KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, May 18, 2010

RAMBAI - BUAH NADIR?


RAMBAI (Baccaurea motleyana Mull) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari Keluarga Euphobiaceae dipercayai berasal dari Malaysia. Tanaman ini juga terdapat di Indonesia, Borneo dan juga beberapa kawasan di Asia Tenggara. Jabatan Pertanian tidak ada merekodkan secara rasmi berapa jumlah keluasan sebenar pokok rambai di Malaysia kerana ianya di tanam secara tidak tersusun seperti buah-buahan jenis lain (Penulis ada membuat rujukan dan ada kiraan secara CHE sekitar 30 - 45 hektar pada tahun 1994). Kebanyakan pokok rambai yang ada dibiakkan melalui biji oleh manusia atau binatang (oleh musang, tupai , burung dsb). Artikel ini saya tulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah Rambai berdasarkan kajian penulis dan satu artikel daripada penyelidik MARDI yang saya rujuk dalam satu seminar Biodiversiti International di Tawau, Sabah serta membuat rujukkan dari beberapa buku teknikal.


Buah rambai ada yang jenis Manis tetapi kebanyakkanya Masam. Terdapat beberapa jenis buah rambai yang boleh dikomersilkan jika kajian lanjut dibuat oleh pihak2 berwajib bersama-sama pakej teknologi yang sesuai. Kegunaan lain pokok rambai ialah untuk dijadikan pokok hiasan, pokok naungan selain dari kayunya yang boleh dijadikan tiang atau perabut atau ukiran. Buah rambai boleh di makan segar dengan memakan isinya dan dibuang kulitnya. Selain itu kulit buah rambai boleh dikeringkan selama 2-3 hari untuk dibuat halwa, jeruk dan sebagainya. Kulit yang telah kering berwarna hitam jika di proses jadi serbuk yang dipercayai mampu melicinkan kulit muka. Kulit batang pokok rambai juga boleh digunakan sebagai bahan pewarna.


Saya ada membaca artikel dari MARDI yang mengkaji kandungan buah rambai. Setiap 100 gram buah mengandungi 142 mg potasium, 9.7 mg Posforus, 5.4 mg Kalium dan 11.8 mg Magnesium. Bagaimana pun kandungan vitamin rambai agak rendah iaitu cuma 11.2 mg vitamin C, 0.55 mg Thiamine (Vitamin B1) serta 0.11 mg Riboflavin (Vitamin B2). Bentuk buah rambai juga berbeza2 dari bentuk bulat, lonjong, oblong dan ovoid. Saiz buah juga berbeza antara 2.3 - 3.8 cm panjang dan 1.5-3.3 cm lebar. Rasa buah rambai masam, manis dan kebanyakannya masam2 manis. Artikel tersebut juga menyatakan jenis masam2 manis disukai.

Penanaman rambai menggunakan biji benih yang terpilih dari pokok yang menghasilkan buah yang manis. Biji rambai disemai dalam polibeg berisi tanah campuran 3:2:1 dan semai biji benih. Setelah anak benih berumur 4-6 bulan alih untuk ditanam di ladang dengan jarak 10 m x 10 m. Pertumbuhan pokok rambai agak perlahan pada 2 tahun pertama. Kawalan rumpai dijalankan dengan manual atau kimia. Pokok rambai kurang menghadapi serangan penyakit dan perosak.Pembajaan dengan baja organik dibuat dengan kadar 2 kg sepokok/tahun (Ikut umur). Baja buah NPK 12:12:17:2 diberikan dengan kadar 20-40 gm/pokok sebanyak 3-4 kali aplikasi setahun. Saya ada berjumpa beberapa petani di Johor yang ada pokok rambai gunakan baja organik, garam dan baja impot jenis Yara dan hasilnya buah rambai jadi manis!


Terdapat 5 jenis rambai yang di dapati di Malaysia iaitu:
a. Rambai Telur
b. Rambai Lumut atau Rambai Hijau
c. Rambai Jantung
d. Rambai Langkawi
e. Rambai Sarawak

Rambai Sarawak mempunyai saiz paling besar iaitu antara 19 - 21.36 gram setiap biji. Kebanyakan jenis tersebut diberi nama berasaskan kepada lokaliti dan juga bentuk buah. Rambai telur contohnya berbentuk bulat yang mempunyai kulit licin dan halus seperti kulit telur. Rambai Lumut mempunyai kulit berwarna hijau walau pun telah matang tetapi kulitnya akan tetap berwarna hijau. Rambai Jantung kerana buahnya berbentuk jantung (elipsoid) dan mempunyai 1 biji sahaja didalamnya. Rambai Langkawi berasal dari Pulau Langkawi dimana buahnya bulat berwarna coklau kekuningan dan masih banyak ditanam di Pulau Langkawi.

Pada masa ini belum ada petani atau kebun yang mengusahakan ladang rambai secara komersil. Pokok rambai dikawasan dusun tradisional hanya menumpang baja dari pokok buah-buahan lain. Musim berbuah rambai di Malaysia dalam bulan Julai-September dan buah yang masak akan dituai dengan memotong tangkai buah. Buah di makan segar oleh pemilik atau kadang-kadang dijual di tepi jalan (tahan hingga 2-4 hari) atau dihantar kepada peraih/pemajak buah. Harga jualan di Muar dan Tangkak sekitar RM 2.00 - RM 3.00 sekilogram. Ada juga yang dijual sehingga RM 4.00 jika ada jaminan buah rambai tersebut manis. Pasar Tani dan Pasar Malam di Melaka sering ada jual rambai musim buah tersebut berhasil. 
Pokok rambai sedia ada perlu dibuat kajian potensi jika ada yang sesuai untuk di komersilkan. Pemilihan klon-klon rambai yang khusus perlu dikenalpasti begitu juga dengan teknologi amalan agronomi seperti program pembajaan, kaedah cantasan, kawalan musuh dan penyakit serta program lepas tuai. Kita juga kena mempastikan luang pasaran untuk buah rambai segar. Kajian juga perlu untuk memproses produk pokok rambai untuk tujuan perubatan, kosmetik dan lain-lain kegunaan.



MAKAN RAMBAI... ADA YANG TELAN BIJI....
SAKIT PERUT... BELAKANG RUMAH PERGI....
BIJI RAMBAI TUMBUH... KUTIP BUAH LAGI....
BEGITULAH SEJARAH....DULU DAN
KINI....

Related articles:

1. Dokong (Klik disini)
2. Penyakit Buah-buahan (Klik disini)
3. Pokok Chichona -Quinine tree (Klik disini)
4. Struktur Tumbuhan (Klik disini)
5. Kurma (Klik disini)
6. Duku (Klik disini)
7. Duku - Teknik memetik buah (Klik disini)
8. Langsat (Klik disini)
9. Dokong - Kawal Keruping (Klik disini)
10. Dokong Chantaburi (Klik disini)
11. Dokong - Part 1 Bahan Tanaman (Klik disini)
12. Dokong - Part 2 Agronomi (Klik disini)
13. Dokong - Part 3 Penuaian hasil (Klik disini)


By
M Anem

Senior Agronomist,
Precint 11,
Putrajaya

WP, Malaysia.
(Kemaskini artikel pada 17 Ogos 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...