh menjadi tiub debunga. 

Setiap butir debunga mempunyai dua sel sperma. Selepas debunga sampai ke ovul, satu daripada sel sperma kemudian mensenyawakan sel telur yang kemudian akan membentuk embrio. Sel sperma yang satu lagi bersepai. Mega-gmetofit menjadi tisu penyimpan makanan dalam biji. Kulit biji erbentuk daripada lapisan luar ovul. Selepas biji matang, ia mengalami keadaan kurang aktif yang dikenali sebagai kedormanan apabila ia tidak bercambah. Semasa kedormanan biji tersebar daripada tumbuhan induk. Penyelerakan biji meningkatkan peluang Sesetengah biji jatuh di kawasan yang sesuai untuk tumbuh. Biji tersebar dengan pelbagai cara. Dalam sesetengah kes, buah gugur ke tanah dan biji bercambah berhampiran dengan tumbuhan induk. Walau bagaimana pun, kebanyakan biji mempunyai ciri­ciri yang membolehkannya dibawa jauh oleh angin, haiwan, air atau manusia. 

Biji yang masak bercambah melalui proses yang dikenali sebagai percambahan. Selepas disebarkan, kebanyakan biji tetap dorman dan tidak bercambah dengan serta merta. Kedormanan (Dormancy) mencegah biji daripada bercambah apabila keadaan tidak sesuai untuknya tumbuh. Misalnya, banyak biji kekal dorman semasa musim sejuk dan bercambah selepas suhu mula meningkat semasa musim bunga. Biji boleh tetap dorman untuk tempoh masa yang berbeza­beza dan masih boleh hidup, iaitu boleh bercambah dalam keadaan sesuai. Pada umumnya, biji boleh hidup dalam tempoh berbeza­beza daripada beberapa minggu sehingga 50 tahun. Dalam satu kes, ahli sains telah mendapati bahawa biji teratai yang dorman selama 10,000 tahun boleh bercambah apabila berada dalam keadaan yang sesuai untuknya tumbuh. Biji ialah sumber makanan utama untuk berjuta­juta manusia di seluruh dunia. Biji bagi bijirin seperti jagung, oat, padi dan gandum digunakan untuk membuat banyak keluaran makanan seperti roti, bijirin sarapan dan tepung. Biji tumbuhan yang dikenali sebagai legum yang termasuk kacang, pis dan kacang tanah juga penting sebagai sumber makanan. Minyak sayur yang digunakan dalam masakan diperoleh daripada biji tumbuhan seperti jagung, kacang tanah, kacang soya dan bunga matahari. Di samping itu, pengilang menggunakan minyak ini untuk membuat marjerin, minyak salad dan lelemak. Perasa dan rempah ratus seperti adas, biji sawi dan lada hitam diperoleh daripada biji dan biji juga digunakan dalam pengeluaran bir, kopi, koko dan minuman lain. Biji juga digunakan dalam pembuatan banyak keluaran bukan makanan. Minyak biji ialah ramuan utama dalam bahan pencuci, sabun, cat dan varnis. Tepung jagung daripada endosperma biji jagung digunakan dalam pembuat dan perekat, biji letupan, dan keluaran lain. Kebanyakan makanan haiwan ternakan juga terdiri daripada biji jagung, oat dan bijian lain. Sesetengah biji, termasuk biji deadly nightshade dan tumbuhan minyak jarah membekalkan bahan yang boleh digunakan dalam ubat. Untuk mengetahui secara lebih terperinci mengenai biji, angiosperma, gimnosperma, kotiledon, debunga, dan tumbuhan para pembaca bolehlah merujuk Ensiklopedia Dunia Jilid 4 dan jilid-­jilid lain bagi rencana yang berkaitan. Saya harap artikel ini memberikan ilmu pengetahuan kepada pembaca blog ini. Wasallam!


PERANAN BIJIBENIH..PENTING SEKALI....

BENIH BIJIRIN...KEPERLUANNYA TINGGI...
BIJIBENIH DIMAKAN...GANDUM DAN PADI...
MEMBIAKKAN BENIH...CARA SEMULAJADI...

By,
M Anem
Bandar Baru Bangi,
Bangi, selangor,
Malaysia
(29 Syawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...