KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 3, 2011

CENGKIH

CENGKIH (Eugenia caryohyllus or Eugenia aromaticum syn Syzygium aromaticum) dari keluarga MYRTACEAE adalah sejenis tumbuhan rempahratus yang terkenal semanjak zaman dulu kala sehinggakan orang-orang Eropah datang menjejaki kawasan Asia bagi mendapatkannya. Cengkih di percayai berasal dari Mollucas, Indonesia dan kini ditanam di Brazil, West Indies, Zanzibar, Tanzania, Madagascar, India dan Sri Lanka. Penanaman cengkih di Malaysia tidak komersil dan tiada maklumat rasmi keluasan tanaman cengkih di Malaysia. Jabatan Pertanian pernah menjalankan beberapa projek penanaman cengkih pada awal tahun 1960-1980'an terutama dikawasan pulau-pulau di sekitar Semenenjung. Bagaimana pun projek penanaman cengkih kurang berjaya disebabkan petani tidak berminat dengan tanaman ini yang memberikan pendapatan sedikit serta proses yang agak rumit. Pokok cengkin kini ditanam didalam beberapa stesyen pertanian dan juga dijadikan tanaman ornamental. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman cengkih berdasarkan buku teks agronomi, kajian dari laporan teknikal dan rujukan persendirian.

Cengkih juga di panggil sebagai Cloves (Inggeris), Grampoo; lavangam ; Lavang ; Lavangalu ; Krabu (India), dinh hurong (Vietnam), ding heung (China), ley-nyin-bwing (Myanmar), gahn plu (Thailand), clou de girofle (Perancis), Gewuzenelke (German) dan chiodo di garofano (Itali). Pokok Cengkih memerlukan hujan yang banyak melebihi 3,500 mm setahun dan lembab dimana saya dapati perlu ada musim kering untuk aktiviti penuaian hasil. Terdapat sebanyak 3,000 spesis cengkih dalam keluarganya dimana kebanyakkannya terdapat dikawasan tropika dan sub-tropika. Pokok cengkih hidup rendang dengan banyak cabang dan mampu mencapai ketinggain sehingga 18-20 meter (liar) tetapi untuk perladangan cuma 7-12 meter tinggi sahaja dan perlu dibuat pangkasan. Kulit batang pokokk cengkih berwarna kelabu (gray) bercabang yang agak rendah. Daun berbentuk 'lanceolate' berwarna hijau gelap berkilat dan mempunyai bau yang wangi. Kuntum bunga cengkih lazimnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna kemerahan apabila mekar (Lihat foto diatas). Bunga cengkih pula berkumpulan (group) dengan 4 kelopak yang akan menghasilkan buah berwarna ungu berukuran 2.5 cm panjang. 

Cengkih dibiakkan dengan pemilihan biji benih cengkih yang bersaiz agak besar dari buah segar yang telah cukup matang. Kadar kehilangan kesuburan (vigorous) biji benih sangat cepat jika dibiarkan buah terlalu masak. Biji disemai dibawah tapak semaian berteduh selama 12 - 18 bulan sebelum diubah kekebun (Lihat foto benih cengkih disebelah). Jalankan proses pengerasan (Hardening process) pada semaian anakbenih sebelum menanam. Sediakan lubang penanaman dan masukkan baja asas seperti MOP, Baja Organik dan sebagainya. Jarak tanaman pokok cengkih yang disyorkan 4-5m x 3-4m bergantung kepada kesesuaian tanah dan terrain. Anak pokok yang baru ditanam perlukan lindungan atau naungan dari kerosakan akibat angin atau kekeringan. Kawalan rumpai dijalankan dengan cara manual atau kimia. Saya dapati cara pembajaan cengkih menggunakan baja organik dan NPK dengan kadar disyorkan.

