KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, May 25, 2010

CGD Limau


CGD atau Citrus Greening Disease merupakan satu jenis penyakit tanaman limau yang merbahaya yang menjadi penyebab utama kepada tanaman limau dengan kerugian pada hasil dan kemusnahan pokok. Penyakit ini banyak terdapat di kawasan tropika termasuk di Asia dan Afrika semenjak tahun awal 1920'an. Penyakit CGD telah disahkan dinegara kita pada tahun 1987 manaka wabak paling serius berlaku di Terengganu pada tahun 1991. Artikel ini menulis berkaitan penyakit CGD dan bagaimana kita hendak mengenali dan mengawalnya. Penulis beberapa kali melawat ladang limau di Johor dan Terengganu untuk melihat bagaimana penyakit CGD ini menyerang tanaman limau. Artikel kali ini saya menulis mengenai Penyakit Citrus Greening Disease atau CGD dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukkan semua.

Penyakit CGD diketegorikan sebagai penyakit limau yang merbahaya kerana belum ada cara kawalan berkesan untuk mengatasinya. Penyakit ini menyebabkan pokok limau yang diserang akan mati. Buah dari pokok yang diserang juga berkualiti rendah dimana saiznya menjadi semakin kecil, berhampas, semakin berkurangan dan tidak sama bentuk. Pada peringkat awal penyakit CGD sukar dikenali kerana tanda-tanda serangannya seakan sama dengan tanda kekurangan baja. Penyakit ini menyerang semua jenis limau seperi Limau Madu, Limau Manis, Limau Langkat, Limau Bali, Limau Nipis dan Limau Kasturi. Serangan paling teruk pada jenis Limau Madu dan Limau Langkat.

Kajian mendapati penyebab utama Penyakit CGD ialah Bakteria (Candidatus Liberibacter spp) iaitu sejenis bakteria gram negatif yang menyerang tisu felum tumbuhan dan menyebabkan kemerosotan pertumbuhan pokok. Penyakit ini disebarkan oleh anak pokok yang telah dijangkiti CGD dan vektor dan ditanam diladang. Pembawa atau vektor CGD ialah sejenis psyllid dinamakan Diaphorina citri (Lihat fotonya diatas) yang tersebar dikawasan Asia. Cara penyebaran bakteria ini dengan vektor tersebut menyedut cairan sel pokok yang ada CGD dan dibawa kepokok2 lain. Perumah serangga ini ialah pokok limau, pokok kari (Murraya koenigii - seperti gambar disebelah ) dan Pokok Kemuning (Murraya paniculata) dari keluarga Rutaceae.

Vektor atau pembawa penyakit CGD sejenis serangga jenis leloncat iaitu Diaphorina citri dari keluarga Psyllidae order Hemiptera sangat aktif apabila diganggu. Leloncat ini kecil berukuran 3-4 mm dan bersayap yang ada bintik perang pada segmen tengah. Ia dijumpai pada permukaan bawah daun muda seolah2 seperti tergantung dan leloncat yang betina mampu bertelur sebanyak 800 biji sepanjang hayatnya selama 2 bulan. Serangga ini merosakkan tanaman dengan 2 cara iaitu menghisap cairan sel pokok dan sebagai vektor pembawa penyakit CGD. Kawasan sebaran mudah jika ada faktor angin atau pembawa lain dikebun.

Kawalan penyakit ini agak sukar dan perlu dibuat secara bersepadu (Intergrated Pest Management-IPM). Kawalan meliputi 4 cara iaitu dengan penggunaan bahan tanaman bebas CGD, Pengawalan Vektor Pembawa, Pengawalan Inokulum Penyakit dan Pengawasan penyakit CGD limau serta vektor. Bagi kawalan CGD diperingkat Semaian, Kawalan dengan menyediakan anakbenih bebas CGD dalam Rumah Kalis Serangga dan penggunaan Racun Kimia boleh digunakan (Dimethoate -38% atau malathion -84% atau deltamethrin 1.4%) boleh dilaksanakan. Anak benih perlu di buat pengesanan Bebas CGD dengan menjalankan saringan PCR. Kawalan di ladang perlu dibuat dengan mengawal vektor Penyakit CGD dan pemusnahan sumber penyakit CGD.

Penanaman limau di Malaysia masih boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut. Pertama disyorkan agar kita menanam limau di kawasan terasing (Isolated) dimana belum ada tanda serangan CGD dikawasan tersebut. Kedua dengan menggunakan anak pokok yang bebas penyakit CGD dari Jabatan Pertanian atau pembekal yang telah disahkan. Ketiga dengan menyediakan modal mencukupi agar pengurusan tanaman limau lengkap seperti sistem pengairan serta bahan input agar pokok sentiasa subur. Keempat dengan pengurusan kebun yang teratur dan pemantauan CGD setiap 2 minggu.

Tanaman limau merupakan satu bidangusaha yang lumayan jika tiada serangan CGD dan penyakit lain. Pemerhatian penulis dengan penanam Limau Madu di Tangkak mendapati dengan jarak tanaman 6m x 6m memberikan sebanyak 275 pokok sehektar menghasilkan 700 kg buah pada tahun ke 4 dengan nilai RM 1,030 (Hasil baru mula keluar). Kajian analisa ekonomi tahun ke 10 limau madu mampu menghasilkan sebanyak 22 mt dengan nilai RM 33,000 setahun atau RM 2,750 /ha sebulan. Kepada mereka yang berminat dengan tanaman limau pastikan faham akan penyakit CGD ini agar tidak kecewa!

TANAM LIMAU... HASIL LUMAYAN....
PENYAKIT CGD.... JANGAN DILAYAN....
HASIL TINGGI.. DUIT BERKOYAN....
SELALU TERJADI.....PETANI JADI KESIAN...
POKOK DITANAM....CGD MENYERANG....
PERLU ADA ILMU... BARU PADAN....

By
M Anem
Suka buat Kajian
Citrus Valley, Dubgun,
Terengganu,
Malaysia
(24 May 2010)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...