KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, May 29, 2010

Jering


JERING (Archidendron jiringa) adalah sejenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara seperti diIndonesia, Filippina,Thailand adalah dari keluarga Leguminocae. Di Indonesia ia dikenali dengan nama Djengkol (Jawa) dan dimakan sebagai Ulam dengan nasi dan sambal. Nama lain jering adalah seperti tangyin ; tanyeng-pen (Myanmar), niang ; niang-nok ; chaniang (Thailand) dan jingkol ; jringkol ; jengkol (Indonesia). Pengarang blog mempunyai pengalaman dalam menanam, menjaga, memetik hasil dan memakan buah jering semenjak kecil lagi kerana di sekeliling rumah saya di Muar, Johor ada sebanyak lebih 10 pokok jering. Jering dipercayai adalah natif atau berasal dari Malaysia dan Indonesia serta ditanam di Thailand, Bangladesh dan Myanmar. Tidak ada laporan rasmi dapat disemak daripada Jabatan Pertanian mengenai keluasan tanaman jering di Malaysia tetapi pengarang menganggarkan sekitar 33.5 hektar CHE sahaja. Ia tidak ditanam secara monokrop tetapi kebanyakannya adalah sebagaii tanaman campuran didalam dudun buah-buahan atau tanaman sekitar rumah. Sebahagian pokok jering juga tumbuh didalam hutan yang mana hasilnya akan dikutip oleh pihat tertentu mengikut musim. Artikel dalam 'Anim Agro Technology' kali ini saya menulis berkaitan teknologi tanaman ulaman atau kategori rempahratus iaitu jering sebagai tanaman ulaman yang popular di Malaysia dan Indonesia berdasarkan pembacaan, pengalaman selama lebih 31 tahun dalam sektor pertanian dan kajian oleh penulis sendiri.


Daripada pembacaan saya kemudiannya dapat maklumat iaitu dari sumber rasmi Jabatan Pertanian ada melaporkan anggaran keluasan tanaman Jering 2010 seluas 33.5 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 225 metrik. Anggaran dan nilai pengeluaran jering di Malaysia sekitar RM 698,000 sebagai jering segar. Kebanyakan pasaran jering dipasar biasa, pasar malam, pasar tani, pasar tamu dan beberapa lokasi lagi tetapi kadang-kadang ia masuk juga dalam pasaraya. Penanaman jering seperti juga pokok petai hanya ditanam secara bercampur dengan pokok buah-buahan lain disekitar rumah atau kebun. Belum ada catatan rasmi mengenai kebun jering yang ditanam secara 'monocrop' dikawasan yang luas. Kajian saintifik dilakukan dalam makmal menunjukkan setiap 100 gram jering mengandungi air (93 g), Protin (3.5 g), Lemak (0.1 g), Karbohiderat (1.7 g), Kalsium (21 mg), Posforus (25 mg), Fe (0.7 mg), Vitamnin A (240 IU), Vitamin B (0.1 mg), Vitamin C (12 mg) dan tenaga sebanyak 92 kJ (Buku PROSEA : Vegetable production for ASEAN country - 1994). Jering juga mengandungi asid amino yang tinggi dah bahan cysteine. Biji jering yang masak mengandungi kanji sebanyak 70%. Purata berat biji jering adalah 15 gram sebiji. Jering adalah jenis ulaman yang sangat baik untuk dimakan tetapi masih ramai masyarakat generasi baru memang tidak mahu menyentuh akan buah jering ini. 




Pokok jering adalah jenis rimbun yang mempunyai banyak dahan dan mampu mencapai ketinggian sehingga antara 15-20 meter. Daunnya berwarna hijau dengan daun muda biasanya berwarna coklat gelap. Batang pokok berkayu keras tetapi dahannya mudah sekah terutama apabila banyak daun. Buah jering berwarna coklat hitam bertangkai dengan sebanyak 5-20 biji setiap tangkai. Tangkai jering agak liat untuk di leraikan dari pucuk dan jadilah peribahasa "Tangkai Jering". Buah yang masak terlalu tua tidak dituai akan kering dan gugur ketanah. Kadang-kadang biji yang kering ini akan tumbuh sebagai anak benih. Jering apabila dimakan akan mengeluarkan rasa kelat dan bau yang kuat pada mulut dan air kencing. Ramai orang muda dan juga penduduk bandar tidak menggemari jering kerana bau tersebut. Jering yang dikatakan berbau apabila makan pada mulut dan kening menyebabkan generasi baru memang tidak menyukainya berbanding dengan kesukaan mereka makan burger, sushi, nasi arab dan ayam goreng masa kini. Jering perlukan beberapa promosi akan khasiatnya secara berkal agar generasi baru akan terus kenal akan hasil ulaman tempatan yang berkhasiat ini.


Jering sesuai ditanam di dalam iklim tropika dengan kawasan yang mempunyai saliran yang baik. Anak benih biasanya daripada biji jering yang matang dan disemai. Anak benih ditanam dalam lubang penanaman dengan jarak disyorkan 20 meter x 15 meter. Pembiakan jering secara liar dikawasan kebun atau dihutan biasanya oleh Tupai (Callosiurus notatus - Treeshrew) yang makan jering dan membawanya merata kawasan lalu tumbuh. Belum ada amalan Pakej Teknologi tanaman ini tetapi pembajaan NPK 12:12:17:2 dengan kadar 40-60 gram setahun dan pembajaan organik sesuai di berikan jika pokok keliling rumah sekali dengan pembajaan dusun buah-buahan boleh tingkatkan kuatiti dan kualiti hasil. Bagi sesetengah lokasi dimana tanahnya agak masam sebaiknya diberikan kapor dengan kadar kekerapan setahun sekali. Cantasan pembentukkan pokok jering perlu dilakukan mengikut masa sesuai untuk mendapatkan pokok yang tidak begitu tinggi dan seimbang pertumbuhannya.




