Support My Blog

Friday, September 28, 2012

BAJA UREA

BAJA UREA adalah sejenis baja sebatian organik berasaskan NITROJAN yang sangat penting didalam bidang tanaman dan ternakan. Baja urea juga dikenali dengan nama 'Carbamide' dan ianya merupakan baja mengandungi 46% N dengan formula  (NH2)2CO  yang fungsinya menyerupai baja kompos dalam tanah. Saya kenal nama urea semenjak kecil dulu ketika mengikuti bapa menabur baja urea dalam sawah padi di Muar, Johor sekitar tahun 1970'an. Baja urea memang tidak asing bagi saya dengan baunya yang masam , berbutir , berwarna putih serta berkristal apabila dikeluarkan daripada dalam karung. Penghasilan baja urea kini dikemorsilkan dengan cara sintetik dan berskala besar-besaran dengan diproses daripada bahan berasaskan petrolium iaitu Amonia dengan Karban dioksida. Semasa belajar di universiti dulu, saya diberitahu bahawa baja urea ditemui oleh seorang saintis Perancis iaitu Hillaire Roulle pada tahun 1773 tetapi hanya di komersilkan sebagai baja sintetik pada tahun 1828 iaitu 55 tahun selepas ianya dijumpai. Artikel petang Jumaat ini sambil berehat sempena cuti dari bekerja, saya menulis artikel mengenai baja urea dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukan dan bacaan anda semua.

Pengeluaran baja urea moden kini dibuat secara besar-besan dengan menghydrasi bahan kimia Amonia carbamate dengan menggunakan tekanan dan suhu pada ketinggian khusus. Lazimnya reaktor bertekanan tinggi dalam serombong digunakan bagi proses ini. Kilang Asean Fertilizer di Bintulu, Sarawak merupakan salah satu kilang yang menghasilkan baja urea iaitu sebuah syarikat berasaskan petrolium yang berkapasiti untuk bekalan baja ures di kawasan Asia Tenggara. Baja urea memang mengandungi unsur paling tinggi dalam mana-mana jenis baja dipasaran. Hampir 90% daripada pengeluaran baja didunia adalah dlam kategori baja berasaskan nitrojen (Nitrogen-release fertilizer). Kebanyakan bakteria dalam tanah menghasilkan enzim urease iaitu memproses baja urea daripada bahan pereputan atau baja urea kepada amonia dan karban dioksida.  Bakteria seperti 'Nitrobacter' mampu menghuraikan Nitrit kepada Nitrat dalam tanah untuk mengikut teori Kitaran Calvin.

Baja urea (Lihat formula disebelah) merupakan sejenis baja yang mengandungi unsur N paling tinggi dalam pasaran iaitu 46%N dan merupakan antara jenis baja paling murah dipasaran. Baja ini murah disebabkan proses pembuatannya mudah iaitu daripada bahan Nafta (Crude naphtha). Baja urea sangat selamat disimpan kerana tidak memberikan sebarang risiko seperti letupan tetapi ianya mudah menyebabkan karat pada metal dan besi. Baja urea amat luas skop penggunaanya iaitu hampir boleh diguna untuk semua jenis tanaman. Lebih signifikan lagi ianya boleh diaplikasi untuk semua jenis tanah di Malaysia. Selepas baja urea diambil oleh tumbuhan dan diproses pada daun, tidak ada kesan sisabaki yang tinggal kecuali karban dioksid yang akan berinteraksi dengan bakteria dalam proses penguraian baja ini. Karbon dioksida dalam tanah tidak merosakkan kualiti tanah.

Terdapat beberapa kelemahan pada baja urea yang perlu kita tahu. Baja urea adalah sejenis baja yang mudah larut dalam air dan bersifat Higroskopik (Hygroscopic water). Sifat ini diertikan dengan ujudnya satu lapisan nipis yang menyelaputi butiran partikel tanah menyebabkan yang menghalang air dari tanah diserap oleh tumbuhan. Baja urea adalah sejenis baja sbatian yang tidak stabil. Ianya mudah rosak (decompose) dalam suhu bilik jika terdedah kepada keadaan terbuka. Baja urea akan terurai kepada unsur amonia dan karbon dioksida yang akan mengakibatkan kehilangan baja urea yang sangat ketara. Kajian mendapati jika baja urea mengandungi bahan asing melebihi 2% (more than 2% impurities) maka ianya tidak boleh digunakan sebagai baja terutama terhadap tanaman dari keluarga Citrus. Kebanyakan bentuk baja urea dipasaran adalah dalam bentuk 'granule' atau butiran (lihat foto sebelah atas) yang dibungkus dalam karung yang kedap udara.

Apakah dia keistimewaan dan faedah baja urea?. Banyak rujukan yang saya buat menyatakan yang baja urea adalah murah dan cepat bertindakbalas dengan tumbuhan. Ramai kata kalau hendak daun tanaman kita berdaun hijau gelap, gunakan baja urea keatas tanaman tersebut. Baja urea boleh diaplikasikan dalam 3 cara iaitu dalam bentuk cecair (solution), pepejal (solid) dan paling istimewa sebagai Baja foliar (semburan baja daun). Baja ini juga selamat digunakan dan disimpan tanpa menyebabkan letupan (kini ada dakwaan yang baja urea boleh dibuat bahan letu[an seperti bom!). Pengendalian baja urea adalah mudah, cekap, murah serta senang diaplikasikan didalam kebun atau untuk aktiviti ternakan. Proses pembuatan baja urea juga didapati kurang menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana menggunakan bahan yang mudah larut. Kesan baja tumbuhan terhadap prestasi tanaman juga amat signifikan dan mampu meningkatkan hasil tanaman.  Cara menggunakan baja urea terbaik adalah semasa membajak tanah untuk mempastikan ianya terdapat pada tanah semasa penanaman. 

Baja urea juga ada beberapa pantang-larang. Diantaranya adalah jangan sesekali menyimpan baja urea bersama dengan Amonium nitrate dalam setor. Ini akan mengakibatkan kerosakan kepada baja tersebut. Simpan didalam setor yang berbumbung, mempunyai ruang udara mencukupi, ada alas rak-rak kayu dan jangan di letak diatas simen (Lihat foto sebelah). Jangan gunakan bahan metal tajam seperti augers untuk mengalihkan beg baja urea kerana ini akan mencederakannya dan pembalutnya akan rosak. Ketika menabur urea, pastikan pada jarak 50 kaki iaitu jarak yang sesuai dan selamat. Elakkan baja urea dari terkena biji jagung kerana ianya akan menyebabkan biji jagung rosak dan tidak sesuai untuk ditanam. Jika menabur baja urea pada tanah yang telah mempunyai pH 7.5, dengan segera jalankan pembajakkan untuk memasukkan baja urea kedalam tanah kerana jika tidak akan sia-sia belaka penggunaan baja urea tersebut.

Demikianlah coretan mengenai baja urea kali ini. InsyaAllah akan disambung lagi dengan teknologi aplikasi dan keberkesanan baja urea dalam mempastikan tanaman dapat tumbuh dengan baik dan memberikan hasil yang optima. Wasallam.

BAJA UREA...POPULAR NAMANYA....
AMONIUM CARBAMATE..MUDAH PROSESNYA...
KURANG MERBAHAYA...MURAH HARGNYA...
PETANI GUNAKAN...TINGGI HASILNYA...

By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(11 Dzulhijjan 1433H)


       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...