Pokok Cengkih dilaporkan memang tidak mempunyai sebarang masaalah serangan serius oleh perosak dan penyakit. Pada keadaan biasa, pokok cengkih akan mula berbunga 6-8 tahun selepas ditanam. Bunga cengkih akan keluar dari bahagian hujung pucuk dahan (Lihat foto sebelah). Kajian menunjukkan bahawa pokok cengkih mempunyai jangkahayat sehingga 60 tahun atau lebih jika dijaga dengan baik dan tidak diserang penyakit. Penuaian bunga cengkih dijalankan dengan memetik buah-buah cengkih yang telah matang menggunakan tangan. Bubnga cengkih yang telah matang lazimnya akan berwarna gelap dan ianya perlu dipetik sebelum bunga terbuka dan ia kemudian perlu dikumpulkan. Bunga cengkih tersebut akan di jemur dibawah sinaran matahari diatas tikar plastik atau tikar buluh yang sesuai untuk selama 2-4 minggu sehingga kering. Saya dapati bunga cengkih akan berwarna coklat kehitaman (Lihat foto aktiviti menjemur cengkih dibawah).

Cengkih digunakan sebagai rempah untuk masakan terutama masakan popular di Malaysia dan di India iaitu Nasi Beriyani atau masakan 'masalla'. atau masakan lain. Dikalangan negara BArat seperti di Eropah, cengkih diproses untuk dibuat cheese, speculaas ; hachee (makanan Belanda), masakan daging dan pelbagai lagi kegunaan dalam permakanan mereka. Bunga Cengkih juga merupakan komponen penting dalam membuat ramuan serbuk kari. Cengkih juga merupakan satu komponen utama untuk membuat jeruk (pickles). Rokok Kretek (Sempoerna) menggunakan cengkih sebagai komponen utama dicampur dengan daun tembakau yang kini telah menjadi satu produk kebanggaan dari Negara Indoesia. Ketika saya melawat kilang rokok jenama 'SAMPOERNA' di Surabaya 2009, saya kagum kerana mendapati kilang tersebut mampu memproses berjuta-juta batang rokok kretek secara manual (manusia yang menmbuat rokok tanpa mesin). Daun tembakau yang telah diadun dengan ramuan pelbagai bahan termasuk bunga cengkin digulung dengan kertas putih oleh pekerja wanita dengan cekapnya.

Penggunaan cengkih yang di hisap juga dapat mengurangkan ketagihan alkohol. Dari segi perubatan didapati cengkih dapat mengubati cirit-birit, kurap (ringworm), hernia, pelbagai sakit kulit dan memperbaiki sistem penghadaman dalam perut. Kajian pakar Ayuverda India pula mendapati cengkih mampu mengubati masaalah sistem pernafasan dan sistem penghadaman. Di Jerman para doktor menggunakan cengkih sebagai salah satu ramuan untuk anti-gout. Sejak dulu kita diberitahu oleh orang tua kampong untuk gunakan cengkih bagi mengurangkan sakit gigi...cubalah!. Sebenarnya cengkih digunakan untuk bahan pembersih mulut dalam bentul larutan. kajian lanjut telah dibuat dengan cengkih bagi rawatan kanser dan antioksidan. Cengkih juga membasmi kuman terutama dalam usus manusia, melegakan urat-urat yang tegang dan banyak lagi kegunaanya.

Kajian lanjut mungkin boleh djalankan di Malaysia mengenai potensi tanaman cengkih di Malaysia. Beberapa isu seperti kekurangan klon yang sesuai, kaedah penuaian manual perlukan tenaga buruh ramai, penentuan kawasan yang sesuai, teknologi tersedia mungkin boleh dikenalpasti. Bagaimanapun satu bidang yang sesuai dijalankan di Malaysia mengnenai cngkih adalah menjadikan cengkih sebagai industri asas tani untuk dijadikan bahan makanan, kosmetik, produk perubatan dan sebagainya. Kalau susah nak keluarkan sedniri kita boleh buar aktiviti hiliran mengenai cenkih.


TANAM CENGKIH....HASILNYA LAMBAT....
BELI CENGKIH....DARI MERATA TEMPAT...
GUNAKAN CENGKIH ... SEBAGAI UBAT...
WALAU BERUMUR ... RASANYA HEBAT....

Related articles:
1. Buah Pala (Klik disini)
2. Jintan (Klik disini)
3. Ketumbar (Klik disini)
4. Asam Gelugor (Klik disini)
5. Buah Keras (Klik disini)
6. Buah Pelaga (Klik disini)
7. Lada Hitam (Klik disini)
8. Cili Padi (Klik disini)

By,
M Anem
Senior Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(Updated on 13 April 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...