Antara masaalah tanaman jering di Malaysia adalah serangan Ulat Pengorek Buah (Mussidia pectini-cornella) atau Ulat jenis Cryptophalebia ombrodelta yang makan biji jering dan akibatkan berkubang dan berwarna hitam. Serangga lain adalah Ulat Makan Daun Muda (Eurema blanda) yang mana serangga ini boleh dikawal dengan racun sistemik semasa bukan musim berbunga atau berbuah. Tanaman jering sebenarnya lasak jika ia tumbuh sendiri didalam kawasan hutan. Ia amat jarang diserang perosak kerana sifat semulajadinya yang tidak disukai oleh perosak. Bagaimana pun pokok dedalu sering menyebabkan ia sebagai tumbuhan yang tumbuh pada pokok jering yang boleh menyebabkan kemusnahannya jika tidak dikawal. Anda boleh juga baca mengenai pokok dedalu dalam tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Lazimnya musim jering aktif berbuah di Malaysia adalah pada bulan Jun-Ogos dan juga luar musim pada Disember - Febuari. Pemerhatian saya mendapati sepokok jering yang dewasa dan matang mempu mengeluarkan antara 1,000 - 4,000 biji buah jering.

Pokok Jering mulai berbunga dan berbuah selepas 4-6 tahun ditanam. Bunga terbentuk dibahagian hujung dahan dan sesuai dipetik selepas warna bertukar coklat gelap dan berisi. Cara petik biasanya dengan gunakan galah buluh atau aluminium panjang yang ada mata pisau dihujung dan potong tangkainya. Buah yang jatuh perlu dibersihkan dan digred mengikut saiz. Kajian penulis di Muar dan Melaka di Pasar Tani dan Pasar Malam mendapati buah jering dijual dengan kiraan 10-15 biji dengan harga RM 2.00-RM3.00 satu longgok. Kebanyakkanya dijual dalam bentuk Jering Muda dimana isinya masih lembut dan sebahagian kecil sahaja dijual sebagai jering tua (isi keras).


Kajian klinikal oleh saintis tempatan menyatakan jering mengandungi 3.5% porotin, 0.1% Lemak, 1.7% Karbohiderat, kalsium, Posforus, Iron, Vitamin A, Vitamin B dan Vitamin C. Kandungan bahan alkoloid dalam jering akan menyebabkan rangsangan membuang air kecil (Kencing). Jering dikatakan baik untuk pengidap penyakit kencing manis dengan memakannya secara terkawal dan berterusan. Jering didakwa dapat meneutrealkan kandungan gula dalam darah! Tetapi tahankah ahli keluarga dengan bau kencing setiap hari? Ada kajian lain menyatakan jering adalah dari jenis racun sederhana yang mengandungi asid djenkolic dimana ia mampu menyebabkan sakit menyucuk2 perut atau saluran kencing jika makan banyak tidal terkawal tetapi bergantung kepada individu bagaimanapun dakwaan ini belum diuji secara klinkal. Belum ada kes-kes keracunan makanan akibat makan jering dilaporkan sehingga kini.

Jering boleh dikategorikan sebagai makanan jenis Ulam-ulaman seperti juga petai, Ulam Raja, Tenggek Burung, Pegaga dan sebagainya yang perlukan kajian lebih terperinci. Oleh kerana penanaman jering secara tidak tersusun dan kajian analisa ekonomi belum lengkap maka kita belum tahu untung rugi tanaman tersebut... kebanyakkan buah jering yang ada sekarang adalah organik!. Bagaimana pun pengalaman penulis sendiri, jarak penanaman sesuai sekitar 10 meter x 10 meter dengan kaedah empat segi sama. Anak benih boleh diambil daripada biji yang telah cukup matang untuk disemai dalam polibeg. Pembiakan secara semulajadi berlaku apabila buah matang gugur dan bercambah diatas tanah dan boleh dialihkan kekawasan lain (Jika perlu). Belum ada varieti khusus jering yang didaftarkan sehingga kini dan usaha kearah tesebut perlu dijalankan oleh pihak tertentu. Lazimnya kita akan kata varieti jering tempatan sahaja. Mungkin ada beberapa spesis jering yang kita boleh kenalpasti untuk didaftarkan kelak. Wasallam!


MAKAN JERING....MULUT BERBAU....
TANGKAI JERING.... LIAT SELALU....
TANAM JERING....TAK BERGURU....
ILMU JERING... RAMAI BELUM TAHU....

Related articles:
1. Petai (Klik disini)
2. Petai Belalang (Klik disini)
3. Petua (Klik disini)
4. Ketumbar (Klik disini)
5. Jintan (Klik disini)

By
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bukit Beruang, Melaka
Malaysia
(Kemaskini pada 10 Oktober 2012 dan 3 Mac 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...