Saturday, January 22, 2011

CIKU - Mengetut Pokok Ciku

Reactions: 

POKOK CIKU (Manikara sapota) merupakan sejenis buah tempatan dari keluarga SAPOTACEAE yang merupakan sejenis tanaman berkayu keras. Ia ditanam untuk tujuan pengeluaran buah  ciku segar di Malaysia terutama disekeliling kawasan rumah secara tradisional dalam dusun bercampur. Pokok ciku dipanggil sebagai 'Sawo' di Indonesia. Terdapat seluas 1,115 hektar tanaman ciku dengan pengeluaran sebanyak 6,050 mt pada tahun 2012 di Malaysia. Penanaman pokok ciku boleh ditanam daripada anakbenih (Lebih mudah) berbanding dengan penanaman dengan menggunakan bahan biji benih (seeds). Saya dapati kaedah pengeluaran benih pokok ciku secara mengetut konvensional adalah lambat mengambil masa 7-8 bulan untuk dijadikan anak benih. Artikel kali saya ingin menberikan satu teknologi baru dalam "Anim Agro Technology" iaitu satu teknologi untuk mempercepatkan proses pengeluaran anak benih ciku tanpa menggunakan tanah dan cepat dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan saya dari majalah Trubus keluaran Disember 2010 dan pengalaman penulis sendiri untuk dikongsikan dengan pembaca serta hasil dari pemerhatian saya di beberapa stesyen pertanian serta kebun petani.

Kaedah lama untuk mengetut pokok ciku adalah dengan cara mengkelar dahan pokok sepanjang 3-4 cm dan mengikis lapisan kulit kambium kemudian dibalut dengan tanah atau 'cocopeat' dan dibalut dengan plastik jernih sebelum diikat dikedua-dua bahagian tut tadi. Secara teknikal diketahui sel-sel pokok ciku adalah lambat dalam mengeluarkan sel baru terutama untuk pengeluaran akar. Biasanya tempoh mengetut akan mengambil masa selama 7-8 bulan sebelum boleh di potong dan dimasukkan dalam polibeg benih tanaman. Kadar kejayaan cara konvensional mengetut pokok ciku juga tidak menentu kejayaannya bergantung kepada cuaca, kesuburan pokok, kemahiran pengetut dan beberapa faktur lagi. Ini akan menjadikan harga anakbenih ciku dipasaran sentiasa agak tinggi berbanding dengan tanaman buah-buahan yang lain dan untuk mendapatkan jumlah yang banyak juga agak terhad bekalannya. Pokok ciku merupakan pokok saka yang mempunyai dahan keras dan kadar pertumbuhan yang perlahan.

Kini terdapat satu teknologi di Indonesia telah di dapati kaedah mengetut pokok ciku yang mudah dan tanpa menggunakan media (tanah dll). Hanya dengan menyiat kulit dahan dari atas kebawah secara serong sepanjang 1-2 cm menggunakan pisau tajam bertujuan melukakan jaringan kulit. Sisipkan lurah luka dengan plastik yang telah disapu dengan 3 jenis hormon iaitu Giberalin (GA3, GA7 dan GA12) bersama Asid traumalin. Ketiga-tiga hormon tersebut berfungsi sebagai pagen penggalak pengakaran dimana asid traumalin sebagai bahan yang mampu merangsang atau mempercepatkan proses penyembuhan luka pada dahan pokok. Balut kawasan sisipan tadi dengan plastik jernih untuk mengawal kelembapan. Selepas 15 hari akan timbul bonjolan-bonjolan dari sisipan tadi. Bonjolan ini akan menjadi akar lama kelamaan. Pada masa itu balutan plastik di buka dan balut atau tampal dengan plastik yang mengandungi cocopeat atau moss. Selepas 2 bulan tut tersebut di potong dan boleh di alihkan ke dalam polibeg anak semaian tut pokok ciku.

Teknologi ini mendapati hanya 2.5 bulan sahaja proses untuk tut pokok ciku boleh di alihan ke polibeg anak semaian berbanding dengan kaedah lama perlukan 7 - 8 bulan lamanya. Paling ideal pilih dahan ciku yang bersaiz ukurlilit ibujari dan paling kecil dahan berukuran rokok. Kejayaan kaedah ini mempastikan penghasilan anak pokok ciku dapat dicepatkan dan boleh dibiakkan dengan lebih terjamin. Pokok ciku ditanam dengan jarak tanaman 9 meter x 9 meter memerlukan sebanyak 123 pokok sehektar. Kajian oleh Jabatan Pertanian mendapati potensi hasil pokok ciku sebanyak 8.2 mt sehektar (3-6 tahun), 28.5 mt/ha (7-15 tahun) dan sebanyak 45.4 mt/ha (16-21 tahun) serta optima sebanyak 60 mt/ha pada tahun ke 22-25 tahun.


BERIKUT TEKNOLOGI MENGETUT TANPA MEDIA:-

1. Pilih dahan ciku yang sesuai (Saiz rokok atau ibujari).
2. Buat hirisan menyerong dari bawah ke atas sepanjang 1-2 cm didahan dengan piisau tajam yang telah disteril dengan kedalaman 2/3 bahagian.
3. Siapkan larutan campuran Giberalin (GA3, GA7 dan GA12) serta Asid traumalin.
4. Sapukan larutan tadi kepada selembar plastik.
5. Masukkan atau selitkan lembaran plastik kedalam luka siatan tadi.
6. Balut tempat siatan/tut tadi dengan plastik jernih untuk kawal kelembapan.
7. Selepas 2 minggu akan keluar bonjolan pada siatan tadi yang akan jadi akar.
8. Setelah akar agak panjang, buka balutan plastik dan bungkus dengan karung atau tampalan plasti mengandungi moss/cocopeat lembab.
9. Selepas 1-2 bulan potong dahan tersebut untuk di alih kedalam polibeg anakbenih ciku atau terus di tanam di kebun.


SELAMAT MENCUBA!!!

BELAJAR MENGETUT ......POKOK CIKU.....
CARA LAMA....LAMA 8 BULAN TAHU...
TEKNOLOGI BARU...CEPAT DAN JITU....
TANAM CIKU...ANAK BENIH DI PERLU...


Related articles:
1. Cuku Mega C 19 (klik disini)
2. Klon Ciku di Malaysia (Klik disini)
3. Nama Lain - CIKU (Klik disini)
4. Buah popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11,
Putrajaya
Malaysia
(Kemaskini pada 13 Mac 2013)

2 comments:

  1. Artikel ini bagus untuk dibaca dan kemudian dicuba sendiri. Boleh buat duit dengan jual benih ciku.

    ReplyDelete
  2. salam. kalau pokok kopi boleh tut tak?

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA